Monday, April 27, 2015

KONVOKESYEN USM KE-51

السلام عليكم ورحمة الله

Alhamdulillah. 

Pada 25 April 2015, teman-teman dan saya telah berjaya bergraduasi sebagai Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Setelah 3 semester, satu setengah tahun kami bergelumang dengan pengajian ini, alhamdulillah berjaya juga. 

Suka untuk saya berkongsi sedikit. Kami digelar sebagai MISDEV 13, ini kerana kami memulakan pengajian pada tahun 2013. ISDEV adalah tempat kami menimba ilmu di Universiti Sains Malaysia (USM). Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, singkatannya ISDEV. Kami pelajar Master, jadilah MISDEV. Pelajar PhD pula digelar sebagai RISDEV.



Pengarah kami ialah Prof Dr Muhammad Syukri Salleh. Juga merupakan penyelia saya. Hehe, selalu saya kena marah ni. Bersama-sama dengan Dr Zakaria, Dr Sukeinah, Dr Zaini, Dr Zahri, Dr Shukri, Dr Syakir, Dr Syahir dan Dr Wan sebagai pensyarah, kami dididik dan dibimbing dengan penuh kesabaran. Haaa, dalam maknanya. 😄 Memang tinggi sungguh kesabaran mereka. Kak Aisyah, Kak Adawiyah, En Abdul Aziz, En Ibrahim dan Kak Diyana pula merupakan staf ISDEV yang banyak membantu kami sepanjang pengajian. Kakak dan abang RISDEV juga banyak berkongsi ilmu dan pengetahuan mereka kepada kami. Selamat berjuang abang dan kakak semua. Adik-adik MISDEV 14 yang banyak meraikan kami sebelum ini, hebat kalian, pengurusan kemas dan teratur. Tahniah dan syabas. Juga buat semua pihak yang membantu kami yang tak disebut di sini, semoga Allah memberikan sebaik-baik balasan. Terima kasih semua buat warga ISDEV.

Hari konvokesyen ini hanyalah sekelumit hadiah buat ibu dan ayah kami. Dalam kepayahan belajar, kesukaran menulis disertasi, ketika penatnya membuat kajian, di sana kami yakin ibu dan ayah sentiasa mendoakan yang terbaik buat kami. InsyaAllah kami akan berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah. Ameen.



Teman-teman MISDEV 13 yang disayangi, kami seramai 36 orang. 10 lelaki dan 26 orang perempuan. Pelbagai ragam, bermacam perangai. Gembira bersama, pernah juga sama-sama menangis. Haha. 😂😂. Unik, satu kepala, saling memahami, dan nakal sangat. Hehe. Kalian adalah salah satu warna yang indah dalam kehidupan ini. Semoga Allah memberkati semua.

Ikhlaskan niat kita, bertemu dan berpisah kerana Allah. 



Di hujung coretan, ingatlah antara beberapa perkara yang penting sepanjang di ISDEV.

1. Tepatilah masa dalam setiap urusan.
2. Beradab dan berakhlak dalam menuntut ilmu. 
3. Pengurusan mesti profesional dan tersusun.
4. Manfaatkan ilmu demi Islam dan umat.
5. Melawan arus- wasiat Abdul Malik. 😉
6. Nakal bila perlu- falsafah MISDEV 13. Haha. 

Setakat ini sahaja perkongsian. Suatu hari nanti saya ingin menulis sebuah travelog tentang ISDEV dan MISDEV 13. Doakan supaya diberi kekuatan oleh Allah. Ameen.


Tuesday, April 21, 2015

Manusia Luar Biasa

ءانا لله وءانا ءاليه راجعون

Kembali sudah ibu saudaraku ke pangkuan Allah Taala. Hari Khamis malam Jumaat, tepat jam 9.40 malam, 9/4/2015. Ibu saudaraku ini istimewa. 

