Monday, March 29, 2010

Akridetasi Program Pengajian UniMAP..Isu yang mencari jalan keluar..

1- Isu yang sedikit panas dalam kalangan warga Universiti Malaysia Perlis,tentang pengiktirafan program pengajiannya.Isu ini menjadi hangat apabila surat khabar Kosmo menulis berita tentang perkara ini.Kemudian terjadilah isu jawab menjawab antara pihak  

2- Apa pun isunya,sememangnya hanya dua program pengajian ijazah muda di UniMAP yang mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).Selebihnya belum lagi mendapat pengiktirafan untuk program pengajian.

3- Perkara-perkara yang berkenaan pengiktirafan ini telah dijawab oleh pihak pengurusan UniMAP.Tahniah kepada pihak Dato' NC UniMAP yang telah memberi penjelasan tentang perkara ini.

4- Dato' NC dan pihak pengurusan juga sedang berusaha dengan berbincang dengan pihak KPT dan pihak berkenaan dalam menyelesaikan perkara ini.Dalam satu ucapan beliau dalam majlis Wacana Sosial,Dato memberi jaminan,beliau rela dipecat dari jawatan beliau jika gagal dalam mendapatkan pengiktirafan ini.Tahniah dan syabas atas kesungguhan  Dato'.

5- Selepas majlis Wacana Sosial bersama Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri,pihak Universiti,MPP dan Alumni juga telah berbincang dengan Dato' Shahlan tentang perkara ini,dan beliau memberikan jaminan untuk membantu menyuarakan perkara ini kepada pihak berkenaan.Tahnia juga kepada pimpinan mahasiswa dan alumni UniMAP yang mengambil berat isu ini.

6- Apapun,satu perkara yang kurang enak didengar apabila banyak suara yang memarahi dan mencemuh pihak akhbar tersebut kerana berita itu.Namun bagi saya,seluruh warga UniMAP wajar berterima kasih kepada akhbar terbabit kerana telah mem'bom'kan isu ini.Maka banyak pihak yang terpaksa bertungkus lumus dan mengambil berat isu yang lama tertangguh ini.
  
7- Pihak KPT juga harus rasa terdesak dalam isu ini.UniMAP adalah salah satu IPTA,maka sepatutnya perkara teknikal yang melibatkan pengiktirafan program pengajian ini diselesaikan pada awal-awal lagi.

8- Namun UniMAP terpaksa tabah menghadapi perkara ini.Mungkin pengambilan pelajar untuk sesi akan datang berkurangan,risiko kepada bakal graduan dan lain-lain.Namun,sebagai seorang mahasiswa,kita warga UniMAP teruslah berusaha memperbaiki mutu diri dan akademik kita semua.Koreksi diri dan nilai diri sendiri dahulu sebelum mengharungi dunia mencabar.

9- Selamat maju jaya untuk warga UniMAP terus maju.



Thursday, March 25, 2010

Sayang Sahabat..



Sahabat dari Mesir menghantar gambar ini kepada saya.Tiba hati terkenang pelbagai kenangan di zaman sekolah.Subhanallah..indahnya zaman itu..

Sahabat satu usrah ini sememangnya mengajar erti kehidupan.Manisnya ukhuwwah kerana Allah.Suka dan duka bersama.Adakala tawa riang bersama.Kadang-kadang bermasam muka.Bertumbuk tampar jarang-jarang bertandang.

Tapi...bila berjauhan pada masa ini..terasa sungguh mahu bertemu kalian.Mahu sahaja diluah masalah,berkongsi cerita.Makan setalam,bergurau senda bagai dulu.

Dan kini kita semua berjauhan,menuntut ilmu dalam pelbagai bidang dan jurusan.Namun yang penting,biarlah ilmu yang kita dapat digunakan untuk mendaulatkan Islam.Semoga kita semua adalah pejuang agama-Nya.InsyaAllah..




Sahabatku,sungguh diri ini rindukan kalian.

