Tuesday, November 11, 2014

Responden

Tugasan menyiapkan disertasi memerlukan saya untuk turun ke lapangan. Bertemu dengan responden dan menemubual mereka berkaitan tajuk disertasi saya. "Kekangan dan Penyelesaian Pembangunan Berteraskan Islam di Kelantan:1990-2014".

24 tahun adalah satu tempoh yang bukan pendek bagi sebuah pentadbiran di peringkat negeri. Ia sama dengan umur saya sekarang. Bagi mengekalkan sebuah pentadbiran dan pemerintahan, 

1. Tak boleh lari daripada menilai dan memuhasabah perjalanan pemerintahan mereka. 

2. Bersedia menerima kritikan dan pandangan dari semua pihak. 

3. Siap untuk melakukan perubahan sesuai dgn massa. 

4. Jangan menafikan kelemahan dan masalah,sampai sorok semuanya di bawah karpet.

5. Memohon bantuan dan pertolongan Allah.

Di sini saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat para responden saya. Semoga Allah berkati.

Saya kongsikan gambar-gambar responden saya di sini.

Datuk Dr Zainuddin Ibrahim,bekas SUK Kelantan.

Dr Wan Nik Wan Yussof (SU Politik Menetri Besar Kelantan) dan Tuan Sanusi Othman (COO PMBK)

YB Datuk Paduka Husam Musa, ADUN Salor

Dalam perjalanan pulang,saya sempat bertemu dan berkongsi pandangan dengan Ustaz Nazri Chik, Ketua Bahagian Syariah di Bank Islam. Seronok mendengar perkongsian dari orang yang berjaya.



"Anak muda,berada di bidang akademik jangan sampai terbang ke awanan sehingga tak tahu nak jejak kembali ke bumi yang nyata. Berfikir dan bertindaklah untuk bantu ummat" (unknown,2014).

PIA 
8.40 am
11/11/2014

Sunday, November 9, 2014

WAJAH CANTIK ITU

Susah atau senang, sentiasalah ingat pada Tuhan. Bersyukur ketika diberi kesenangan dan nikmat. Bersabar bila ditimpa ujian dan musibah.

SUSAHKAH

Bila kita dalam kesusahan, biasanya itu teguran Allah kepada kita supaya kita kembali pada jalan yang lurus. Bila kita dalam keadaan susah, resah, tersepit dan keluh kesah. Apa harus dibuat?

1. Perbanyakkan membaca Al-Quran. Fahami maknanya. Hati akan terasa bicara Allah kepada kita.

2. Perbanyakkan zikir dan istighfar. Isikan hati itu dengan zikrullah.

3. Jika masih ada ibu dan ayah, pulang dan lihat wajah mereka.

WAJAH CANTIK ITU

Saya hanya ingin berkongsi tentang perkara ketiga. Bagi sesiapa yang ibu bapa masih hidup, selalulah pulang dan berbakti kepada mereka.

Walau sesibuk mana pun anda,carilah masa untuk pulang menjenguk mereka. Sekejap pun tak apa, asalkan kerinduan mereka terubat. 

Baru-baru ini saya agak sukar mendapat idea untuk menulis disertasi. Mahu menulis, tapi idea tak datang. Saya pulang ke rumah bertemu dengan ayah bonda. Balik rumah tak sampai 12 jam kemudian terus pulang ke kampus.

Sampai di kampus, Allah mempermudahkan urusan saya menulis. Sangat mudah dan lancar. Alhamdulillah. Saya yakin, ayah bonda saya sentiasa mendoakan kami anak-anak ini.

Buat anak-anak, pulanglah menjenguk ayah bonda. Pandanglah wajah mereka yang cantik itu. Anda tak akan pernah puas memandang wajah cantik itu. 

Ingatlah pesanan Tuhan: 

وبالوالدين احساناً

Pulanglah.


Friday, November 7, 2014

KONVO LAGI

Istiadat Konvekesyen Universiti Sains Malaysia (USM) yang ke 50 selama lima hari cukup membuatkan Kampus USM Induk ini sesak.

Sesak dengan kenderaan yang bersumbat-sumbat di atas jalan raya USM.

Sesak dengan manusia yang melata di bumi USM.

Kesesakan ini memeriahkan dan menceriakan.

USM DAN AKU

Keberadaan saya di kampus ini masih baru, baru setahun saya berkelana di sini. Indah,kampus yang unik dan penuh dengan rimbunan kehijauan. Dalam tempoh ini saya dipertemukan dengan ramai kawan baru. Minggu ini ramai di kalangan mereka yang bergraduasi.

11 orang senior dari ISDEV yang berjaya mendapat ijazah kedoktoran. 3 daripadanya adalah pensyarah saya. 

