Thursday, September 13, 2012

Pilihan Raya Kampus

Assalamualaikum..

Terlewat untuk menulis namun tetap mahu menulis.Hari ini hari terakhir tempoh pembelian borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kampus UniMAP 2012.Esok pula adalah hari penamaan calon.Saya terkenang peristiwa 2 tahun lepas.

2010

JHEPA meletakkan notis dan poster tentang pemilihan MPP 2010.Senior ada pesan,itu hanya wayang.Kampus kita tak pernah ada PRK.Saya berasa tidak adil senior berkata begitu.Mungkin kerana tidak ada pencalonan dari mahasiswa,itu yang menyebabkan tidak ada pengundian,Tapi memang sejarah sebelum ni semua menang tanpa bertanding dan tidak ada pengundian.

Saya dan beberapa rakan berpakat mahu mengambil borang pencalonan MPP tahun itu.Bukan untuk gila mendapatkan jawatan,tapi mahu wujudnya proses pengundian dan pendidikan demokrasi sampai kepada mahasiswa kampus.Akhirnya saya dan 3 lagi rakan saya sepakat mahu mengambil borang pencalonan untuk kerusi umum.Saya,Khairul Amir,Zulfaqur dan Faiz.Semuanya daripada PPK Mekatronik.

Kami berempat pergi membeli borang di pejabat JHEPA dengan harga RM50.Memang agak mahal berbanding kampus lain,padahal borang bukan setebal buku C Programming.Sesudah itu kami perlu mendapatkan tanda tangan NC atau Dekan HEPA.Hari kedua borang dihantar ke pejabat NC kerana Dekan HEPA ada urusan luar kampus.Esok harinya borang kami dihantar ke HEPA tanpa ditandatangani.

Ada terfikir tak calon-calon selain kami macam mana.Sahabat saya yang ada sekali dalam taklimat calon-calon lain,mereka mendapat borang dengan percuma.Itu rezeki mereka,kami tetap mencuba kerana mahu melihat proses pengundian berlangsung.(Matrikulasi dan Politeknik ada PRK,tak kan kampus tak mampu buat..kan??)

HARI PENAMAAN CALON

Pagi itu proses penamaan calon.Borang tidak ada di tangan kami,tetapi di tangan HEPA.Jam 9 pagi bermula proses penamaan calon.Satu persatu calon datang dengan penyokong dan pencadang mereka masuk ke dalam pejabat operasi SPR.Kami mahu berjumpa dengan Dekan HEPA,tapi katanya dia ada tetamu.Jam 11 pagi kami dipanggil masuk ke pejabat dekan.Disoal siasat satu persatu.Saya dapat rasa yang kami tak akan dibenarkan bertanding.Hampir jam 12 kami tanya terus terang borang kami nak ditanda tangan atau tidak.Menggunakan kuasa beliau,ruang itu akan dibiar kosong sahaja.Saya faham dan mohon keluar dari pejabat.

Rakan dan penyokong di luar sabar menanti kami keluar.Dan dengan keputusan itu,kami masih boleh tergelak dan tersenyum.Kerana kami jelas perjuangan kami dan kami berusaha je arah itu.Namun mehnah itu menghalang kami,kami tetap enjoy dan seronok dengan pengalaman itu.Kami pulang dengan perasaan puas hati.

PERISTIWA 

Dalam tempoh kali ini,ada laman sosial seperti blog yang menyokong usaha kami.Mungkin dari senior-senior.Namun saya secara peribadi  boleh mengagak yang kampus memang tak berniat dan tak bersedia untuk melakukan proses pengundian.Mungkin mereka terkejut tahun itu ada siswa yang berani untuk mencuba.Kalau tak nak buat,lebih elok tak letakkan poster dan iklan kan.

Saya terharu dan ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada rakan-rakan kami yang menyokong usaha itu dan bersama-sama berkumpul di hadapan pejabat JHEPA.Ada yang pakai baju seragam SUKSIS lagi.Kalut juga tengok pihak keselamatan.Jangan risau,kami hukan buat demonstrasi.Haha..

