Tuesday, December 31, 2013

Genap Setahun

31/12/2012

Petang itu dapat mesej daripada Naemi, keadaan Zunnur tiba-tiba kritikal,kena masuk ICU. Hati rasa berdebar. Minggu lepas baru pergi ziarah dia di hospital, sembang macam biasa. Mudah-mudahan dia okay je. Doa di dalam hati.

Usai solat maghrib, menerima sms daripada ibunya, Zunnur telah pergi menghadap Allah. Aku terdiam dan menitis air mata tanpa sedar.

Innalillahi wainna ilahi rajiun. Ajal, bukan boleh diganjak awal sedetik atau lewat sedetik. Tiba detiknya, berpisahlah jasad dan roh pergi menghadap Ilahi.

Hari ini cukup setahun. Setahun ini, tidak pernah sekali pun aku ziarah ke kuburnya. Bukan tidak mahu,tetapi belum kuat. Terlalu banyak kenangan dengan insan dan sahabat yang sebaik dia. Mengaji quran bersama, naik motor ke kuliah bersama, kadang-kadang meredah hujan. Seorang sahabat yang baik, semoga engkau tenang di sana sahabat Mohammad Zunnur Hasan.

x banyak gambar kita bersama..ni je yang ada..

Thursday, December 5, 2013

MUSIM CUTI DAN PERKAHWINAN

Musim cuti dan majlis perkahwinan sentiasanya sinonim dalam masyarakat kita. Sekarang ini musim cuti sekolah hujung tahun. Dua perkara yang selalu menjengah.

Pertamanya adalah musim banjir bagi kami warga Pantai Timur. Inilah kebiasaan kami, sentiasa bersiap siaga menghadapi dan melayan musim banjir. Ujian dan nikmat yang silih berganti daripada Allah kepada kita hambaNya. Tahun 2013 ini menyaksikan banjir yang agak teruk di negeri Pahang sehingga Kuantan lumpuh terus. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudara kita di sana.

Perkara kedua yang sinonim dengan cuti hujung tahun ini ialah majlis walimatul urus. Tahun ini banyak pula aku terima jemputan ke majlis perkahwinan rakan-rakan saya. Dalam bulan November lalu, sudah terlepas beberapa jemputan dari teman-teman. Pohon maaf kawan-kawanku yang aku tak dapat hadir majlis kalian kerana kekangan yang pelbagai ni.

Semoga Allah merahmati perkahwinan kalian,bahagia hingga ke syurgaNya. Bulan Disember ini pun ada beberapa jemputan. Tak pasti lagi mampu memenuhi undangan kalian. Akan diusahakan insyaAllah.

Teringat perbualan aku dengan abang. Katanya, perkahwinan ini kena tengok pada kondisi kita. Di tahap mana kita ini, wajib kah, sunat kah, harus kah, makruh atau haram kah?

Jika dalam situasi wajib dan sunat, usahakanlah kahwin secepat mungkin, minta tolong ibu dan ayah usahakan. Jika di tahap haram dan makruh untuk berkahwin, tak perlu kahwin lagi. Jika di tahap harus, jalanilah hidup dengan aman.

Di tahap manakah anda?? hehe..



Kata orang. "Berkahwin dengan orang kita suka,itu adalah IMPIAN.Berkahwin dengan orang yang tak dijangka itu dipanggil JODOH."

Yer la kan, segalanya adalah rahsia Allah. Termasuklah dalam soal jodoh. Pesan guru aku, " Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat apa kita setia, selama apa kita menunggu, sekeras apa kita bersabar, sejujur apa kita menerima si dia. Jika Allah tidak menulis jodoh kita tetap tidak akan bersamanya."

Tapi, apa yang lebih penting adalah kita tak tahu rahsia bila tarikh KEMATIAN kita. Macam dialog dalam filem 'Ustaz Mu Tunggu Aku Datang'. 

"Adakah tuan boleh jamin saya dan tuan boleh hidup dan bernyawa esok hari?" 

Sentap ooo...

Moga menjadi peringatan kita bersama. Selamat pengantin baru buat teman-temanku yang akan melangkah ke gerbang alam rumah tangga. Moga rahmat Allah bersama kalian dan keluarga masing-masing.

-Itik Kuning berenang ke laut Pasifik-

Wednesday, October 23, 2013

PILIHAN RAYA KAMPUS

Kebetulan lalu di hadapan padang kawat USM, rupanya ada majlis Rapat Umum Pilihan Raya Kampus. Saya singgah untuk mendengar. Sebagai pemerhati, saya masuk hadir ke dalam kelompok kedua-dua belah pihak, Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Meriah dan menarik sokongan dan kemeriahan para penyokong memberikan sokongan kepada pihak masing-masing.