Nama beliau Fatimah. Kami anak saudaranya memanggilnya sebagai Mak Cik Yam. Mak Cik Yam tidak berkahwin, jadi kami anak-anak saudara beliaulah yang menjadi seperti anak-anaknya sendiri. Mak Cik Yam tinggal bersama dengan arwah nenek (kami panggil Mak) dan datuk (kami panggil Tok Ayah) saya. Sebelah rumah atuk dan nenek ada PASTI Al-Arsyadi. Seingat saya, di situlah saya, adik beradik saya dan sepupu saya bersekolah tadika. Sebelum pergi kelas, kami duduk dan bersarapan di rumah atuk. Selepas habis kelas, di situ juga kami menetap. 

Selain Mak dan Tok Ayah, dengan Mak Cik Yam lah kami membesar dan bermanja. Ada beberapa perkara yang saya sangat kagum dengan arwah Mak Cik Yam.

1. Mak Cik Yam seorang anak yang sangat baik. Mak Cik Yam menjaga arwah Mak dan Tok Ayah sepanjang usia emas mereka. Sepanjang arwah Mak sakit pun, Mak Cik Yamlah yang menjaga sepanjang masa.

2. Ibu saudara yang sangat baik. Kami dijaga seperti anaknya sendiri. Kami membesar dengan air tangannya juga. Kami dilayan dan dijaga dengan penuh kasih sayang.

Kali terakhir saya berbicara dengan Mak Cik Yam pada tengah hari Selasa. Sempat menyuap air kepada beliau. Kemudian, malam itu Mak Cik Yam terus tidak sedarkan diri. Rabu malam, saya menemani Mak Cik Yam di hospital. Merenung wajah tua yang banyak berjasa ini membuat saya berada sayu. Akhirnya, tibalah masa Allah menjemput beliau pada Khamis malam Jumaat. 

InsyaAllah kami mendoakan kesejahteraan Mak Cik Yam di alam sana. Moga Allah rahmatimu Mak Cik Yam. Kami menyaksikan kebaikanmu di dunia ini. 


Sunday, April 19, 2015

Jakarta dan Bandung

Kembara bersambung lagi. Republik Indonesia (RI) adalah destinasinya. Ini kali kedua ke RI. Kali pertama dahulu ke Sumatera iaitu Medan. Kali ini ke Kepulauan Jawa pula. 5 hari dan 4 malam di Jakarta dan Bandung.

Islamic Book Fair

Target pertama ialah mahu ke Pesta Buku Islam Antarabangsa di Jakarta. Saya dan dua sahabat tiba di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta pada 6.30 petang. Itu pun penerbangan Lion Air telah lewat selama satu jam. Rupanya di Indonesia, Lion Air memang bermasalah. Malah ada yang delay selama dua hari. Haha.

Malam pertama menginap di rumah Pak Ariff. Rakan kami yang sangat baik dan ramah. Beliau merupakan kader kepada Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Fokus beliau adalah dalam soal kebajikan. Beliau menguruskan sebuah kolej yang menyediakan pengajian diploma kepada anak orang susah. Beliau juga terlibat dengan organisasi yang cakna kepada kebajikan guru-guru dan pendakwah. Saya melihat ini adalah usaha yang sangat baik dalam memperkukuhkan masyarakat sivil.

Keesokannya kami ke Pesta Buku tersebut, pada hari terakhir pesta ini. Banyak buku yang menarik. Dari aspek industri buku, negara jiran kita ini nampaknya lebih ke depan. Rupanya berjalan dengan sahabat yang gilakan buku ni membuatkan saya pun memborong juga buku-buku yang ada. Hehe. Prinsipnya mudah, beli dulu buku itu. Bila nak baca, itu susun kemudian. 

Baiklah, beli dulu.

Bandung

Petang hati kedua kami ke Bandung dengan menaiki bas. Kurang lebih tiga jam perjalanannya. Cantik pemandangan bukit bukau sepanjang perjalanan. Tiba di Bandung pada malam hari, disambut oleh seorang kenalan baru. Tapi saya lupa namanya. Haha. Beliau menjadi supir dan teman perjalanan kami. Nampaknya kos di Bandung lebih jimat berbanding di Jakarta. 



