Thursday, July 21, 2016

Turki 2015

Kisah seterusnya adalah di bumi Turki, negara yang tidak asing bagi pelancong dari Malaysia. Saya kembara ke Turki pada 4 Jun sehingga 11 Jun 2015. Yang ni memang tak ada dalam perancangan. Seminggu sebelum pergi, sahabat saya Abg Nasaie mesej mengajak saya ke Turki. Saya tanya bila nak pergi. Dia kata minggu depan, sempena berlangsungnya Pilihan Raya Umum Turki pada 7 Jun 2015. 

3 hari sebelum bertolak, baru beli tiket. Haha, memang mahal la kan. Saya menaiki Turkish Airlines, dapat harga RM 3,000. Masa itu, penerbangan terus tanpa transit ke Istanbul hanya dengan MAS dan Turkish Airlines. Dari pemerhatian saya, kebiasaannya direct flight memang mahal sedikit berbanding penerbangan yang singgah terlebih dahulu. Sekarang hanya Turkish Airlines yang menyediakan penerbangan terus ke Istanbul. Saudara saudari boleh mendapatkan tiket yang lebih murah berbanding saya beli ni. (Tapi dah saat akhir, beli je lah)


Di KLIA sebelum bertolak. Kami berlima, Abg Bob, Abg Nasaie, Kak Munirah dan baby Asma.

Bertolak jam 11 malam dan tiba pagi hari di Istanbul. Terus daftar masuk penginapan dan rehat. Istanbul adalah destinasi popular, maka tak susah untuk dapatkan penginapan yang berpatutan dan berdekatan dengan kawasan yang nak dilawati.

1. Tempat-tempat yang saya lawati. Yang pastinya masjid-masjid di sekitar Istanbul sangat cantik seni binanya. Menjadi kesukaan kami untuk melawat masjid di mana tempat kami kembara dan solat sunat 2 rakaat.
Blue Mosque 

2. Hagia Sophia dulunya adalah gereja, kemudian menjadi masjid dan sekarang adalah muzium. Berhadapan dengan Blue Mosque.Saya tak masuk ke dalamnya, sekadar bergambar di luar. Nak masuk sini ada bayarannya.
Hagia Sophia
3. Istana Topkapi. Nak masuk sini ada kena bayaran. Saya lupa dah berapa bayarannya. Istana yang luas. Boleh lihat pemandangan Selat Bosphorus. Memang strategik. Di dalamnya terdapat ruang pameran barang peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

Istana Topkapi

4. Menyelusuri Selat Bosphorus dengan menaiki feri. Pun kena bayar. Tapi berbaloi. Merasai angin Selat yang menjadi saksi pelbagai peristiwa penting pada abad ke 15 dahulu. Tempatnya cantik, kedudukan geografinya strategik yang menjadi pemisah antara benua Asia dan Eropah. Inilah antara keunikan negara Turki yang terletak di kedua-dua benua.



5. Menziarahi makam Sultan Muhammad Al-Fateh (1432-1481M) berdekatan dengan Masjid Fateh. (Masjid di sana dipanggil Jamek). Sultan yang melakar sejarah besar dalam peradaban dunia yang berjaya membebaskan Konstatinapel dalam usia baginda Sultan awal 20-an.

Makam Sultan Muhammad al-Fateh

 6. Dalam perjalanan ke Konya dengan menaiki kereta api, berkenalan dengan pak cik ini yang sangat baik. Dia menelefon saudaranya di Malaysia untuk bercakap dengan kami. Keramahannya terserlah.

Dalam perjalanan menaiki kereta api menuju ke bandar Konya.

7. Di Konya kami dibantu oleh saudara Shafiq, mahasiswa Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian sarjana di bandar Konya. Ini adalah sesi minum teh dan sembang politik bersama dengan wakil Pemuda AKP. Kerana esok harinya adalah hari mengundi bagi seluruh Turki.


8. Kami berada bersama ribuan penyokong AKP di tengah bandar Konya dalam siri kempen terakhir mereka. Konya adalah kawasan Parlimen yang ditandingi oleh Perdana Menteri Turki sendiri iaitu Ahmed Davutoglu (pernah mengajar di UIAM dan bekas Menteri Luar Turki ketika Recep Tayyib Erdogan menjadi Perdana Menteri) dan juga bekas Perdana Menteri yang digulingkan tentera pada tahun 1998 iaitu Dr Necmettin Erbakan (guru kepada Erdogan). Mendengar ucapan Davutoglu selama satu setengah jam dalam keadaan berdiri amat memukau (walaupun saya tak faham, haha). Suasananya meriah dan bersemangat, namun aman dan terkawal.