Pro-Aspirasi

Saya berada lama dalam kelompok Pro-A yang bertema pakaian hitam, kebanyakannya bercetak Alif Ba Ta memerhati dan melihat sokongan pihak mereka. Pemerhatian saya terhadap Pro-A di USM ini adalah:

1. Jumlah penyokong mereka yang ramai berbanding dengan pihak Pro-M.

2. Kedua, wujudnya kerjasama antara calon-calon mereka dengan penyokong mereka ketika memberi ucapan. Sesuatu yang kreatif.

3. Ketiga, saya melihat calon Pro-A digilap dan disediakan lebih awal, maksudnya dengan persediaan yang kemas untuk berucap. Namun bagi saya, semuanya sama pattern sahaja. Yakni, agak sama gaya. Tapi ada beberapa orang calon mereka yang memang attractive. Tahniah.

4. Penyokong mereka yang begitu bersemangat. Bagus dan hebat. Tapi gaya mereka memprovok dan calon lawan dan boo ketika calon lawan berucap, itu sesuatu yang kurang beradab dan kurang sesuai sebagai warga mahasiswa. Kita bukan berkempen di hutan kan?? Hihik.

Pro-Mahasiswa

1. Bilangan penyokong mereka agak kurang berbanding penyokong lawan mereka.

2. Namun rasa lebih tenang dan cool sedikit bila berada di sebelah sini. Tidak ada provokasi dan boo. Tahniah dengan kematangan tersebut.

3. Saya paling suka bila mereka akhiri dengan bacaan doa sebagai penguat semangat.

Kemudian?

1. Kedua-dua belah pihak tidak boleh bergantung semata-mata kepada ucapan dalam rapat umum. Ia hanya sebahagian daripada kempen. Apa yang lebih penting strategi kempen yang menyeluruh dan sentuhan anda kepada para pengundi anda.

2. Akhlaq dan kematangan anda dalam proses pilihan raya kampus ini adalah lebih penting daripada sebuah kemenangan yang disulami dengan akhlaq yang buruk dan ketidakmatangan. Bersikap matang dan bertandinglah secara sihat.

3. Saya gembira melihat keberanian para calon dan penyokong masing-masing dalam memperjuangkan agenda dan hasrat murni mereka. Teruskanlah melangkah dengan penuh berhemah dan cermat.

4. Menang kalah adat pertandingan. Namun pengalaman kalian adalah lebih mahal dan berharga. Jadikan ia sebagai proses kematangan dan menjadi seorang yang dewasa.

Selamat mengundi kepada semua warga USM!

Tuesday, October 15, 2013

Merindui Makkah dan Madinah

Assalamualaikum warahmatullah.

Ibadah haji yang sedang berlangsung di bumi Makkah disiarkan di seluruh dunia. Ia bisa menggamit perasaan setiap muslim yang merindui bumi Makkah dan Madinah. Bagi mereka yang belum pernah sampai ke sana, sudah tentu perasaan mereka membuak-buak mahu ke sana. Bagi mereka yang pernah pergi, mereka juga sangat terasa ingin pergi lagi.

PERTAMA KALI

Saya diizinkan Allah menjadi tetamu-Nya buat kali pertama pada April 2013. Alhamdulillah. Tiba di Madinah, perkara pertama yang saya fikirkan adalah mahu menziarahi Nabi. Tapi tiba pada waktu tengah malam, masjid Nabawi ditutup selama 2 jam. Hampir subuh baru dibuka. Apa yang saya dapat rasa adalah KETENANGAN.

5 hari di Madinah, kemudian bergerak ke bumi Makkah. Juga sampai pada tengah malam, terus selesaikan ibadah umrah. Tidak terasa keletihan berada di sana. Tidak perlu saya coret satu persatu apa yang saya lalui di sana, cukup saya katakan, berusahalah sehabis mungkin untuk menjejakkan kaki anda ke bumi barakah itu. Laluilah sendiri pengalaman menjadi tetamu Allah.



PENGAJARAN

1. Saya melihat ramai warga tua di sana yang mana mereka ada keterbatasan untuk menunaikan ibadah. Apa pun mereka memang bersungguh. Kerana itu saya merasakan, kita jangan tunggu tua baru nak menunaikan umrah dan haji. Saya sendiri berazam untuk menunaikan haji secepat yang mungkin (biiznillah), dalam usia yang muda dan kuat ini. Jika kita mampu berbelanja membeli rumah dan kereta, kenapa perlu bertangguh untuk mengeluarkan harta untuk ibadah haji dan umrah. [Target nak buat haji sebelum umur 30, insyaAllah]

2. Jika ibu bapa masih ada, berusahalah membawa mereka ke sana. Dalam keterbatasan usia mereka, ia menguji kesanggupan kita untuk berbakti kepada mereka.

3. Kesabaran adalah antara kunci besar dalam beribadah dan proses menjadi hamba Allah yang bertaqwa. SABAR


Terlihat sepasang suami isteri sedang membaca Al-Quran.