Semoga Allah memberkati kita semua,terus kuat dalam keimanan dan ketaqwaan.

Semoga ukhuwwah kita ikhlas kerana Allah dan semoga digolongkan dalam golongan mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah..

Amin...

"Tidak ada suatu pun yang paling berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas Islam selain teman yang soleh.Apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya,maka peganglah ia dengan sungguh-sungguh"-Umar Al-Khattab-

Ke bumi Borneo..

Alhamdulillah..

Pertama  kali menjejakkan kaki ke bumi Borneo pada minggu lepas.Sungguh indah bumi Allah ini.Allah menyuruh hamba-hamba-Nya untuk berjalan di muka bumi ini,lihat kejadian ciptaan-Nya dan ambillah iktibar.

Saya bertandang ke Sabah untuk pertandingan Debat Integriti.Perkara pertama yang paling menarik di sana adalah loghat percakapan orang Sabah.Haha..bagi saya sangat menarik dan tertarik.Seronok mendengar perbualan mereka.

Dan saya mengambil peluang untuk berjumpa kakak saya dan anak-anak buah yang lama tak bersua muka.Gembira hati bertemu keluarga tercinta.

Melawat UMS yang terletak di tepi laut Sabah.Cantik dan menarik juga kampusnya.

Masjid UMS yang tersergam indah di atas bukit..

 Langit petang Sabah..hehe

Kak Long dan Syazwin..manja sungguh budak ni..
Ikhwan..jadi anak soleh yer..moga cepat sembuh..

 
Segala puji bagi Allah...

Monday, March 22, 2010

Hujan yang turun....


Petang tadi sungguh panas cuaca di utara tanah air ini.Terasa begitu menyengat kepanasan itu.Melihat keadaan kiri kanan bendang yang kebanyakannya telah siap dibajak.Itu maknanya,akan tiba musim membuat bendang.


Beginilah suasana yang teramat panasnya siang tadi.Kelihatan juga sungai-sungai yang kekeringan air akibat musim kemarau.


Kering kontang sungai ini.Namun ada keindahannya.Maha Suci Allah.

Dan tiba-tiba,petang tadi hujan turun dengan lebatnya.Lebat sungguh tidak terkata.Sehinggakan banjirlah di hadapan rumah saya.Maha Suci Allah.

Apa pun cuacanya,Alhamdulillah...

Jenazah itu...


Innalillahi wainna ilaihi raji'un...

Bila mati seorang anak Adam,maka ada 4 perkara yang wajib diselesaikan.

  1. Memandikan jenazah
  2. Mengkafankan jenazah
  3. Solat jenazah
  4. Mengebumikan jenazah
 Itulah yang saya dapat sedikit ilmu daripada Kursus Pengurusan Jenazah semalam.Mayat dia atas ni pun sebenarnya hanya simulasi.Namun begitu,terlintaslah di fikiran..begitulah nanti keadaan diri ini apabila sudah berpisah jasad dan roh nanti.

Tidak ramai pelajar yang berminat dengan program sebegini.Takut,tak minat,kolot dan lain-lain.Lupakah kita semua juga akan mati.Apapun,tahniah kepada pihak penganjur dan peserta yang datang.Selepas ini,diharap lebih banyak program ilmiah sebegini diadakan.

Sewaktu hidup,boleh mandi dengan sendiri,namun bila suah mati..orang lainlah yang akan memandikan jasad ini..

Ketika bernyawa,boleh sahaja sesuka hati mahu pakai pakaian dan fesyen yang bagaimana.Baju singkat atau labuh.Sendat atau longgar.Lengan pendek atau panjang.Tutup aurat atau terbuka seksi.Pelbagai fesyen dan warna.Namun di saat itu tiba,hanya kain putih yang membalut badan.Mesti ditutup seluruh jasad.tiada lagi daya dan pilihan.