SEKARANG

Adik-adik saya di kampus sekarang telah dibuka ruang untuk bertanding.Gunakanlah rusng itu duhai mahasiswa sekalian.Jangan banyak songeh dan komplen,tapi tidak berani ke depan untuk bertanding dalam PRK.

Hanya sedikit coretan dari seorang yang telah berlalu zamannya.Gunakanlah ruang yang diberi oleh kampus itu.Kami tidak ada peluang itu,tapi kami usaha.Kalian ada ruang itu,jangan siakan ia.

Selamat menghadapi Penamaan Calon esok hari buat mahasiswa UniMAP.-Itik Kuning-


Thursday, September 6, 2012

Sahabat..

Hukum alam,kita akan sentiasa bergerak dan berubah.Hadir ke tempat baru bermakna kita mesti bersedia untuk sesuaikan diri dengan keadaan dan manusia di situ.

KAWAN BARU

Saya mendapat kawan-kawan baru bila menjejakkan kaki ke kampus.Antara muka-muka awal yang saya kenali dan bersahabat adalah mereka.(di bawah nanti)


Di awal sem dulu,kami serumah suka masak-masak bersama.Buat murtabak megi,lempeng dan mcam-macam makanan yang digoreng di dalam rumah.Adakalanya kami buat usrah,duduk dalam bulatan,baca Al-Quran ramai-ramai,kongsi peringatan sedikit sebanyak.Namun saya sedih perkara itu tak mampu untuk saya jadikan tabiat dan berterusan.Maafkan saya sahabat-sahabat semua.

Kami juga selalu berbincang isu-isu semasa.Antara isu hangatnya adalah kenapa kampus kita tidak ada PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) atau pun yang sewaktu dengannya.Rupanya memang termaktub dalam statut universiti,antara persatuan yang tidak dibenarkan adalah persatuan berasaskan agama,kerana dibimbangi akan timbul sikap taksub dan jumud.(Lebih kurang begitu la ayat dalam statut tu).Yang ini mungkin saya ulas dalam artikel lain.

Hujung minggu ada je aktiviti bersama.Main badminton,mandi air terjum,ziarah kawan dan banyak lagi.Banyak perkara yang saya belajar dari sahabat-sahabat saya ini.

Semoga Allah merahmati persahabatan kita semua,bukan sahaja bersahabat di dunia,bahkan moga bertemu di akhirat dalam kalangan yang Allah redha.(Ameen)

Maafkanlah segala salah silap saya sepanjang persahabatan,sahabat kamu ini memang banyak songeh dan perangainya kan.Terima kasih kerana bersabar dengan saya.Semoga Allah membalas jasa baik kalian dengan sebaik-baik balasan.


Wan Syahir:Seorang sahabat yang baik dan suka berterus terang.Ceria dan suka merencana aktiviti kami.Dan dia suka masak-masak dalam rumah.Haha.

Fendy:Saya pernah ditegur direct oleh dia.Memang salah saya pun.Kan saya suka orang yang menegur saya sebegitu.Seorang yang sangat sempoi dan macho la kan..hehe..





Ali:Namanya Saiful,sama macam saya.Tapi kami panggil dia Ali.Rileks je tuannya,tapi bab belajar memang pantas dan laju.Steady je bawa motor dari Perlis balik ke Johor.

Yusri:Saya kenal dari matrik lagi,tapi tak berapa rapat.Orang Alor Setar ni memang selalu je ceria dan bergurau.

Huzaifah:Yang ni bukan ahli rumah saya,tapi selalu datang ke rumah.Budak baik ni,sedang mencari calon isteri..haha..Tapi bab study,saya tabik la pada dia.Sebab tu dia boleh grad dengan cemerlang.