SALAM AIDILADHA 1434H.

3.30 a.m

Friday, October 11, 2013

Betul-betul suka ke?

"Abang betul-betul suka ke baju saya ni?",tanya junior saya.

"Kenapa?"

"Kalau kata suka,saya hadiahkan pada abang."

Haha.Junior saya ini memang baik hati.Maka saya geleng kepala.Kalau saya angguk,nanti memang dia beri baju dia itu pada saya.

Kisah kedua dengan seorang lagi sahabat saya. Saya hanya meminjam sekejap jaket dia kerana kesejukan. Saya puji kata jaket dia ni lawa. Berkenan juga tengok. Saya berhajat nak beli. Hari terakhir program, dia hadiahkan saya jaket tersebut. Pada program yang lain pula, dia bawakan sehelai jubah haramain pada saya. Eh,baik hati sungguh la adik ni.



MEMBERI

Saya belajar dari manusia seperti ini tentang sikap memberi. Mereka ini sedia memberi benda yang mereka suka. Memberi itu sikap yang mulia. Sama ada memberi harta, kasih sayang, perasaan dan sebagainya.

Namun memberi itu bukan semudah diungkap di bibir. Kerana apabila kita rasa kita memiliki, sukar untuk untuk kita memberi. Sedarlah bahawa semua adalah pinjaman dari Allah kepada kita. Itu akan memupuk sifat memberi dalam diri kita.

Memberi kepada mereka yang kesusahan.
Memberi kepada manusia di sekeliling kita.

MEMBERILAH KERANA ALLAH.

moral:jangan kedekut dan bakhil sangat duhai Itik Kuning


Tuesday, October 8, 2013

SANGAT BERKACIP

Kalimah kacip merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa membawa makna sejenis pokok atau tumbuhan. Ia juga memberi makna perbuatan mengacip seperti mengacip buah pinang.

Dalam istilah perbualan orang Kelantan, kacip atau sebutannya kkacip (ada sabdu pada sebutan huruf K di hadapan kalimah itu) memberi makna sangat akrab, rapat, karib dan mesra. [saja nak bagi takrifan.haha]. Contoh ayat: Ahmad dan Ali sangat kkacip.

Hujung minggu yang lalu saya dan beberapa orang sahabat kkacip saya pergi menziarahi ibu kepada seorang sahabat kami yang baru menjalani pembedahan bypass jantung. Antara hak sesama muslim ialah menziarahi apabila ada saudara kita sakit, dan dalam bersahabat hendaklah kita mengambil berat bukan setakat pada sahabat kita, bahkan mengenali kaum keluarganya sama. Tidakkan indah ajaran Islam itu?

Hajat hanya mahu singgah sekejap, mungkin hanya setengah jam sahaja, namun berlanjutan sehingga 3 jam lebih. Kami dilayan penuh mesra sebagai tetamu, malah dijamu dengan makan tengah hari. Bersembang dan berbual dengan ibu bapa sahabat kami itu (yang juga kami anggap macam ibu bapa kami sendiri) sangat menyeronokkan, dapat mendengar pengalaman dan perkongsian orang lama. Ya, mungkin kita lebih pandai dari mereka, tapi kita tak dapat menandingi pengalaman hidup yang telah dilalui oleh mereka. 

Dalam masa yang sama, dapat juga korek rahsia sahabat sendiri dari ibu ayah mereka. (Hehe..). Apa pun,itulah indahnya bersahabat bila kita niat ikhlas kerana Allah, menjaga adab dan hak dalam bersahabat, berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing, sedia bantu membantu dan saling nasihat menasihati untuk mendekatkan diri pada Allah.

1. Bila sahabat kita atau keluarganya sakit atau ditimpa musibah, cepat-cepatlah berusaha untuk ziarah dan membantu.



2. Adab kita orang Melayu sangat menjaga dan menghormati tetamu. Itu juga disarankan dalam Islam. Layani tetamu sebaiknya kerana tetamu itu datang bersama dengan rahmat.

3. Selalulah menimba ilmu dan mencedok pengalaman daripada orang lama atau orang di sekeliling kita. Tak rugi sedikit pun. Banyakkan mendengar, nescaya ada hikmah yang kita akan dapat.


4. Saling percaya antara satu sama lain dalam bersahabat, elakkan prasangka buruk dan mendedahkan aib sahabat sendiri.

5. Nasihat ke arah kebaikan, tegur bila melihat kesalahan, bersahabatlah kerana Allah.





Saturday, September 28, 2013

Brunei yang tenang

Hujung bulan Ogos yang lalu,Itik Kuning merantau ke negara jiran yang bergelar Brunei Darussalam, terletak di kepulauan Borneo dan bersempadan dengan Malaysia melalui Sabah dan Sarawak.