Dulu sungguh liat untuk solat.Terasa rajin,solat.Malas,ditinggalkan begitu sahaja.Namun bila sudah tidak lagi mampu solat,pada waktu itu,orang lainlah yang akan mensolatkan kita.

Dan dari tanah asalnya kejadian manusia ini,maka kembalilah kita semua ke dalam tanah.Menjadi makanan ulat.Hancur jasad dimamah bumi.

Apalah erti hidup ini tanpa iman dan amal....

Saturday, March 13, 2010

Perginya permata agama...


"Salam,ustaz..betul ke maklumat ni? Syeikh Azhar meninggal dunia"

Saya mendapat sms dari sahabat lama di matrik.Terkejut juga membacanya.Terus menghubungi sahabat karib.Kawan dari Mesir mensahihkan berita itu.

Innalillahi wainna ilaihi raji'un.. 

Teringat ketika aku menjadi makmumnya ketika solat jumaat di Masjid Sultan ketika lawatanku ke Singapura.Mendengar khutbah dan bacaan Al-Quran olehnya seolah-olah suara orang muda walau pun orangnya sudah berusia.Gagah dan tegas dalam menyampaikan dakwah Islam.

Cuba untuk pergi bersalam dengannya,namun kerana orang yang sangat ramai,saya hanya mampu melihat dari jauh wajah ulama' tua itu.Itulah dia Al-Marhum Syeikh Mohammed Sayed Tantawi.
Al-Fatihah..




Tuesday, March 9, 2010

Bila nikmat ditarik...


"Kita berasa sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya,tapi kita tak dapat menerima kemungkaran yang dibuat oleh ibunya bersama kekasihnya itu."

Sedih dengan kes kematian yang menimpa anak kecil itu.Ibunya sedih sekali bila ditarik nyawa orang yang disayanginya.Namun pemergian anaknya itu bukan penghapus dosanya yang pernah tinggal sebumbung dengan kekasihnya,pernah ditangkap oleh jabatan agama dan sebagainya.Akhirnya,kekasih itu juga yang membunuh anaknya.

Rupa-rupanya,begitulah barah yang ada dalam masyarakat kita.Barah yang merosakkan umat manusia.Sedarlah,apa tanggungjawab kita.

Manusia jarang mensyukuri apa yang ada bersama-sama dengannya.Namun bila hilang,teraba-raba mencari kembali.Ketika itu jangan menyesal.Mungkin itulah akibat dek dosa-dosa kita sendiri.

Maka bertaubatlah kita wahai insan.Allah tarik nikmat-nikmat itu kerana mahu kita bertaubat pada-Nya.


Anakku...


Saya melihat dari cermin lutsinar di sebelah tempat duduk saya dalam bas,seorang anak muda mencium tangan kedua ibu bapanya.Anak remaja belasan tahun ini mungkin bersekolah di sekolah berasrama.Melihat wajah ibu dan ayahnya yang penuh pengharapan pada anak mereka itu.

IBU BAPA

"Anakku sayang,belajarlah rajin-rajin,untuk memenuhi tuntutan agama Islam.Dalam menuntut ilmu dunia,jangan kau lupakan tentang akhiratmu".Mungkin itu pesanan hati ibunya.

"Anakku yang dikasihi,jadilah kamu penuntut ilmu yang ikhlas kerana Allah.Kelak kamulah yang akan menggantikan ayah sebagai pemimpin dalam keluarga mahupun masyarakat".Besar harapan seorang ayah kepada anaknya itu.

Saya berkhayal seorang diri.Namun saya dapat merasakan kasih sayang ibu dan ayah remaja itu kepada anak mereka.Ditunggu sehingga bas itu mula bergerak,dan dilambai-lambai tangan kepada anak kesayangan tanda perpisahan.Diiringi sejuta doa mungkin.

Ayah dan ibu yang beriman barangkali yang begitu.Ada juga yang berkata pada anaknya."Anak,belajar sungguh-sungguh,nanti masuk universiti,kerja besar-besar dan hidup mewah."Apa pun pengharapan seorang ibu dan seorang bapa,semuanya demi kebaikan anak-anak.

