Sunday, June 29, 2014

Ketika Ramadhan

Menurut Imam al-Ghazali, penyakit itu ada dua jenis. Pertama penyakit zahir dan keduanya penyakit batin.

Penyakit zahir itu:

1. Kebiasaannya pesakit akan dapat merasai terus yang dia sakit. Bila tangan sakit, gigi sakit atau pun kaki sakit, tuan kepada anggota badan itu terus berasa sakitnya.

2. Bila sakit zahir, pesakit akan terus segera mencari penawarnya, Terus berjumpa doktor dan merawatnya.

3. Sakit zahir ini paling teruk pun akan membawa kesakitan di dunia dan kemuncaknya adalah kematian.



Penyakit batin itu:

1. Pesakit biasanya tidak sedar yang dia menghidapi penyakit. Hati ada penyakit hasad, dendam, pemarah, kedekut, sombong, takabbur dan lain-lain penyakit, namun penghidapnya tidak merasai dia ada penyakit tersebut.

2. Pesakit akan berlengah dalam merawat penyakitnya, kerana dia berasa tidak menghidapi penyakit itu.

3. Penyakit batin itu bukan sekadar akan menyeksa kehidupan di dunia, bahkan akan membawa kepada kebinasaan di hari akhirat yang kekal abadi.



Maka sama-samalah kita merawat dan menjaga diri kita daripada penyakit zahir dan batin ini.


Ini sebahagian tazkirah pada malam pertama Ramadhan 1435 yang disampaikan oleh adindaku Ibrahim Hussin. Sempat juga mengikuti terawih daripada Masjidil Haram yang diimamkan oleh Syeikh Abdul Rahman as-Sudais. Ketika kecil dahulu, sangat minat mengikuti bacaan dalam terawih dari sana. Teringin sangat mahu merasai Ramadhan di Tanah Suci. Namun belum ada rezeki. Semoga suatu hari nanti Allah kabulkan. Ameen.


Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Thursday, June 12, 2014

Kenapa susah?

"Lama kamu tak jenguk pak cik di sini nak. Lain benar wajahmu sekarang ye, tapi baguslah kamu sudah simpan janggut, sunnah Nabi tu. Cuma..wajahmu itu suram dan kelam anakku. Jiwamu kecamuk, tu yang datang ke sini kan.."



Pak Cik tua itu tergelak sambil berjalan ke tepi pantai. Aku berjalan mengikutinya tanpa menjawab walau sepatah. Kami duduk di atas batu sambil merenung jauh ke tengah lautan.

"Pak cik, kenapa ye, dah 11 tahun saya mula menghafaz al-Quran, tapi sampai saat ini belum bisa menghabiskannya. Panjang sangat masanya, semakin susah dan sukar. Sekarang pun saya rasa semakin susah nak mengingat bahan bacaan yang dibaca. Beza sangat dengan dahulu, sekali dua baca dah lekat dalam kepala."

Dia merenung aku sambil tersenyum.

"Apa kamu ingat al-Quran itu bisa menghuni dalam hati yang penuh dengan dosa dan maksiat. Dan kamu kira ilmu itu mahu tinggal dalam jiwa yang kotor?"

"Anakku, dosa dan maksiat yang berterusan itu menggelapkan hati. Kamu lebih tahu apa yang kamu lakukan, bersihkan hatimu itu anakku. Nescaya kamu akan lebih tenang dan mudah dalam menuntut ilmu. Apatah lagi kalam Allah yang kamu hafaz, bukan setakat untuk dihafaz, tapi untuk dihayati dan diamalkan."

Aku terdiam lagi. Pak cik ini seolah boleh membaca isi hatiku. Dia memegang bahuku sambil menyambung kalamnya.

"Orang mukmin itu dia ada iman. Imannya itulah yang mengikat dirinya untuk memastikan agar dia tidak berkekalan dalam maksiat dan penderhakaan kepada Allah dan tidak terus hanyut dalam lautan syahwat yang akan membawanya kepada kebinasaan. Duhai anak muda, pintu taubat itu sentiasa Dia buka untukmu. Masuklah ke dalamnya ye. "

"Banyakkan istighfar dan bertaubat, hentikan maksiatmu yang berterusan itu, cubalah buat itu dalam 2 minggu ini. Dan bila tiba Ramadhan nanti, kamu mulakan kembali hafalanmu, lihat sendiri perbezaannya nak. Pak cik tahu kamu suka memandang lautan bila hatimu resah dan berkecamuk kan. Pak cik pulang dulu, renunglah tanda kebesaran Allah ini. Pak cik tunggu kamu di rumah ye, kita makan sama-sama."

Tubuh tua itu berlalu pergi. Tetapi sempat lagi beliau berpaling dan berkata,

 "Buang kesombongan dalam hatimu itu, jangan anggap dirimu itu lebih baik daripada orang lain di sekelilingmu. Itu antara punca kau mudah tertipu selama ini."

Aku mengangguk sambil menyapu air mata di pipi.