TENANG

Pertama yang saya dapat simpulkan,Brunei adalah negara yang tenang dan stabil. Ya, dengan kapasiti penduduknya lebih kurang 400 000 sahaja, ia memang tidak padat. Tiba di Brunei, kami disambut oleh Mak Cik Niah, seorang kenalan di sana. Seorang yang peramah dan suka bercerita. Dahulunya pernah belajar di Kelantan dan di KIK, Klang sebelum ke Al-Azhar, Mesir.

Jalan rayanya tidak ada kesibukan seperti di Malaysia. Tidak ada berkejaran di atas jalan raya,membunyikan hon di sana sini atau cilok mencilok. Kami pejalan kaki ini sentiasa diberi ruang untuk melintas oleh kereta-kereta di sana.

RAJANYA MEWAH,RAKYATNYA SENANG

Negara yang terkenal dengan hasil minyaknya ini menggunakan sistem pemerintahan monarki mutlak, yakni sistem beraja. Rajanya Sultan Hasanal Bolkiah sememangnya kaya dan mewah. Namun yang menariknya, rakyatnya senang dan menikmati sama hasil bumi tanah tumpah darah mereka.

Kata seorang rakyatnya, "Kami percaya untuk serahkan sepenuhnya kepada pemerintah hasil bumi ini kerana kami tahu dan yakin, Raja dan pemerintah akan agihkannya kepada kami kembali"

Ini keyakinan rakyat Brunei pada raja mereka. Kita Malaysia juga mempunyai hasil minyak, dan pelbagai lagi hasil bumi seperti kelapa sawit, getah, emas dan bijih besi. Mungkin pemerintah di Malaysia boleh belajar dengan Brunei bagaimana pengurusan kekayaan negara diagihkan untuk kesejahteraan rakyat.

MENARIK

Antara beberapa perkara menarik di sana.

1. Perkampungan air di sana begitu tersusun dan cantik. Pembangunannya kemas dan kebersihan terjaga. Saya boleh melihat sekolah dan masjid yang dibina di atas air serta kawasan perumahan di perkampungan air tesebut. Pernah melihat perkampungan air di Sabah, namun kelihatan sangat dhaif dan terbiar.Kesian.

2. Masjid-masjid di sana cukup cantik dan bersih. Saya dimaklumkan semua perbelanjaan bil dan penyelenggaraan sepenuhnya di bawah tanggungan kerajaan. Cuma masalah yang sama di mana-mana, waktu solat jemaah, ahlinya tak berapa ramai.

3. Pada hari Jumaat, saya terpaksa habiskan makan tengah hari dengan cepat kerana kedai itu mesti ditutup pada jam 12.00 tengah hari. Bukan kedai itu sahaja, malah semua premis perniagaan dihentikan operasinya dari jam 12.00 tengah hari sehingga jam 2.00 petang untuk beri laluan solat Jumaat. Menarik.

4. Rajanya mempunyai keinginan yang tinggi untuk melaksanakan Islam dan undang-undang Syariah. Cuma kurang pada tenaga pakarnya sahaja. Namun ini adalah sesuatu yang sangat baik.

5. Tulisan rasmi di sana adalah tulisan jawi. Bila berada di sana, saya terus teringat pada negeri Kelantan yang cuba untuk mengamalkan perkara yang sama. Ya, tulisan jawi terpapar di mana-mana papan tanda dan tanda nama rasmi di sana.

MENGEMBARA

Mengembara itu adalah sesuatu yang hebat. Banyak pengajaran yang boleh didapati. InsyaAllah tahun depan mahu ke Indonesia pula.

gambar perkampungan air







Mak Cik Niah dan keluarganya



Tuesday, September 24, 2013

Apa Selepas Konvokesyen?

Minggu lepas ramai teman-temanku yang bergraduasi dan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen.Tahniah dan syabas dari saya buat teman sekalian.Segala penat lelah dan perit jerih dalam menuntut ilmu terasa berbaloi.Namun yang paling membahagiakan adalah apabila melihat kegembiraan di wajah ibu dan ayah kita.Kan?

Itu hadiah yang bermakna buat mereka.Senyuman ibu bapa,buat mereka yang masih mempunyai ibu bapa.Mereka yang yatim terasa suatu kekosongan di hari bermakna itu.

TEMAN YANG RAMAI ITU NIKMAT

Saya pun tumpang gembira buat teman-teman saya di UniMAP.Terutamanya adik-adik jurusan Mekatronik dan warga yang tinggal di Taman Semarak.Di sana paling ramai kenalan saya.Nak sebut semua tak berapa ingat.Hee..

Buat kakanda Dzulhaxif yang baru sebulan lebih bergelar bapa,tahniah.Anda bergraduasi dengan kehadiran Nur 'Aliyatul Iman yang comel itu.Tahniah buat Asep dan Huza.