Namun perlu diingat,apa yang dididik pada anak-anak,akan dituai oleh ibu bapa.Jikalau diasuhnya anak itu belajar kerana Allah,tidak kira ilmu duniawi apatah lagi ilmu agama,maka ibu bapa akan menuai seorang anak yang mungkin bijak,mungkin tidak seberapa.Kelak mungkin bekerja besar,atau hanya penjual pisang goreng.Namun anak yang memahami hakikat hidup itu tetap akan berbakti pada ibu bapa mereka. Jika ibu bapa meninggal,merekalah yang akan menguruskan jenazah mereka,mendoakan mereka dan menyalurkan pahala kepada mereka lantaran menjadi anak soleh dan solehah.

Jika anaknya  dididik cemerlang dengan ilmu dunia sahaja tanpa diasaskan dengan agama,mungkin anaknya itu menjadi pegawai besar,kaya-raya namun apa yang ibu bapanya dapat.Kereta besar,rumah mewah,duit bertimbun? Sayang jika nikmat itu dapat dikecapi,tapi anak-anak buta agama.Ibu bapa meninggal,bukan setakat nak uruskan jenazah,masuk dekat pun tidak.Apatah lagi nak mendoakan mereka,membaca Al-Quran kepada mereka.

Apa yang kita tanam,itu yang kita akan tuai kelak..

ANAK

"Ibu,Salman mahukan kenderaan.Susah nak bergerak berada di kampus tanpa kenderaan sendiri."Adu anak pada ibunya.Maka ayah belikan sebuah motor,atau mungkin sebuah kereta.Dengan harapan,anak akan mudah bergerak,lancar dan senang dalam menuntut ilmu.Dan tidak gunakan ke arah benda buruk.

Anak muda berasa bergaya dengan motor barunya.Atau kereta lawa miliknya.Bukan setakat untuk ke kelas dengan motor itu,malah diangkut sekali anak dara orang di belakang untuk melihat keindahan pantai.Ewah..bangga lagi bila dipeluk oleh si gadis di belakang..Dengan kereta,mudah untuk ke kelas malam.Tapi pada tengah malam,ada 'kelas' dengan kekasih hati pula di dalam kereta itu.

Anak..jangan kau khianati amanah ibu bapamu..

"Ayah..Siti nak duit..duit makan dah habis".Baiklah anakku,ayah masukkan duit itu ke akaun bankmu.Gunakan baik-baik ye,untuk makan minummu dan keperluan pelajaranmu.

Maka setelah mendapat duit saku,anak itu sungguh baik hati sehingga sanggup membelanja si jejaka buah hati makan setiap hari.Dibeli pula kasut dan baju untuk kekasih,sampai ada yang bagi duit terus.Tanda sayang kononnya,padahal terbuai dengan si buaya pengikis.

Anak..jangan kau khianati amanah ibu bapamu..

Pesan ayah,jadilah pelajar yang berakhlak mulia,belajar bersungguh-sungguh.Pesan ibu,jagalah maruah dan kehormatan dirimu anakku.

Maka anak di tempat belajar sangat 'ingat' pada pesan ibu bapanya.

Setiap hari dia akan mengulang kaji game DOTA dan FIFA nya.Sehingga sangat mahir.Ditambah dengan beberapa subjek Facebook,chatting dan lain-lain.

Setiap petang akan keluar dengan kekasih hati.Makan bersama-sama,study bersama.Kadang-kadang,tangan pun bertaut sama.Ambil gambar kepala di atas bahu kekasihnya.Lagi hebat rela untuk dipeluk.Bertepuk tampar tanda kemesraan.

Aurat dibuka sesuka hati.Tidak mengapa pakai baju ketat,fesyen sekarang.Ibu jauh,bukan dia tahu.Baju jarang cantik juga,nampak sedikit kulit gebuku.Tudung diikat ketat,tak menutupi bahagian dada.Lagi hebat,dibiarkan rambut itu menggerbang ditiup angin.Kononnya mahkota kecantikan wanita.Adoi..