9. Petang itu kami bergerak ke Muzium Mevlana, dan sempat menimati persembahan tarian sufi ini. Layan.



10. Ini adalah Masjid yang sebelahnya bersemadi jasad Syeikh Jalaluddin Rumi (di bawah kubah hijau itu), tokoh sufi yang terkenal dalam sejarah Turki.



11. Kami bergerak ke Ankara dengan menaiki bas. Sampai di Ankara disambut oleh saudara Asad, teman Abg Nasaie ketika di Mesir. Asad berasal dari Kazakhtan, sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Ankara dalam masa yang sama bertugas di Pejabat Kedutaan negara beliau di Ankara. Seorang yang sangat baik dan mesra. Kami memanggilnya sebagai bakal duta di Turki.


Masjid terbesar di Ankara

12. Malam itu keluar keputusan Pilihan Raya Turki, menyaksikan kemerosotan pencapaian AKP yang menjadikan mereka tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian dan perlu bergabung dengan parti lain. Namun sebagaimana terjadi, Kerajaan tidak dibentuk sehingga tamat tempoh masa yang akhirnya membawa kepada pilihan raya semula pada 1 November 2015. Keputusan daripada ulangan pilihan raya itu memberikan mandat kepada AKP untuk membentuk kerajaan di Turki tanpa perlu bergabung dengan parti-parti lain.

 Malam itu kami menyertai penyokong AKP berkumpul di ibu pejabat AKP di Ankara, mendengar amanat daripada Presiden parti iaitu Davutoglu sendiri.

Di hadapan ibu pejabat AKP di Ankara

Keputusan pilihan raya 7 Jun 2015.

13. Menziarahi pejabat IHH di Istanbul. Antara badan kebajikan yang popular yang banyak menguruskan kebajikan dan bantuan kemanusiaan. Termasuk juga bantuan ketika banjir besar di Kelantan pada 2014 dan misi Mavi Marmara ke Gaza.


Minum teh bersama rakan yang bekerja di IHH dan juga sepupu saya Naim yang belajar di Istanbul

14. Bertemu restoran masakan Melayu di sana milik Ustaz Fatih yang rangkaian perniagaannya bersama Global Ikhwan (Dulunya Al-Arqam, mereka memang hebat dalam ekonomi).



Saudara Mahdi, mahasiswa Malaysia di Istanbul yang punyai pandangan yang kritis dan menarik perkongsian daripada beliau.

Minum teh adalah budaya masyarakat Turki. Setiap hari lebih 5 kali kami menikmati teh. Hehe. Saya menikmati kembara di sana, banyak pelajaran dan pengajaran. Merasai suasana politik di sana, budaya dan masyarakat, menambah kenalan dan rakan. Suatu pengalaman dan nikmat yang disyukuri. 

Pada masa ini, suasana di Turki agak bergolak, isu serangan bom sudah 4 kali pada tahun 2016, cubaan rampasan kuasa oleh tentera pada 16 Julai 2016 yang lalu. Sejarah mencatatkan bumi Turki yang menjadi pusat pemerintahan Daulah Uthmaniyyah selama lebih 6 abad, bumi yang menyaksikan pelbagai sejarah sebuah tamadun dan peradaban, sekarang pun bumi ini masih tercatat sebagai sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam lanskap politik dunia. Semoga Turki dan rakyatnya terus kuat menghadapi segala ujian dan terus maju jaya demi ummah.

Turki, insyaAllah saya akan pergi lagi.


Sunday, July 17, 2016

Perth, Australia

Bertemu lagi dalam sambungan Kembara 2015.

Saya terlupa sebenarnya, satu lagi destinasi kembara pada tahun 2015 adalah ke Jakarta dan Bandung pada awal Mac, seminggu sebelum ke Perth. Sudah saya ceritakan dalam post pada 19 April 2015.

SEBELUM PERGI

Mohammad mengajak berjalan, ke negara yang sederhana jauh katanya. Ke mana? Belum ada ketetapan. Beliau datang ke USM di Pulau Pinang semata-mata nak ajak saya beli tiket untuk melancong dengannya. Haha. Punya pulun tu. Bincang ringkas, saya cadangkan ke Perth, Australia. Sederhana jauh, 5 jam lebih kurang masa dengan menaiki kapal terbang. Setuju dan terus beli tiket.

Bab beli tiket ni, ada orang yang mencari tiket yang paling murah. Ada yang tak kisah dengan harga asalkan perkhidmatannya memenuhi kehendak jiwa. Apa pun pilihan anda, terpulang kepada kemampuan dan hasrat kemahuan anda sendiri. Pokoknya biar sampai ke destinasi dengan selamat.

Kami beli tiket penerbangan dengan harga RM 1110.00 untuk pergi dan balik melalui syarikat penerbangan rasmi negara, MAS. Patriotik tu kan. Haha. Itu dah dikira murah disebabkan promosi. Jika kena dengan masa, anda boleh mendapatkan tiket yang jauh lebih murah dengan syarikat AirAsia, biasanya lebih kurang RM 700.00 paling murah pun.