Buat keluarga Kelab Debat UniMAP,tahniah semua.Syamir dan Umahwathy yang menerima Anugerah Diraja,kalian memang hebat dan cemerlang.Izzati,Raimi,Madiha dan lain-lain,tahniah juga.

Buat aktivis kampus,Saudara Khairuddin,mantan YDP MPP,Khairul Azri,Nije Klate dan ramai lagi,tahniah kalian.Terima kasih atas jasa kalian dalam persada alam kampus.

APA SELEPAS ITU

Jadi apa agenda selepas bergraduasi?
Percayalah,alam kampus di peringkat sarjana muda terlalu banyak pengalaman dan pahit manis masin dan masamnya.Kalau sambung ke peringkat sarjana pun,rasanya tak akan sama,dan tak akan berulang lagi zaman itu.Ia akan terpahat dan terlipat dalam sejarah hidup kita semua sebagai sebuah momen.

Di sini antara beberapa perkara yang akan melanda kalian dan rakan-rakan kalian.

1. Sambung Belajar

Ramai juga mengambil langkah ini.Bagi mereka yang berminat dalam bidang akademik dan mampu,mereka akan sambung belajar di peringkat sarjana dan seterusnya.Banyak kajian dan research yang boleh dilakukan.

Bila bertemu nanti,kawan anda akan kata,"Aku wat master kat sekian2 universiti".
Ada yang akan jawab,"Letih sambung belajar,ada peluang kerja,kerjalah dulu".

Dan pelbagai dialog lagi yang kalian akan dengar.

2. Bekerja

Paling ramai yang akan ke sini.Pelbagai jenis kilang yang membuka tangan mereka seluasnya menyambut fresh engineer  yang ramai ini.Di Pulau Pinang,Kulim,Johor Baru,Kuantan,Shah Alam dan pelbagai lagi bandar industri yang ada untuk kalian.Mahu rajin usaha sahaja,insyaAllah ada rezeki kalian.

Namun jangan sedih dan berputus asa,walaupun banyak kali memohon kerja atau hadir ke temu duga,namun belum mendapat kerja.Itu lumrah teman-teman.Saya ini sahaja memohon sana sini,namun setahun juga menganggur.Teruskan usaha dan usaha.Yang penting nekad dan bersungguh.Mungkin saya dulu tak bersungguh.hehe..

3. Kahwin

Ni pun perkara yang sentiasa menjadi bualan kalian selepas bergraduasi.Kalian akan mendapat satu demi satu jemputan kahwin daripada kawan-kawan kalian.Atau sampai giliran kalian menjemput orang lain ke majlis walimah kalian.

Seronok ketika itu,kalian jumpa kawan-kawan lama setelah sekian lama tak bertemu.Berbual dan berkongsi macam-macam,tentang tempat kerja,perancangan hidup dan macam-macam.

4. _ _ _ _

Agak-agak apa empat huruf untuk diisi di atas?

Saya pilih empat huruf ini, MATI.

Ya,tak terduga kawan baik kita yang muda dan sebaya dengan kita,lepas keluar kampus,tak tanya khabar berita apa.Dan yang kita dapat tahu,dia sudah dijemput menghadap Allah Rabbul Jalil.

Oleh itu,bertanyalah khabar pada teman-teman kamu.

Saya terkenangkan sahabat saya Zunnur,dia sempat kerja sebulan lebih,dan dia dijemput menghadapNya dalam keadaan kami tak sangka.Namun itulah ketentuan,sama ada kita mendengar khabar kematian teman kita,atau mereka mendengar berita pemergian kita.Setiap orang ada masanya.

ZAMAN KENANGAN

Berjalanlah meneruskan kehidupan kalian selepas bergraduasi ini.Kejarlah cita-cita dan impian kalian.Dan pastikan kita menjadi hamba Allah yang soleh dan taat padaNya,biar apa pun kerja kita,biar ke mana pun haluan kita,jadi hamba Allah yang bertaqwa.Mudah-mudahan kita bukan setakat berkawan di dunia,bahkan diizinkan Allah untuk bersama di syurgaNya.

Selamat bergraduasi.

Ini Syamir.Hebat..

Kiden,mantan YDP dan rakan sekelasnya

Mostafa,rakan saya dari Yaman

Saya tak ingat nama,tapi selalu jumpa di surau Kg Wai.Budak baik ni,

Si bapa kepada Iman.Tahniah Asep.


 


Tuesday, September 10, 2013

Ini Pengajaran

"Assalamualaikum dik.Pak cik dalam kesusahan ni.Pak cik ditimpa musibah.Dompet pak cik dicuri oleh orang yang pukau pak cik.Pak cik nak pulang ke Sibu,tapi tak dapat.Kalau adik dapat bantu pak cik beli tiket,pak cik bersyukur sangat."