Zubir:Yang ni kaawan yang selalu saya berkepit dalam kelas.Satu perkara yang saya hormat pada dia,dia seorang yang jujur dalam mengakui kesalahan diri.Rakan yang baik hati dan suka bergurau kasar..Hehe..







Badrul:Ni kawan yang banyak memberi semangat.Budak paling tinggi dalam kelas.Ceria memanjang bersama dia.





Zunnur:Ni sahabat karib.Serumah dengan saya dari sem 1 sampai sem 8.Sahabat yang baik dan sabar melayan kerenah saya yang pelbagai ni.Moga Allah rahmati kamu.





Naemi:Ini sepupu Zunnur,kami bertiga duk serumah dari sem 1 sampai sem 8.Sangat memahami saya,dan selalu membantu saya print perkara-perkara penting yang saya terlupa.Terima kasih sahabatku..





Dan ramai lagi sahabat saya yang lain yang saya tak sempat coretkan di sini.Bersahabat kerana Allah..

Wednesday, September 5, 2012

Minggu Orientasi (2) BTN

Sambungan Minggu Orientasi.4 hari berlangsung di kampus dan baki 4 hari lagi di kem BTN,atau pun namanya Biro Tata Negara.

BTN

Saya teruja untuk hadir BTN kerana ia selalu disebut-sebut oleh senior saya.4 hari akan dibahagikan para mahasiswa ke kem-kem yang ada di sekitar utara.Dan saya bertuah diletakkan dalam kem di Perak.(saya lupa nama kemnya,tapi berdekatan dengan Kuala Kangsar)

Kem Biro Tata Negara.Penuh dengan aktivit lasak,ceramah dan LDK (Latihan Dalam Kumpulan).Saya sangat menyukai program sebegini,sebati dengan jiwa saya sejak dari bangku sekolah.Penuh berdisiplin,tepati masa,jaga waktu solat,beratur dan berdikari.

Ada aktiviti Night Walk,kawad kaki (tak kan kawad tangan kan..haha).Disusuli dengan LDK dan modul yang menarik.Sangat membina minda dan semangat.

Saya rasa BTN adalah satu program yang sangat bagus dalam membina teamwork.latihan kendiri dan semangat patriotik.Namun ia akan spoil atau pun punah ranah apabila diselit dengan doktrin membenci individu tertentu,bahasa mudahnya ahli politik tertentu.

Tanpa diduga saya terjumpa dengan sifu dan mentor saya,Tuan Yusaini yang menjadi salah seorang fasi dalam kem BTN tersebut.Seronok jumpa mentor lama ni.Apa pun saya kurang bernasib baik kerana fasi kumpulan saya melakukan perkara yang saya tak setuju iaitu doktrin membenci ahli politik tertentu.Tolonglah jangan rosakkan program BTN yang baik itu dengan melibatkan politik kepartian,menanam rasa benci pada ahli dan parti politik tertentu dan cuba meracuni pemikiran kami mahasiswa ini.Berhentilah buat kerja bodoh.


Antara individu yang hebat diserang adalah YAB DS Nizar Jamaluddin yang ketika itu sebagai Menteri Besar negeri Perak.Tidak adil fasi saya menghentam ahli politik itu sedangkan isu sebenarnya kami pun tahu.

Itulah perkara yang saya kecewa dengan apa yang berlaku dalam BTN.Tidak kira anda penyokong parti politik mana,BN,UMNO,PAS,DAP,PKR,MCA,MIC,parti TUPPERWARE ke,tolong jangan doktrin anak muda dengan menanam kebencian kepada pihak lawan anda.Lebih-lebih lagi bila menggunakan program kerajaan yakni BTN untuk mendoktrin kami mahasiswa.STOP.

NASIHAT YANG TAK DILUPAI

Ketika mahu bergerak pulang daripada kem,ada satu peristiwa yang saya tak boleh lupa hingga ke saat ini.Suatu nasihat yang berbekas di hati saya.