Dr Syakir yang selalu bernasyid lagu sunnah orang berjuang dalam majlis-majlis.


Dr Syahir yang selalu membaca doa dan memberi tazkirah.

Dr Wan yang sabar melayan kerenah kami.

Dr Razali yang sekarang sebagai Pengarah Pusat Islam UPM,saya kagum dengan tesis beliau tentang wakaf tunai.

Dr Farid dan Dr Mulia,senior kami daripada Indonesia yang cukup sabar dan gigih berjuang.

Dan beberapa orang Dr lagi yang saya lupa namanya.Hehe.

RAKAN LAMA DAN BARU

Segala penat lelah dan perit jerih dalam menuntut ilmu terasa berbaloi.Namun yang paling membahagiakan adalah apabila melihat kegembiraan di wajah ibu dan ayah.

Keluarga yang sanggup datang beramai-ramai kerana meraikan kegembiraan.Tahniah kalian kerana erjaa menggembirakan orang lain.

Tahniah buat teman satu team debat bersama saya di,Izzati yang berjaya mendapat ijazah sarjana di USM Kejuruteraan. 

Saudara Faisal Basir yang mendapat Ijazah Sarjana Matematik, sekarang sedang buat PhD dalam bidang yang sama. Seorang junior yang ceria dan baik.

Rakan-rakan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda agak ramai. Saya ucapkan tahniah buat kalian semua.

Junior-junior KMPP. Saudara Ziyad Rafiqi, Amirah, Faz Ismail, Syikin, Emma, Ain Nasiehah, Hidayah Nordin dan lain-lain.

Saudara Jasmun,Hisham,Afif dan rakan-rakan kalian yang lain. 

Tahniah dan selamat berjuang di alam selepas bergraduasi. Moga sukses sentiasa.

Pesan Abang Ramzah,

"Pendidikan formal sebetulnya hanya membantu kita mengasah kemahiran profesional dalam bidang spesifik yang kita pilih. Ia bukan bertujuan membataskan apa yang boleh dan tidak boleh kita minati,sebagai individu yang masih ada naluri manusia"


Thursday, November 6, 2014

PANAHAN

Jarang-jarang sekali bermain sukan memanah. Minggu lepas sempat main dengan rakan. Seronok rupanya. 

FOKUS

Fokus dalam membidik anak panah tepat ke sasaran. Bila sasaran sudah ada, fokus kepada sasaran yang telah ditetapkan. Abaikan yang di sekelilingnya,fokus kepada sasaran. Badan tegap,tangan lurus,mata fokus,telinga abaikan bunyian,jari menarik tali panah. Semuanya digunakan untuk memanah sasaran.

Begitu juga kehidupan ini. Apa sasaran kita? Jika sasaran mahukan keampunan dan redha Allah,sila fokus kepada sasaran tersebut. Abaikan godaan yang datang, kuatkan jiwa. 

Mata,telinga,tangan,kaki,badan,hati dan seluruhnya bekerja dan digunakan untuk capai redha dan keampunan Tuhan. 

Mata tak melihat kepada perkara haram.
Mulut tidak mengumpat dan mengaibkan orang.
Tangan dihentikan daripada maksiat.
Badan digunakan untuk ibadah.
Hati sentiasa mengingati Allah dan menginsafi dosa-dosa.

Bukankah mahukan redha dan ampunan Tuhan?

Fokuslah memohon ampunan Tuhan.

SABAR

Sabar dan tidak gelojoh bila mahu melepaskan anak panah. Kalau gelojoh,anak panah pergi entah ke mana. Jangan mahu terlalu cepat. Tengok sasaran, angkat busur, fokuskan anak panah ke sasaran, tarik tali sehingga tegang dan lepaskan bila sudah tetap dan yakin. Tapi hati-hati, jangan sampai tali busur melantun kena pada tangan.

Jangan gelojoh dalam beribadat. Perlu sabar dan tertib. Barulah tercapai sasaran kemanisan dalam beribadah,merasai indahnya berbicara dengan Tuhan. Beribadah sebagaimana diajar dalam agama, tidak melampau dan tidak juga main-main.

Bukankan Tuhan Maha Mendengar rayuan dan rintihan kita?

Ya,bila kita sabar dan bersungguh dalam merintih dan merayu.

PANAHLAH

Panahlah hatimu dengan bacaan Al-Quran setiap hari.Zikir di hati dan di bibir. Mencari redha Tuhan bukan mudah,mengharap ampunan Tuhan ada cabarannya.

Ugutan manusia, godaan syaitan, bisikan nafsu, celaan musuh dan pelbagai duri yang mencucuk. Tapi ingatlah.

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين.

PANAHLAH.