Adik itu pun berilah RM100,sekadar yang ada padanya.Dengan niat membantu pak cik yang kesusahan itu.Sedangkan sebelum itu dia sudah membantu seorang abang yang mengalami masalah yang sama.Dihulurnya RM150.Maka tinggallah hanya RM20 di dalam dompetnya.Kedua-duanya berjanji akan membayar balik duitnya dengan meminta nombor akaun dan nombor telefon.

Kejadian yang berlaku di LCCT tempoh hari.Berhari-hari adik itu menunggu,namun tidak ada sebarang jawapan.Dia dapat mengagak,dia sebenarnya DITIPU.

Ia terbukti benar bila adik itu berjalan di KL Sentral dan dia terserempak dengan pak cik yang kesusahan itu.Sedang dengan rakannya pemandu teksi sambil menghisap rokok.Dia cam sangat bila melihat kepada beg sandang dan cincin pak cik itu.Sahlah pak cik itu memang sangat 'susah' sehingga dia ditipu hidup-hidup oleh pak cik itu.

Hancur hati adik itu.Dia cuba ikhlas membantu manusia yang dalam kesusahan.Namun dua kejadian dia ditipu dalam satu hari menyebabkan dia kecewa.Kepercayaan dia kepada masyarakat mulai luntur.

Jika datang orang yang benar-benar dalam kesusahan,mungkin adik ini tak akan membantu dah.Kerana kepercayaan dia sudah luntur.

Kesian kepada adik ini,kerana dia ditipu.
Kesian kepada orang yang benar-benar dalam kesusahan,kerana susahlah mereka untuk dibantu kerana orang hilang kepercayaan sesama masyarakat dek kerana perbuatan si PENIPU.
Kesian si PENIPU,yang DITIPU akan menuntutnya kelak di hadapan Allah.

HENTIKAN BOHONG,DUSTA,TIPU.

-Kisah benar yang benar,bukan tipu-

Tuesday, September 3, 2013

Kembali Bergelar Mahasiswa

Aku kembali ke dunia kampus.
Kembali bergelar mahasiswa.

Pesan guru,jangan mengejar gelaran pengajianmu.
Tapi niatlah ikhlas mencari ilmu kerana Allah.

Pesanan yang ringkas namun mendalam.

Kampus,tunggu aku!

Tuesday, June 4, 2013

KERJA DAN DIKERJAKAN???

'Abang Syidi dulu menganggur 2 tahun jugak sebelum dapat kerja tetap ni..duk kerja sambilan sana sini..akhirnya ada rezeki kerja di Loji Penapisan Petronas Sg Udang ni.Tak rugi pun kau bertapa 4 bulan kat sini..bukan buat kerja sia-sia..nanti ada rezeki tu..'

Antara perbualan aku dan Abang Rasyidi.Anak muda yang sangat baik,mesra dan bersemangat bila buat kerja.Best dengar perkongsian dia tentang kerjanya.Pengalaman di Melaka selama 4 bulan,sangat berharga dalam soal kehidupanku..

Dengar kisah sahabat lama aku...Dia kahwin ketika di tahun akhir pengajian...Selepas grad,dia kerja selama seminggu dan  berhenti..Minggu lepas dapat khabar tentangnya,baru sahaja dapat anak pertama..Alhamdulillah...dan kerjanya selama ini adalah menjual air di tepi jalan..Gigih berusaha,akhirnya dapat rezekinya bekerja sebagai engineer di Petronas..Murah rezeki orang kahwin dan dapat anak ni..

Ada bersembang dengan abang iparku..pernah menganggur dua tahun..kerja sebagai guard je untuk sara hidup..walaupun ada degree...sabar dan teruskan usaha..jangan putus asa dalam kehidupan...Gua respect la..

Dan buat sahabatku yang akan berkahwin Syawal ini..walaupun sekarang kau menganggur macam gua (hahaha)..insyaAllah kau dapat kerja sebulan dua ni..rezeki kahwin terrr...Aku doakan yang terbaik untuk kau bro...



Aku???

Hahaha...hanya senyuman yang aku beri bila ditanya kerja di mana sekarang...soalan famous untuk orang yang dah habis belajar ialah..

'Kau kerja mana bro??'

Senyuman aku ni jawapan kan...haha..

Banyak-banyak pesanan,pesanan ummi ketika di bumi Makkah yang bisa menguatkan aku..

'Ummi tak kisah kalau anak ummi lambat dapat kerja,kerana ummi yakin rezeki tu Allah dah tetapkan..InsyaAllah ada la tu nanti..teruskan usaha..'

Dan aku membenarkan kata-kata budak ini...






Monday, June 3, 2013

BERJALAN MENJAUHI??