Di Bandung, kami hanya sempat pergi ke Kawah Putih. Bekas gunung berapi yang sudah tidak aktif. Maha Suci Tuhan, cantik tempatnya. Kemudian kami meronda sekitar bandar Bandung. Pulang semula ke Jakarta. 




PKS

Kami sempat dibawa Pak Arif ke kantor PKS di bandar Jakarta. Ada janji temu dengan Dr Mardani, salah seorang ahli syura PKS. Jadual asalnya bertemu pada sebelah petang terpaksa ditunda ke malam kerana kebetulan ada Mesyuarat Majlis Syura PKS. 

Bertemu dan berkongsi cerita dengan Dr Mardani hanya dalam setengah jam. Namun saya tertarik dengan cara dan keramahan Dr Mardani melayan tetamu. Ada perkembangan politik yang menarik juga di Indonesia. Sedikit perkongsian tentang PKS, sebuah parti politik yang agak Islamis di Indonesia. Kadernya dipilih dan dilatih dengan tersusun. Segala keputusan dan dasar parti diputuskan melalui Majlis Syura yang terdiri daripada 99 orang anggota. Untuk menjadi ahli Majlis Syura, mestilah melalui tapisan dan tempoh tarbiyyah tertentu. 

Beliau juga ada berkongsi tentang pengaruh Presiden Jokowi sekarang. Ada golongan yang optimis yang menyatakan Pak Jokowi akan bertahan selama dua penggal kerana beliau didokong oleh masyarakat majoriti di Indonesia. Golongan yang pesimis pula menyatakan Pak Jokowi akan tumbang sebelum Pemilu akan datang kerana masalah ekonomi yang dihadapi sekarang, isu kontrak Freeport di Irian Jaya dan juga beliau dianggap sebagai boneka kepada Presiden partinya. Golongan pertengahan pula menjangka Bapak Presiden akan kekal pada penggal ini sahaja, penggal depan akan diganti dengan orang lain. Ah, politik itu memang sangat dinamik sifatnya. 




Universitas Indonesia

Saya bertemu juga dengan seorang kawan baru, namanya Sigit. Dia merupakan rakan kepada sahabat saya. Mahasiswa lulusan UI ini sangat berpengetahuan luas. Fokus beliau adalah dalam georafi dan geopolitik Asia Timur. Saya melihat beliau sangat gigih dan berusaha keras dalam proses menuntut ilmu. Banyak kali ke luar negara untuk menyertai konferens akademik. Beliau juga pernah tinggal di Malaysia selama tiga bulan untuk exchange student programme di Universiti Malaya. Banyak kampus di Malaysia yang telah dilawatinya. Kesungguhan beliau menuntut ilmu sangat saya kagumi.



Beliau telah mendapat tawaran menyambung pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Kyoto, Jepun dengan biasiswa. Hebat. Seorang rakan yang baik dan mudah mesra. Dibawanya kami meronda ke sekitar UI. Melawat perpustakaan, sekitar tasik dan fakultas yang ada di UI. Beliau juga yang membawa kami meronda sekitar bandar Jakarta seperti Monas, Istana Presiden, Masjid Istiqlal dan beberapa tempat lagi. Sebelah malamnya kami dibawa ke toko buku. Saya akui, memang menjadi agak ghairah mahu membeli buku-buku yang diterbitkan di sana. Malam terakhir di Jakarta itu kami gembira mengenali rakan yang bernama Sigit ini. Moga terus sukses dalam hidup. InsyaAllah kita ketemu lagi.



Selamat Tinggal Indonesia

Beberapa kenalan baru di Indonesia membuatkan saya rasa masih terlalu sedikit kawan saya sebenarnya. Terima kasih Pak Arif yang sudi menumpangkan kami di rumahnya. Moga Allah berkati Pak Arif sekeluarga. Sempat juga kami bertemu dengan Pak Dzakirin, penulis buku tentang post Islamism di Turki. 2 jam lebih berkongsi dan berbicara dengan beliau. Katanya beliau mahu ke Turki Mei 2015 untuk meneliti perjalanan Pemilu di Turki. 