Dalam bas sebelum pulang,ada seorang siswi ini senyum pada saya dan kami bertegur.Rupanya dia mengenali saya walaupun saya tidak kenal dia kerana kami satu kolej matrikulasi.Dia mahu berbicara sesuatu,tapi nampak seolah-olah dia segan.

Saya panggil dia dan minta dia berterus terang sahaja.Dan akhirnya dia berkata.

"Ustaz nampak lain sekarang berbanding ketika di matrik"

"Apa yang lainnya"

"Saya lihat dulu ustaz di matrik memang menjaga pandangan,tapi sekarang nampak macam kurang menjaga"

Bagai terkena panahan kilat,saya terdiam.Allah menegur saya melalui dia.Selesai mengucapkan terima kasih kepadanya,saya muhasabah diri.Sejak saat itu saya menjadi seorang yang sangat sukakan teguran terbuka dan terus terang.Saya jadi geram jika orang tegur berlapik atau berkias.Saya lebih suka dan lebih menghargai mereka yang berterus terang dalam menegur kesilapan saya.Sehingga sekarang itulah sikap saya.Terima kasih banyak-banyak Kak Su atas nasihat ringkas itu.Semoga Allah merahmati akak.

Bila Allah orang menegur kesalahan kita,itu tanda dia mengasihi dan ingin membantu kita.Mungkin juga itu teguran dari Allah.

Dalam bersahabat,jangan hanya membenarkan kata-kata sahabat kita,tapi jadilah sahabat yang berkata benar kepada sahabatnya.

Tamat Minggu Pertama.

Tuesday, September 4, 2012

Minggu Orientasi (1)

Minggu ini merupakan minggu orientasi di semua kampus IPTA seluruh negara.Ada yang diberi nama Minggu Haluan Siswa,Minggu Suai Kenal dan pelbagai,namun matlamat dan objektifnya adalah sama yakni memperkenalkan suasana kampus dan memberi taklimat serta maklumat tentang kampus yang patut diketahui oleh mahasiswa dan mahasiswi baru.

PPMS

Kelompok manusia yang pertama yang menyambut kehadiran saya di UniMAP adalah PPMS atau pun nama mudahnya fasilitator yang terdiri daripada kalangan senior.Individu yang sedang mengawal lalu lintas seseorang yang saya kenali.Abang Hafizuddin.Ketika saya mendaftar di Matrikulasi dulu pun dia yang sedang menjaga lalu lintas datang menegur ayah saya.Di kampus pun itu juga tugasnya.Seorang yang dedikasi dan baru sahaja melangsungkan perkahwinannya pada Hari Raya baru-baru ini.Mabruk duhai senior.

Saya suka melihat gelagat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para PPMS,walaupun nampak keletihan melayan pelbagai kerenah dan tugasan,namun mereka nampak bersemangat melakukan tugas kebajikan dan sumbangan kepada kampus.Saya pernah berada pada situasi mereka dan saya tahu nikmatnya memberi sesuatu.Tahniah abang-abang PPMS ye.

POCO-POCO??

Saya dapat tahu daripada senior yang poco-poco dan senamrobik merupakan aktiviti yang sangat popular di UniMAP.Wah..sangat menarik.Saya tidak ada masalah dengan kedua-dua aktiviti ini kerana saya pun pernah mengendalikan minggu orientasi.Poco-poco,senamrobik,tai chi dan lain-lain senaman adalah aktiviti saya juga dahulu.

(Ketika ini fatwa poco-poco haram belum dikeluarkan.Ia masih lagi menjadi khilaf para ulama')

Bagus sekali aktiviti senaman ini,mendidik para mahasiswa untuk menjaga kesihatan.Kerana kesihatan itu adalah anugerah yang perlu dijaga.Namun di sana saya sedikit terkilan.Satu pagi itu kami diminta bangun awal dan pada 6.15 pagi digesa untuk berkumpul di dataran untuk bersedia melakukan senamrobik bersama dengan pimpinan tertinggi kampus.Padahal alangkah eloknya digesa para mahasiswa pada waktu sebegitu untuk solat Subuh berjemaah bersama kepimpinan universiti.Itu yang sepatutnya.Saya harap itu tidak berlaku lagi pada adik-adik saya sekarang.