Aku terkocoh-kocoh berjalan tatkala itu iqamat sedang dilaungkan.,Ahh..memang tak sempat dalam masjid..terus 'parking' di perkarangan luar masjid bersama jemaah lain..

الله اكبر..takbiratulihram memulai solat berbicara dengan Rabb..

السلام عليكم ورحمة الله...السلام عليكم ورحمة الله....

Alhamdulillah..selesai solat maghrib..kemudian terus bangun solat jenazah yang memang didirikan setiap kali habis solat waktu..kemudian solat ba'diah maghrib..dan aku duduk lama berteleku di situ..tak menghiraukan ribuan manusia yang sedang lalu lalang di sekeliling aku...tiada istilah duduk di tengah jalan bila berada dalam masjid yang luas ini..sound speaker dia pulak sangat power..dan imamnya sangat best..membuat aku asyik di dalam solat..

Aku teruskan saja bersila di atas lantai marmar itu..sambil mengulang hafalan Al-Quran beberapa muka..kemudian aku bangun dan berjalan perlahan ke pintu 21..aku masuk melalui pintu itu dan berjalan sahaja..sangat tenang aku di sini..tengah berkira-kira mahu berjalan terus rapat ke Raudhah atau pun singgah je mana-mana..dan akhirnya aku berpaling di tiang sebelah kiri aku,'parking' saja di situ..dan aku teruskan mengulang tanpa hiraukan sekeliling...

صدق الله العظيم...

Aku habiskan setelah melihat waktu Isya semakin hampir..ambil waktu rehat sikit..rupanya dari tadi ada sepasang mata di sebelah aku yang memerhatikan..aku berpaling pada empunya mata itu..

السلام عليكم..

Seorang pak cik tua memulakan bicara denganku,,aku yang sudah basi kerana sudah lama tak menggunakan bahasa Arab dalam perbualan..tapi aku berbual juga dengan pak cik itu..terabur la jugak perbualan tapi dia boleh memahami bahasa Arab rojak aku itu...beliau berasal dari Iraq..berkongsi pandangan dan cerita tentang negara masing-masing..

Dan di akhir perbualan,dia minta aku baca satu surah yang aku hafal dari juzu 30..aku segan..tapi memenuhi permintaannya,aku baca dan minta dia semak bacaan aku,..

Ada yang aku sangkut dalam bacaan..dia perbetulkan...setelah habis bacaan,dia senyum dan puji bacaan tersebut..padahal banyak cacat celanya..yang paling aku ingat ialah kata semangatnya supaya aku habiskan hafazan Al-Quran sebanyak 30 juzuk itu..dan jadilah pemuda yang soleh..

Sebelum azan berkumandang,aku bersalam dengannya dan dia mencium dahi aku..terasa kasih sayangnya walaupun hanya kenal hanya di ketika itu..dan aku terus berjalan ke depan menuju hampir ke Raudhah Rasulullah SAW..dah penuh pun,memang tak lepas nak masuk..

Cebisan kisah di Masjid Nabawi,Madinah..

Rindukan bahasa Arab???
Peluang habiskan hafazan dan dalami ilmu Quran??

Hehe...ada petanda Itik Kuning nak terbang ni..lala...


Friday, May 17, 2013

Jika kerana Allah...

Setiap malam mengulang kaji di surau.Benarkah mengulang kaji atau mengulang sembang?Hihik..

Tiba-tiba Pak Cu datang bersembang..pesan Pak Cu yang saya ingat sampai sekarang.'Jika kita study kerana Allah,kenapa kita masih bermain-main dan tidak bersungguh-sungguh?'

Terpana..Benar katanya.Jika kita melakukan sesuatu itu dengan niat kerana Allah,kenapa kita melaksanakannya dengan main-main.Sedangkan sepatutnya kita mesti melakukan yang terbaik kerana niat kita kerana Allah.Jika kita bermain dan sambil lewa dalam tugas,mungkin niat kita itu bermasalah.

Pak Cu..sangat rajin study dan mengulang kaji.Fokus dan berdisiplin.Walaupun keputusan akhir tak sebagaimana yang dia harapkan,namun redha kerana dia berusaha sebaik mungkin.

KISAH SENIOR

Ketika di Maahad dahulu,saya sangat suka memerhati seorang senior ini.Waktunya sentiasa diisi dengan bacaan al-Quran.Di Masjid Islah itu menjadi saksi yang dia sentiasa bersama al-Quran.dia menekuni dalam menghafaz al-Quran.Jika tak silap saya,dia berjaya habiskan hafazan dalam tempoh 2 tahun lebih.

Itu adalah sesuatu yang hebat.Sekolah kami bukan sekolah tahfiz,bergelut dengan 20 subjek mata pelajaran,kepimpinan dan kelab yang aktif.Dan dia mampu menghafaz al-Quran dalam keadaan tersebut,dengan dia memegang amanah kepimpinan di sekolah.Saya kagum dengan dia,Zul Faisal Omar.Dia berjaya bukan kerana nama dia Zul Faisal,tetapi kerana ketekunan dan kesungguhannya dengan izin Allah.