Ketika kami menunggu penerbangan pulang ke Malaysia, sempat juga sarapan bersama dengan Tan Sri Syed Zainal, bekas CEO Proton. Orang Kelantan juga rupanya dia. Banyak juga perkongsian dari beliau. Rupanya beliau salah seorang ahli Majlis Penasihat Ekonomi Kelantan. Berjumpa dengan orang hebat ini memberi inspirasi.

Sampai di KLIA, terserempak pula dengan ADUN Kijal, YB Dato' Ahmad Said, juga baru pulang dari Indonesia. Saya rasa jatuh hati dengan Indonesia. InsyaAllah saya akan berkunjung lagi ke sana, mungkin ke daerah lain pula. Hehe.









Thursday, April 16, 2015

Singapura

Mac 2015 menjadi bulan untuk menghadiahkan diri sendiri dengan pelbagai hadiah. Pertama kerana telah selesai urusan pengajian sarjana di USM. Menunggu untuk majlis konvo sahaja. Kedua, sekadar meraikan diri sendiri yang semakin tua. 

Hadiahnya adalah pergi melancong ke luar negara. Yeayy. Destinasi pertama ialah Singapura. Ini kali kedua saya berkunjung ke bumi Temasek. Kali pertama dahulu dengan rombongan sekolah menengah. Sempat ziarah ke Madrasah Al-Junaid. Kemudian bersolat Jumaat di Masjid Sultan. 

Kali ini saya hanya pergi berdua dengan kawan. Redah sahaja dulu. Terus ke USS. Haha. Saje nak cuba, melepaskan tekanan diri. Mencuba hampir semua permainan yang ada. Menarik dan kreatif. Antara yang paling best ialah Transformer dan Mumia. Kebetulan roller coster tengah under maintenance. Tak ada rezeki nak merasa. Kalau nak pergi ke USS, duduk la seharian kat situ. Baru rasa berbaloi kan dengan bayaran.

Selepas itu sempat meronda Pulau Sentosa. Sampai ke malam stay kat situ. Sebab menunggu untuk saksikan pertunjukan cahaya dan bunyi di tepi pantai. Memang cantik dan kreatif sangat. 

Negara Singapura ini sangat bersih, pembangunan nampak tersusun. Pengangkutan awam pun bagus dan puas hati. Saya rasa kebanyakan tempat menarik di Singapura ini kita sudah maklumi. Cuma lagi menarik untuk kita lihat bagaimana negara sekecil ini boleh menjadi antara negara maju. Ekonominya kuat, taraf pendidikannya tinggi, NUS berada pada tangga ke-24 dalam ranking universiti terbaik di dunia. 

Jom kaji!








Tuesday, April 14, 2015

25

25 tahun. Usia sudah mencapai suku abad. Dikatakan sudah bergelar sebagai seorang yang dewasa. 

Umur saya sudah memasuki suku abad. Pesan sahabat karib saya, hidup kita di dunia ini singkat sahaja. Jangan bertangguh dalam melakukan kebaikan.

Benar sekali. Jika rezeki umur 50 tahun, maka bermakna sudah separuh daripada  kehidupan di dunia ini sudah berlalu. Tinggal bakinya separuh lagi harus ditempuhi dan dimanfaatkan.

Atau barangkali kurang daripada itu lagi tempohnya. Mati itu rahsia DIA.

Sekejap sahaja masa berlalu. Rangkalah kehidupan sebaiknya. 


Sunday, January 25, 2015

PEMERGIAN

Pagi 25 Januari 2015, teman fasilitator menghubungi dan menghantar pesanan mesej kepada saya. Kami dikejutkan dengan kembalinya junior kami, Mohd Fauzan ke rahmatullah. Saya rasa terkilan yang amat kerana tidak sempat untuk menziarahinya buat kali terakhir.

 Beliau terlibat dalam kemalangan pada pagi Jumaat  (23 Januari) yang lalu. Ayah dan rakannya meninggal dunia. Beliau koma dan keadaannya adalah DIL (Death In Line).