Sungguh ingat anak ini pada amanat ibu bapanya,sehingga semua yang dilarang dilakukannya.

Anak..jangan khianati amanah ibu bapamu...




Renungkanlah..

Dalam hati ibu berkata: "Pergilah anakku..belajarlah bersungguh-sungguh..jangan kau lemas dalam kebebasan yang ibu berikan,,ibu tidak menghantar kamu ke sana melainkan ibu percaya kepada kamu kerana kamu anak ibu.."

Dalam jiwa ayah pula berbisik: "Anakku..ayah lepaskan kamu dengan sejuta doa moga kamu tidak pernah lupa nama yang kamu bawa di hujung namamu..hati ini penuh berharap agar kamu pulang membawa piala kemenangan..anakku..selamat berjuang.."




Wednesday, March 3, 2010

Adik Syafia Humairah..


  • Apa sebenarnya sudah terjadi dengan manusia sekarang.Sudah hilang sifat kemanusiaan.Apabila manusia sudah tidak bersifat sebagai manusia,maka sifat kebinatangan akan mengambil alih.Malah mungkin lebih teruk dari itu.
  • Kisah tragis yang menimpa adik Syafia Humairah dua hari lepas cukup membuat hati saya sayu dan terpina.Apakah salah kanak-kanak 3 tahun tersebut kepada kita yang dewasa ini,sehingga didera sebegitu.
  • Orang yang menderanya dipercayai kekasih kepada ibunya dan rapat dengan adik Syafia.Namun hari itu dideranya kanak tersebut sehingga mati.Di manakah nilai kemanusiaannya?
  • Kanak-kanak itu memang sifatnya tidak mengetahui apa-apa.Yang ada hanyalah fitrah selaku manusia.Suka dibelai,diberi kasih sayang dan perhatian.Adakah kanak-kanak sekecil itu ada membuat dosa dengan orang dewasa? Sesekali tidak.Sepatutnya orang dewasalah yang akan mencorakkan pemikiran,iman dan sikap kanak-kanak.
  • Namun sekarang kanak-kanak dijadikan tempat melepaskan kemarahan yang ditanggung.Dijadikan tempat melepaskan nafsu.Kita masih belum lupa apa yang berlaku kepada adik Nurin dahulu.Adakah kerana silapnya orang dewasa,kanak-kanak yang suci bersih dari dosa itu yang menjadi mangsa.
  • Fitrah manusia akan gembira bila melihat bayi dan kanak-kanak.Tapi orang sanggup melakukan jenayah itu semua adalah orang yang fitrahnya sebagai manusia telah tertutup dengan nafsu dan dosa noda.
  • Begitu juga dengan kes buang bayi baru-baru ini,sehingga ada bayi yang dibakar.Akibat dosa orang dewasa berzina,ditambah lagi dosa membunuh anak sendiri,sehingga ada kes yang membakar bayi.Astaghfirullah.Manusia yang bukan manusia.
  • Satu persatu Allah tunjukkan bala yang menimpa umat ini.Ada sesuatu yang Allah mahu kita hamba-Nya sedar dan perhatikan.Bila pemimpin dan manusia mula jauh dari agama Allah,maka Allah tunjukkan kesannya kepada kita semua.Apakah solusinya?
  • Tidak lain tidak bukan adalah perlunya umat ini kembali kepada ajaran Islam.Islam itu perlu dijadikan cara hidup secara keseluruhan,bukan hanya pada solat,puasa,zakat dan haji sahaja.Islam itu sempurna dan mnyempurnakan kehidupan kita insan yang lemah ini. Semoga keluarga dan dahabat handai kita dijauhkan daripada malapetaka buruk yang melanda masyarakat pada hari ini.Sama-samalah koreksi diri dan memohon perlindungan dari Allah.