Kita perlu memohon visa untuk masuk ke negara Australia. Mohon online, tak perlu beratur di kaunter. Harga lebih kurang 20 AUD.

8 HARI 7 MALAM

Penginapan adalah satu perkara yang perlu difikirkan dengan serius, kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Apatah lagi di sebuah negara yang matawangnya Dollar. Rezeki kami, saya punyai kawan kepada kawan saya yang sedang belajar di sana. Saudara Thaqif, orang Kelantan dan belajar di Curtin University. Saya meminta pertolongannya untuk mendapatkan penginapan yang murah. Kebetulan ada seorang warganegara Malaysia yang bekerja di sana, dia pulang cuti 3 minggu untuk majlis perkahwinannya, maka rezeki kami menyewa rumahnya yang 3 bilik itu selama 8 hari 7 malam. Kadarnya sangat berpatutan.

Beberapa perkara dan tempat yang boleh saya senaraikan yang menarik sepanjang 8 hari di sana:-

1. Malam pertama melawat sekitar Curtin University dan pusing sekitar kejiranan di situ.


2. Hari kedua kami belajar memahami sistem pengangkutan bas di sana dan pergi pusing di bandar Perth.

 3. Tempat yang wajib dicari apabila mengembara. Masjid di bandar hanya satu ini sahaja. Kami pergi sebanyak dua kali iaitu hari kedua dan hari kedua sebelum balik untuk solat Jumaat.


bertemu warganegara Tunisia dan menetap di Perancis. Datang ke Australia untuk bekerja.
 4. Menikmati petang di tepi sungai. Latar belakang tu adalah pusat bandarnya. Di sana, terdapat banyak taman tempat beriadah, rekreasi dan tempat santai untuk keluarga dan kawan-kawan. Tenang, hijau dan mendamaikan.


5. Menemui sanak saudara di bumi Perth. Haha.


6. Maritime Museum ni terletak di pekan Freemantle. Pekan ni adalah tempat wajib bagi pelancong untuk mengunjunginya.


7. Ini di stesen bas Freemantle. Jujur saya sebut, pengangkutan awam di sana sangat bagus. Selama di sana, kami menggunakan bas, kereta api (seperti KTM Komuter di Malaysia) dan juga feri yang sabgat efisien dan tepat masa. Dalam temoh 8 hari tersebut, hanya sekali kami tunggu bas yang lewat, itu pun hanya 2 minit. Yang lain semuanya berjalan tepat pada masa seperti yang tertera pada jadual perjalanan, Hebat.


8. Inilah Thaqif, kacak dan bijak. Sekarang sedang melanjutkan Sarjana di Univerisiti Malaya. Tinggal serumah dengan Mat Lutfi di Perth dan kalau perasan, dia ni pernah ada dalam video Mat Lutfi. Haha. Terima kasih saudara atas layanan yang sangat baik.


9. Ini lawatan ke University Of Western Australia. Cantik dan menarik suasananya. Banyak padang dan taman, hijau sehijaunya.



10. Di Pantai Cottesloe. Penuh dengan pelancong dan warga Australia di tepi pantai pada petang hari. Melihat fenomena matahari terbenam. Cantik ciptaan Tuhan. Di sepanjang pantai, dipamerkan hasil dan karya seni bina dan rekaan para artis. Disertakan dengan nama artisnya. Memang menarik dan unik hasil seni.

Saya ni pelik.


 11. Sempat pusing Perth Zoo. Macam zoo di tempat kita je.

Mohammad teruja kerana singa minat bergambar dengannya.

12. Caversham Wildlife Park. Ini pun tempat wajib singgah. Boleh bagi makan pada kanggaroo, sentuh koala, ada persembahan dan juga boleh lihat demonstrasi ketam kulit biri-biri.

nak bagitau apa entah

tidur je kejenya





13. Malam terakhir kami di Perth. Melihat suasana malam di sana, ada pasar malam yang menjual pelbagai makanan dari serata negara. Termasuklah juadah dari Malaysia. Satee. Haha




PULANG

Kapal terbang kami sudah bergerak mahu ke landasan, tiba-tiba dibatalkan dan masuk kembali ke terminal. Kami diumumkan ada masalah dengan gear kapal terbang. Asalnya diminta tunggu di dalam kapal. Selepas itu kami diminta keluar masuk ke dalam terminal kerana tempoh yang lama diambil untuk membaiki kerosakan. Dan menunggulah kami hampir 6 jam, barulah kami dibenarkan masuk semula dan bertolak pulang, Alhamdulillah semuanya selamat. Banyak perkara yang tak tercerita, kerana setiap insan punyai pengalaman yang berbeza.

Mengembaralah teman-teman.