Sunday, April 19, 2015

Jakarta dan Bandung

Kembara bersambung lagi. Republik Indonesia (RI) adalah destinasinya. Ini kali kedua ke RI. Kali pertama dahulu ke Sumatera iaitu Medan. Kali ini ke Kepulauan Jawa pula. 5 hari dan 4 malam di Jakarta dan Bandung.

Islamic Book Fair

Target pertama ialah mahu ke Pesta Buku Islam Antarabangsa di Jakarta. Saya dan dua sahabat tiba di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta pada 6.30 petang. Itu pun penerbangan Lion Air telah lewat selama satu jam. Rupanya di Indonesia, Lion Air memang bermasalah. Malah ada yang delay selama dua hari. Haha.

Malam pertama menginap di rumah Pak Ariff. Rakan kami yang sangat baik dan ramah. Beliau merupakan kader kepada Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Fokus beliau adalah dalam soal kebajikan. Beliau menguruskan sebuah kolej yang menyediakan pengajian diploma kepada anak orang susah. Beliau juga terlibat dengan organisasi yang cakna kepada kebajikan guru-guru dan pendakwah. Saya melihat ini adalah usaha yang sangat baik dalam memperkukuhkan masyarakat sivil.

Keesokannya kami ke Pesta Buku tersebut, pada hari terakhir pesta ini. Banyak buku yang menarik. Dari aspek industri buku, negara jiran kita ini nampaknya lebih ke depan. Rupanya berjalan dengan sahabat yang gilakan buku ni membuatkan saya pun memborong juga buku-buku yang ada. Hehe. Prinsipnya mudah, beli dulu buku itu. Bila nak baca, itu susun kemudian. 

Baiklah, beli dulu.

Bandung

Petang hati kedua kami ke Bandung dengan menaiki bas. Kurang lebih tiga jam perjalanannya. Cantik pemandangan bukit bukau sepanjang perjalanan. Tiba di Bandung pada malam hari, disambut oleh seorang kenalan baru. Tapi saya lupa namanya. Haha. Beliau menjadi supir dan teman perjalanan kami. Nampaknya kos di Bandung lebih jimat berbanding di Jakarta. 



Di Bandung, kami hanya sempat pergi ke Kawah Putih. Bekas gunung berapi yang sudah tidak aktif. Maha Suci Tuhan, cantik tempatnya. Kemudian kami meronda sekitar bandar Bandung. Pulang semula ke Jakarta. 




PKS

Kami sempat dibawa Pak Arif ke kantor PKS di bandar Jakarta. Ada janji temu dengan Dr Mardani, salah seorang ahli syura PKS. Jadual asalnya bertemu pada sebelah petang terpaksa ditunda ke malam kerana kebetulan ada Mesyuarat Majlis Syura PKS. 

Bertemu dan berkongsi cerita dengan Dr Mardani hanya dalam setengah jam. Namun saya tertarik dengan cara dan keramahan Dr Mardani melayan tetamu. Ada perkembangan politik yang menarik juga di Indonesia. Sedikit perkongsian tentang PKS, sebuah parti politik yang agak Islamis di Indonesia. Kadernya dipilih dan dilatih dengan tersusun. Segala keputusan dan dasar parti diputuskan melalui Majlis Syura yang terdiri daripada 99 orang anggota. Untuk menjadi ahli Majlis Syura, mestilah melalui tapisan dan tempoh tarbiyyah tertentu. 

Beliau juga ada berkongsi tentang pengaruh Presiden Jokowi sekarang. Ada golongan yang optimis yang menyatakan Pak Jokowi akan bertahan selama dua penggal kerana beliau didokong oleh masyarakat majoriti di Indonesia. Golongan yang pesimis pula menyatakan Pak Jokowi akan tumbang sebelum Pemilu akan datang kerana masalah ekonomi yang dihadapi sekarang, isu kontrak Freeport di Irian Jaya dan juga beliau dianggap sebagai boneka kepada Presiden partinya. Golongan pertengahan pula menjangka Bapak Presiden akan kekal pada penggal ini sahaja, penggal depan akan diganti dengan orang lain. Ah, politik itu memang sangat dinamik sifatnya. 




Universitas Indonesia

Saya bertemu juga dengan seorang kawan baru, namanya Sigit. Dia merupakan rakan kepada sahabat saya. Mahasiswa lulusan UI ini sangat berpengetahuan luas. Fokus beliau adalah dalam georafi dan geopolitik Asia Timur. Saya melihat beliau sangat gigih dan berusaha keras dalam proses menuntut ilmu. Banyak kali ke luar negara untuk menyertai konferens akademik. Beliau juga pernah tinggal di Malaysia selama tiga bulan untuk exchange student programme di Universiti Malaya. Banyak kampus di Malaysia yang telah dilawatinya. Kesungguhan beliau menuntut ilmu sangat saya kagumi.



Beliau telah mendapat tawaran menyambung pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Kyoto, Jepun dengan biasiswa. Hebat. Seorang rakan yang baik dan mudah mesra. Dibawanya kami meronda ke sekitar UI. Melawat perpustakaan, sekitar tasik dan fakultas yang ada di UI. Beliau juga yang membawa kami meronda sekitar bandar Jakarta seperti Monas, Istana Presiden, Masjid Istiqlal dan beberapa tempat lagi. Sebelah malamnya kami dibawa ke toko buku. Saya akui, memang menjadi agak ghairah mahu membeli buku-buku yang diterbitkan di sana. Malam terakhir di Jakarta itu kami gembira mengenali rakan yang bernama Sigit ini. Moga terus sukses dalam hidup. InsyaAllah kita ketemu lagi.



Selamat Tinggal Indonesia

Beberapa kenalan baru di Indonesia membuatkan saya rasa masih terlalu sedikit kawan saya sebenarnya. Terima kasih Pak Arif yang sudi menumpangkan kami di rumahnya. Moga Allah berkati Pak Arif sekeluarga. Sempat juga kami bertemu dengan Pak Dzakirin, penulis buku tentang post Islamism di Turki. 2 jam lebih berkongsi dan berbicara dengan beliau. Katanya beliau mahu ke Turki Mei 2015 untuk meneliti perjalanan Pemilu di Turki. 

Ketika kami menunggu penerbangan pulang ke Malaysia, sempat juga sarapan bersama dengan Tan Sri Syed Zainal, bekas CEO Proton. Orang Kelantan juga rupanya dia. Banyak juga perkongsian dari beliau. Rupanya beliau salah seorang ahli Majlis Penasihat Ekonomi Kelantan. Berjumpa dengan orang hebat ini memberi inspirasi.

Sampai di KLIA, terserempak pula dengan ADUN Kijal, YB Dato' Ahmad Said, juga baru pulang dari Indonesia. Saya rasa jatuh hati dengan Indonesia. InsyaAllah saya akan berkunjung lagi ke sana, mungkin ke daerah lain pula. Hehe.









2 comments:

Mia :) said...

lepas ni buleh mari jalan2 mesir pulak xD

asrar_qalbi said...

Mia : insyaAllah, doakan ado rezeki nak g ziarah Mesir.