Thursday, May 5, 2016

Kembara di Tahun 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sekian lama tidak menulis di ruangan ini.

Teringin kembali menulis kembali dan permulaannya adalah mengenai kembara dalam tahun 2015.

Seingat saya, dalam tahun 2015 saya kembara ke 4 negara.

1. Singapura (buat kali kedua dan ketiga)

Bertiga bersama Ibrahim dan Luqman

2. Perth, Australia (pada bulan Mac)

Pergi berdua dengan saudara Mohammad Abdullah dan rakan kami yang belajar di Curtin University, Thaqif.

3. Istanbul, Konya dan Ankara di Turki. (pada bulan Jun)

Berlima dengan saudara Borhanuddin, Saudara Nasaie dan isteri serta bayi Asma.

4. Beijing, China (pada bulan Disember)

Bertiga dengan saudara Mohammad dan Uthman, bersama rakan baru kami di BFSU, Amar The Legend

Yang mana dahulu mahu dikongsi. Haha. Saya akan berkongsi mengikut turutan.


SINGAPURA

Negara yang berjiran dengan Malaysia, bersempadan dengan Negeri Johor di sebelah selatan. Rasanya Singapura ni sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat kita berjalan dan melancong ke sana.  2 hari satu malam di sana, tinggal di dorm backpakers yang berkongsi seramai 20 orang lebih kurang, jimat dan senang. Saya cuma berkongsi gambar dan cerita yang saya lalui. Setiap orang punyai kisah tersendiri kan.





Universal Studio Singapore (USS), terletak di Pulau Sentosa adalah tempat wajib kebiasaannya bagi pelancong ke Singapura. Harga tiket lebih kurang RM 150 seorang. Sebolehnya masuk awal pagi dan cubalah permainan yang ada di sana. Cuma masa beratur untuk masuk ke setiap permainan itu agak lama. Yang paling lama untuk indoor roller coaster Transformers dan outdoor roller coaster. Satu setengah jam beratur untuk permainan tak sampai 5 minit. Haha. Tapi pengalamannya menyeronokkan.

Roller coaster belakang tu best
Sebelum keluar dari Pulau Sentosa, elok untuk singgah tepi pantai. Melihat matahari terbenam dan kepulauan milik Indonesia (Pulau Batam rasanya) yang menjadi kawasan perindustrian.

Keluar dari Pulau Sentosa dengan monorail, kemudian ambil MRT menuju ke tengah bandar. Kemudahan pengangkutan awam di sana sangat efisien dan teratur. Baik MRT mahu pun perkhidmatan bas, cekap dan selesa. Untuk menjimatkan, lebih baik untuk membeli kad Pass Daily dalam harga 26 SGD. Tambah 10 SGD deposit yang akan dikembalikan semula bila kita serahkan kembali kad tersebut. Dengan kad tersebut, kita boleh menaiki MRT untuk tempoh 2 hari atau 3 hari, bergantung kepada jenis kad yang kita beli.


Yang ini Patung Merlion, mercu tanda Singapura. Tidak ada yang istimewa, cuma menjadi tumpuan untuk bergambar. Sekelilingnya adalah bangunan-bangunan pencakar langit. Soal mencari makanan di sini tidak menjadi masalah. Sangat mudah didapati. Yang masalahnya kita berasa harga makanan itu mahal. Haha. Tambah lagi kalau ketika nilai Ringgit Malaysia jatuh teruk.



Bangunan Marina Bay rasanya. Bangunan seolah-olah berbentuk sebuah kapal di atas tiga tiang bangunan. Cantik dan menarik reka bentuknya. Pun untuk ambil gambar sahajalah.


Yang ini best. ArtsScience Museum. Reka bentuknya macam bunga teratai atau pun 10  jari yang disilangkan. Ada bahagian yang dibolehkan untuk masuk percuma, ada bahagian yang dikenakan bayaran. Kami masuk yang percuma sahajalah. Bahagian yang mengisahkan sejarah 50 tahun Kemerdekaan Singapura. Waktu kami pergi ini adalah dekat dengan tarikh sambutan kemerdekaan negara mereka. Sangat INTERAKTIF dan INFORMATIF maklumat yang dipaparkan di muzium ini.

Melawat ke muzium ini membuatkan kita berasa seolah-olah melihat sejarah lampau Singapura untuk membina masa depan Singapura. Sangat menarik dan mengujakan. Visi negara mereka jelas, pemimpin mereka memang berjaya membina negara yang hebat dan maju. INOVASI dan TEKNOLOGI diberi fokus.


Kami singgah sebentar di Madrasah Al-Juneid, antara sekolah agama yang paling lama di Singapura. Tapi waktu itu sudah tamat waktu persekolahan. Saya pernah berkunjung ke Madrasah ini pada tahun 2006, sekolahnya yang kemas, pelajarnya berdisiplin, bahasa perantaraan di sekolah adalah Bahasa Inggeris dan Arab. Arab mereka sangat fasih. Saya kagum.


Yang ini gambar di atas, selepas berhenti solat di Masjid Sultan, masjid utama di Singapura. Komuniti muslim di Singapura rata-ratanya tidak mempunyai masalah untuk mengamalkan agama Islam di sana. Cuma beberapa kekangan yang ada, itu sudah menjadi lumrah di mana-mana pun. Buku Melayu, Islam dan Songkok banyak menceritakan situasi dan kehidupan muslim di sana. Tesis master sahabat saya, Hairul Azuan juga ada menceritakan tentang peranan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan isu-isu yang berlegar dalam masyarakat Melayu Islam di sana. Mereka yang berminat boleh mencari bahan-bahan bacaan tersebut.

Setakat itu sahaja cerita saya di sana. Namun, yang lebih penting bagi saya adalah, rakan-rakan kembara saya iaitu saudara Ibrahim dan Luqman sangat baik. Ada sahaja perbincangan ilmiah yang dibualkan. Isu semasa, isu akademik, tazkirah dan pelbagai. Semoga ada rezeki untuk kembara bersama lagi.

Selamat maju jaya saudara Luqman yang baru melanjutkan pelajaran di peringkat Kedoktoran di UMT.

Selamat maju jaya juga buat saudara Ibrahim yang baru selesai Sarjana di UIAM dan akan sambung kedoktoran tak lama lagi.

Nanti kita kembara lagi.

Wassalam.

#destinasi seterusnya adalah Perth, Australia.