Waktu solat juga antara perkara yang tak berapa dititikberatkan.Ya,benar yang mereka ini mahasiswa,sudah faham tanggungjawab mereka.Namun lebih elok dalam jadual program itu diletakkan slot solat waktu berjemaah.Waktu solat menjadi sempit kerana lebih mementingkan majlis-majlis yang disusun.Ya,majlis itu penting,namun majlis bersama Allah itu lebih penting.

Pengalaman saya di matrikulasi,solat berjemaah adalah slot wajib diselit pula dengan tazkirah dan kuliah agama.Usai solat,baru diteruskan majlis yang direncana.Orang besar pun solat jemaah bersama.Kan indah begitu.

Masih segar dalam ingatan saya satu ucapan yang disebut oleh seseorang yang menyebut kamu semua ni macam anak-anak saya,maka tidak ada masalah untuk bersalaman.Saya dan teman-teman yang baru saya kenali menjawab dengan selamba.Kalau begitu,kita pergi bersalam dan berpeluk dengan bini dia atau anak-anak perempuan dia,boleh tak.Dah kata macam anak-anak sendiri kan.

Diri kami tidak boleh berkompromi dengan pendirian tersebut.Nampak kecil soal bersalam dengan berlainan jantina,namun ia tetap termasuk dalam larangan agama untuk bersentuhan antara ajnabi.Adoii..kami pening...Hendaklah kita tidak mengambil ringan soal tegahan agama,walaupun kita anggap ia kecil.Jangan sampai sensitiviti kita terhadap dosa terhakis sedikit demi sedikit dek kerana suasa sekeliling.

SESI MALAM

Ada satu malam itu sesi bersama SS Mufti Kerajaan Negeri Perlis.Seingat saya ialah Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr MAZA) yang ketika itu agak panas dengan pandangan-pandangannya.Dia sememangnya seorang yang berkarismatik.Saya kagum dengannya.

Masih teringat teman saya mengomel tentang moderator malam itu yang menghadkan masa untuk sesi soal jawab atas alasan lewat,padahal baru lebih kurang jam 11 malam.Paadahal sesi malam terakhir yang penuh dengan nyanyian dan lakonan itu boleh pula lanjut sampai jam 12.30 tengah malam.Mana tak mengomel teman-teman saya.

Jangan la dalam soal akademik dan ilmiah dihadkan masa tapi dalam soal hiburan diberi ruang yang luas tanpa sekatan.Saya rasa perlu adil dalam soal itu.Haa..soal malam terakhir itu..menarik..

Pada malam terakhir itu diadakan majlis sambutan pelajar baru.Macam biasa,ada nyanyian,lakonan dan lain-lain.Saya sebenarnya tidak berkonfrantasi dengan majlis seperti ini selagi mana dalam batasan agama.Kalau ikut tarian,saya pun orang yang tahu asas tarian zapin,joget dan inang.Kan saya ini orang yang mencintai budaya..Cewah..Pernah membuat persembahan tarian (joget rasanya) di hotel selepas UPSR dan pernah membuat tarian kebudayaan di hadapan ribuan hadirin ketika Jambori Pengakap Malaysia 2006.Berlakon pun sudah menjadi kebiasaan saya.Cuma jarang sekali saya melakukan aktiviti-aktiviti ini.

Yang pentingnya adalah seluruh pasukan tarian saya semuanya lelaki dan kami tidak membuat aksi yang melampau.Sekadar manifestasi kebudayaan bangsa.Namun bila melibatkan tarian dan nyanyian yang diaksikan oleh wanita di hadapan kami para lelaki,saya tidak boleh bersetuju.Aurat sudah terdedah,lenggok badan yang menyedapkan nafsu lelaki memandang,iman saya membantah.Saya rasa soal ini perlu diperbaiki pada masa akan datang.Jangan remehkan soal agama walaupun nak berhibur.

jangan tiru aksi ini,,hehe


Malam itu saya dan teman-teman pulang dengan rungutan kerana majlis hiburan itu tamat lewat,esok pula kena ke BTN.