KISAH JUNIOR

Dia masih di tahun 2 ketika itu.Luahnya pada kami,dia mahu kahwin awal.Saya dan arwah Zunnur tersenyum sahaja.Rupanya dia serius.

Belajar dengan menggunakan pinjaman PTPTN sebagai sara hidup,membela sebuah kereta lagi.Dia tekad mencari jalan untuk mengukuhkan kewangan.Saya perhatikan junior saya ini.Dia gigih menjayakan  perniagaannya.Dan pada tahun ketiga,dia berkahwin.Sekarangini berada di tahun akhir di kampus,dan bakal menimang cahaya mata sebulan dua lagi.Saya tumpang gembira.

Dia yakin dengan Allah,berusaha dengan tekun dan gigih,Allah izinkan dia....

JIKA NIAT KERANA ALLAH,KENAPA HARUS BERMAIN DAN SAMBIL LEWA???


Sunday, May 12, 2013

4 Bulan..

4 Bulan...

4 bulan ruang ini kosong tak terisi..
4 bulan yang mengajar aku banyak perkara..
4 bulan yang sangat padat dengan aktiviti..
4 bulan ruang menimba pengalaman..

4 bulan ini akan kucoretkan di sini..


Sudah 4 bulan lebih sahabat baik saya Mohammad Zunnur Hasan pergi menghadap Allah Rabbul Jalil..Sungguh saya merindui dia,,,

Sahabat yang sangat baik..
Yang banyak berbakti pada saya..
Yang selalu menjaga aib dan kehormatan saya..
Yang membantu saya bila saya kesusahan..
Yang sentiasa menegur kesalahan saya..
Yang membetulkan salah dan silap saya..
Yang memberi semangat tika saya lemah..

4 Bulan...

Tuesday, January 15, 2013

Mengakulah...

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Bila buat tak peduli pada orang lain..
Bila jadi macam pentingkan diri...
Bila jadi sombong dan angkuh..
Bila mencari orang lain hanya bila perlu...

Jangan marah jika orang terasa hati..
Jangan marah bila orang merajuk..
Jangan terasa bila disisihkan..
Jangan mengamuk bila tak dipedulikan..

Kerana hakikatnya datang dari diri sendiri...
Apa yang kamu tanam,itu yang kamu tuai..

What you give,you get back..


-Itik Kuning memohon maaf buat teman-teman yang ada terasa hati,terguris perasaan dengan Itik Kuning..Salah sendiri,kena diakui-

Tuesday, January 1, 2013

2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Hari terakhir di tahun 2012,saya terfikir untuk update blog yang bersawang ini dengan peristiwa bergambar sepanjang 2012..

Namun saya menerima khabar berita,sahabat karib saya masuk ICU petang tadi..dan selepas Isya',ibunya menelefon saya..

"Mak Cik nak habaq ni kat Saiful,Zunnur tak dak dah..Dia pergi selepas maghrib tadi"

Terkulai aku mendengarnya..Zunnur...aku berada di UniMAP,4 tahun,8 sem,aku dan dia tak pernah berpisah,serumah dan sebilik.Rakan sekelas aku..Buat praktikal di tempat yang sama..tinggal di rumah sewa sekali...Naik motor sama-sama ke tempat praktikal..Projek FYP pun aku partner dengan dia..

Di kampus,solat jemaah sama-sama,pergi surau,dengar kuliah agama,pergi ceramah,usrah,tengok bola malam-malam..Dia penyokong sejati Kedah,aku penyokong sejati Kelantan..Selalu bergaduh dan menyindir..

Adakalanya dia kejutkan aku solat,adakalanya aku kejutkan dia..Mengaji quran bersama,malam-malam bergurau bersama,sembang pelbagai perkara,..Pemberi nasihat,penegur dan sahabat sejatiku,,


31-12-2012..aku sentiasa ingat tarikh ini..5 hari lagi genap umurmu 24 tahun,namun sudah takdir Allah,umurmu di dunia ini hanya 23 tahun 11 bulan..

Dirimu sahabat yang sangat baik..ceria dan periang..pejuang agama dan pendakwah muda...

Malam ini ramai sahabatku menangis mendengar berita pemergianmu..Bertuah dirimu disayangi oleh manusia,dan kami yakin Allah lebih menyayangimu..Tugasmu di sini sudah selesai..Berbahagialah di sana sahabatku..Allah merahmatimu sahabatku...Ya Allah,kurniakan rahmatmu ke atas sahabatku ini,,,

malam ini Itik Kuning berulang-ulang mendengar lagu Hijjaz..Kau Sahabat Kau Teman..