Sunday, January 25, 2015

PEMERGIAN

Pagi 25 Januari 2015, teman fasilitator menghubungi dan menghantar pesanan mesej kepada saya. Kami dikejutkan dengan kembalinya junior kami, Mohd Fauzan ke rahmatullah. Saya rasa terkilan yang amat kerana tidak sempat untuk menziarahinya buat kali terakhir.

 Beliau terlibat dalam kemalangan pada pagi Jumaat  (23 Januari) yang lalu. Ayah dan rakannya meninggal dunia. Beliau koma dan keadaannya adalah DIL (Death In Line).

Hubungan dalam keluarga besar fasilitator sangat akrab dan mesra. Saudara Fauzan yang kami kenali ialah seorang yang sangat ceria dan menceriakan orang. Tubuhnya tinggi lampai, rambut panjangnya yang menjadi identiti dirinya. Kami mengenali dia seorang yang sangat rajin, ringan tulang dan tidak lokek menghulurkan bantuan. Gurauan antara kami biasanya agak kasar tapi mesra. Beliau adinda kami yang sangat baik, menghormati orang lain. Loghat Kedah beliau yang sangat pekat itu akan tetap kekal dalam ingatan kami.

Pada saat dia terlantar, ramai teman dan pensyarah  yang menziarahi beliau. Doa tidak putus untuk kesejahteraan beliau. Pun begitu, ketentuan Allah menetapkan setakat ini sahaja umurnya di dunia. Kami redha dalam syahdu dengan pemergian beliau.

Ramai insan yang menangisi pemergianmu.
Kamu disayangi oleh insan yang mengenalimu.
InsyaAllah kamu disayangi Allah dan para malaikat.
Semoga ditempatkan di kalangan solihin.
Amin.

Status beliau di FB:-
‘Dakwah’ patut menyentuh jiwa,
bukan menyinggung rasa –
membantu manusia mengenal Pencipta,
bukan sekadar membantu diri mengejar syurga.
(Mohd Fauzan, 23 Oktober 2014)


Selamat berehat adinda kami Mohd Fauzan.


Wednesday, January 7, 2015

Nilai

Malunya nak pakai baju lama ni, nampak ketinggalan zaman.

Segannya nak pakai selipar ni, lusuh dan nampak kekampungan.

Eh, kalau aku baca Al-Quran dalam bas ni, nanti orang kata aku menunjuk pula. Tak payah baca lah.

Kalau aku tolong orang tu, kot orang kata aku nak tunjuk baik. Biar je lah.

Jika aku tak layan mesej budak laki ni, nanti dianggapnya aku sombong. 

Dan pelbagai lagi monolog dalaman insan.

Orang itu kata begini, orang ini kata begitu. Dia anggap macam ni, mereka anggap macam tu. Kot hang pikiaq lagu ni, kot depa pikiaq lagu tu.

Jika kita bergantung kepada penilaian manusia, begitulah jadinya. Serba tak kena.

Sampai bila kita mahu hidup atas penilaian manusia semata-mata?

Cukuplah Allah sebagai Penilai kepada semua amalan dan perbuatan kita. Perkara yang baik di sisi Tuhan, lakukanlah. Buat baik pada manusia, jangan susahkan orang lain, jaga hati dan niat kerana Allah, abaikan suara yang menjatuhkanmu.

Selamat jalan dunia.

PIA
07/01/2015
1335




Sunday, January 4, 2015

Sejati

Assalamualaikum

Lama saya tidak mencoret di sini. Esok 5 Januari, ulang tahun kelahiran ke 26 arwah sahabat saya Zunnur. Genap dua tahun beliau kembali ke rahmatullah.

Kenangan saya bersamanya tidak pernah luput. 4 tahun tinggal sebilik, sekelas, satu group FYP. Dia mengenali saya dan saya mengenali dia sungguh-sungguh.

Dia tahu kekurangan saya.
Dia tahu kelemahan saya.
Dia tahu kesalahan saya.
Di tahu dosa dan maksiat saya.

Tapi 

Dia tak memburukkan saya.
Dia tak mendedahkan kelemahan saya.
Dia tak mencaci saya dek kerana kesalahan.
Dia tak mendedahkan keaiban dan dosa saya.

Namun

Dia tegur kesalahan saya secara berdepan.
Dia perbetulkan salah saya.
Dia nasihati saya.
Dan saya tahu dia doakan saya.

Sukar mencari sahabat sejati sepertimu. Moga engkau tenang di sana.

Aku merinduimu Zunnur.



Abu Asrar Qalbi
04/01/2015
Subang
2125