Saat ini adik-adik saya sedang menjalani Minggu Orientasi.Saya mengharapkan mereka kuat dalam mempertahankan prinsip agama mereka,tidak terpengaruh dengan arus semasa.Jika rasa kurang bersetuju,nyatakan rasa tidak setuju itu dengan penuh hemah dan tertib.Anda adalah mahasiswa,bukan lagi budak tadika.Saya harap solat dan akhlaq kalian terjaga.Selamat Berorientasi adik-adik sekalian.

BTN..kisah seterusnya..hehe...

Monday, September 3, 2012

Kembali menulis...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Lama menyepi daripada menulis dalam laman ini.Bulan September ini menjadi sasaran saya untuk kembali aktif menulis dalam ruangan ini.Fokus saya bulan ini adalah untuk berkongsi pengalaman 4 tahun sebagai mahasiswa di sebuah kampus bergelar UniMAP.

Terasa laju masa berlalu,rupanya sudah 4 tahun saya berkelana di negeri terkecil di Malaysia ini.InsyaAllah akan saya kongsikan pengalaman saya di bumi yang pernah mencatatkan suhu terpanas di Malaysia ini.

PERMULAAN...{JUN 2008}

Petang itu sampai ke negeri Perlis.Sebuah negeri yang paling kecil dalam Malaysia.Sudah rezekiku untuk melanjutkan pelajaran ke universiti yang bergelar UniMAP ini.Nama penuhnya Universiti Malaysia Perlis.Hatiku tidaklah terlalu gembira untuk menjejakkan kaki di situ untuk bergelar sebagai mahasiswa.Namun saya masih boleh tersenyum dan menerima dengan hati yang terbuka dengan ketentuan Tuhan ini.

Usai pendaftaran di Kampung Wai pada pagi itu,maka sahlah status saya sebagai seorang mahasiswa dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.Saya sendiri pun tidak pasti apa sebenarnya Mekatronik ini.Namun saya cabar diri saya untuk teruskan dalam bidang ini.

Kampung Wai...Sebuah perkampungan di Kuala Perlis,berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.Apa yang saya boleh katakan pada hari pertama itu,Perlis sememangnya sebuah negeri yang tahap kepanasan cuacanya berbeza dengan negeri lain.Sangat terasa bahangnya.Mungkin kerana ia berada di hujung tanah air berdekatan dengan jiran kita,negara Gajah Putih.

Pada hari pertama itu juga saya dapat tahu yang UniMAP ini kampusnya adalah berterabur.Atau dalam bahasa yang lebih akademiknya,'Kampus Teragih'.Apa pun gelarannya,memang begitulah kampus ini beroperasi.

Kolej kediamannya di Kampung Wai,Taman Semarak,Wang Ulu dan Seberang Ramai.Ketika itu masih belum wujud lagi kolej kediaman di Simpang Empat,Taman Bahagia dan Taman Ira.Kelasnya pula berlangsung di Kampung Wai,Muhibah,Dragon,Kubang Gajah,Automart dan juga di Semarak.Ada yang jaraknya sekadar berlari 100m,ada pula yang jaraknya 10km.Maka perkhidmatan bas menjadi nadi penting kepada mahasiswa UniMAP.

Seperti biasa,minggu pertama adalah minggu orientasi.Saya sudah arif tentang minggu tersebut.Hehe..

Minggu Orientasi?? Akan saya ceritakan dengan terperinci dalam artikel akan datang.InsyaAllah.

UniMAP dan Perlis,memberi pengalaman hidup buat Itik Kuning...


Tahun 1..