Hubungan dalam keluarga besar fasilitator sangat akrab dan mesra. Saudara Fauzan yang kami kenali ialah seorang yang sangat ceria dan menceriakan orang. Tubuhnya tinggi lampai, rambut panjangnya yang menjadi identiti dirinya. Kami mengenali dia seorang yang sangat rajin, ringan tulang dan tidak lokek menghulurkan bantuan. Gurauan antara kami biasanya agak kasar tapi mesra. Beliau adinda kami yang sangat baik, menghormati orang lain. Loghat Kedah beliau yang sangat pekat itu akan tetap kekal dalam ingatan kami.

Pada saat dia terlantar, ramai teman dan pensyarah  yang menziarahi beliau. Doa tidak putus untuk kesejahteraan beliau. Pun begitu, ketentuan Allah menetapkan setakat ini sahaja umurnya di dunia. Kami redha dalam syahdu dengan pemergian beliau.

Ramai insan yang menangisi pemergianmu.
Kamu disayangi oleh insan yang mengenalimu.
InsyaAllah kamu disayangi Allah dan para malaikat.
Semoga ditempatkan di kalangan solihin.
Amin.

Status beliau di FB:-
‘Dakwah’ patut menyentuh jiwa,
bukan menyinggung rasa –
membantu manusia mengenal Pencipta,
bukan sekadar membantu diri mengejar syurga.
(Mohd Fauzan, 23 Oktober 2014)


Selamat berehat adinda kami Mohd Fauzan.


Wednesday, January 7, 2015

Nilai

Malunya nak pakai baju lama ni, nampak ketinggalan zaman.

Segannya nak pakai selipar ni, lusuh dan nampak kekampungan.

Eh, kalau aku baca Al-Quran dalam bas ni, nanti orang kata aku menunjuk pula. Tak payah baca lah.

Kalau aku tolong orang tu, kot orang kata aku nak tunjuk baik. Biar je lah.

Jika aku tak layan mesej budak laki ni, nanti dianggapnya aku sombong. 

Dan pelbagai lagi monolog dalaman insan.

Orang itu kata begini, orang ini kata begitu. Dia anggap macam ni, mereka anggap macam tu. Kot hang pikiaq lagu ni, kot depa pikiaq lagu tu.

Jika kita bergantung kepada penilaian manusia, begitulah jadinya. Serba tak kena.

Sampai bila kita mahu hidup atas penilaian manusia semata-mata?

Cukuplah Allah sebagai Penilai kepada semua amalan dan perbuatan kita. Perkara yang baik di sisi Tuhan, lakukanlah. Buat baik pada manusia, jangan susahkan orang lain, jaga hati dan niat kerana Allah, abaikan suara yang menjatuhkanmu.

Selamat jalan dunia.

PIA
07/01/2015
1335




Sunday, January 4, 2015

Sejati

Assalamualaikum

Lama saya tidak mencoret di sini. Esok 5 Januari, ulang tahun kelahiran ke 26 arwah sahabat saya Zunnur. Genap dua tahun beliau kembali ke rahmatullah.

Kenangan saya bersamanya tidak pernah luput. 4 tahun tinggal sebilik, sekelas, satu group FYP. Dia mengenali saya dan saya mengenali dia sungguh-sungguh.

Dia tahu kekurangan saya.
Dia tahu kelemahan saya.
Dia tahu kesalahan saya.
Di tahu dosa dan maksiat saya.

Tapi 

Dia tak memburukkan saya.
Dia tak mendedahkan kelemahan saya.
Dia tak mencaci saya dek kerana kesalahan.
Dia tak mendedahkan keaiban dan dosa saya.

Namun

Dia tegur kesalahan saya secara berdepan.
Dia perbetulkan salah saya.
Dia nasihati saya.
Dan saya tahu dia doakan saya.

Sukar mencari sahabat sejati sepertimu. Moga engkau tenang di sana.

Aku merinduimu Zunnur.



Abu Asrar Qalbi
04/01/2015
Subang
2125