Thursday, July 3, 2014

Berhati Mulia

Sudah empat hari aku memerhatikan mereka ketika berbuka puasa di masjid. Insan istimewa itu sentiasa ada yang membantunya. Dia dibantu ketika berjalan, ketika mengambil nasi, waktu mencari tempat duduk dan juga pada waktu dibawa balik ke asrama.

Dia itu seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), mata dan penglihatannya terbatas. Tidak sama sebagaimana dengan manusia normal. Dua perkara yang aku ingin katakan.

1. Betapa mulianya hati insan-insan yang sudi membantu mereka yang OKU ini. Mereka nampak biasa sahaja, tetapi hati mereka mulia. Membawa rakan mereka yang OKU itu di atas motosikal, memimpin tangan mereka ketika berjalan, mengambil nasi dan segala perkara yang perlu dibantu. Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran buat kalian.



2. OKU ini adalah insan yang istimewa. Allah mengurniakan mereka kelebihan yang berbeza. Teringat dialog seorang budak buta yang menghafaz al-Quran. Hebat sungguh beliau. Ketika ditanya adakah dia ingin melihat. Jawabnya, dia pohon pada Allah untuk dia kekal dalam keadaan buta, supaya matanya tidak perlu menjawab tentang maksiat yang dilakukan oleh mata itu kerana matanya buta dan tidak melihat kepada perkara maksiat. Allahu..

Sungguh tidaklah yang buta itu mata penglihatan tetapi yang buta adalah mata hati di dalam dada

"Ya Allah,janganlah kami dibutakan mata hati kami dari melihat kebenaran".

Tuesday, July 1, 2014

DI MANA SAHAJA

Sedang beratur mengambil juadah berbuka di Masjid Malik al-Khalid, tiba-tiba terpandang seseorang sedang tekun membaca al-Quran sambil menunggu masuk waku berbuka. Terlihat pula kelibat seorang kenalan sedang tekun melihat pada telefon bimbitnya, bila didekati dia juga sedang membaca al-Quran.MasyaAllah, indah rasa suasana ini.



Di mana sahaja al-Quran menjadi pendamping dan teman baik. Ayatnya dibaca, maknanya difahami, isinya diamal dan dilaksanakan dan ajaran di dalamnya disebarkan.

Hati orang yang beriman tidak akan pernah puas dan jemu membaca Al-Quran.

Sebelum masuk waktu berbuka, sempat mendengar pesanan dari temanku. Sangat mendalam dan menusuk qalbu. Ringkasnya, hidup ini jangan mempermainkan orang, jangan mempergunakan orang untuk kepuasan dan kesenangan diri. Sungguh aku terpukul.

Ya Allah,ampunkan dosa-dosa kami.