Sunday, January 25, 2015

PEMERGIAN

Pagi 25 Januari 2015, teman fasilitator menghubungi dan menghantar pesanan mesej kepada saya. Kami dikejutkan dengan kembalinya junior kami, Mohd Fauzan ke rahmatullah. Saya rasa terkilan yang amat kerana tidak sempat untuk menziarahinya buat kali terakhir.

 Beliau terlibat dalam kemalangan pada pagi Jumaat  (23 Januari) yang lalu. Ayah dan rakannya meninggal dunia. Beliau koma dan keadaannya adalah DIL (Death In Line).

Hubungan dalam keluarga besar fasilitator sangat akrab dan mesra. Saudara Fauzan yang kami kenali ialah seorang yang sangat ceria dan menceriakan orang. Tubuhnya tinggi lampai, rambut panjangnya yang menjadi identiti dirinya. Kami mengenali dia seorang yang sangat rajin, ringan tulang dan tidak lokek menghulurkan bantuan. Gurauan antara kami biasanya agak kasar tapi mesra. Beliau adinda kami yang sangat baik, menghormati orang lain. Loghat Kedah beliau yang sangat pekat itu akan tetap kekal dalam ingatan kami.

Pada saat dia terlantar, ramai teman dan pensyarah  yang menziarahi beliau. Doa tidak putus untuk kesejahteraan beliau. Pun begitu, ketentuan Allah menetapkan setakat ini sahaja umurnya di dunia. Kami redha dalam syahdu dengan pemergian beliau.

Ramai insan yang menangisi pemergianmu.
Kamu disayangi oleh insan yang mengenalimu.
InsyaAllah kamu disayangi Allah dan para malaikat.
Semoga ditempatkan di kalangan solihin.
Amin.

Status beliau di FB:-
‘Dakwah’ patut menyentuh jiwa,
bukan menyinggung rasa –
membantu manusia mengenal Pencipta,
bukan sekadar membantu diri mengejar syurga.
(Mohd Fauzan, 23 Oktober 2014)


Selamat berehat adinda kami Mohd Fauzan.


No comments: