Tuesday, April 21, 2015

Manusia Luar Biasa

ءانا لله وءانا ءاليه راجعون

Kembali sudah ibu saudaraku ke pangkuan Allah Taala. Hari Khamis malam Jumaat, tepat jam 9.40 malam, 9/4/2015. Ibu saudaraku ini istimewa. 

Nama beliau Fatimah. Kami anak saudaranya memanggilnya sebagai Mak Cik Yam. Mak Cik Yam tidak berkahwin, jadi kami anak-anak saudara beliaulah yang menjadi seperti anak-anaknya sendiri. Mak Cik Yam tinggal bersama dengan arwah nenek (kami panggil Mak) dan datuk (kami panggil Tok Ayah) saya. Sebelah rumah atuk dan nenek ada PASTI Al-Arsyadi. Seingat saya, di situlah saya, adik beradik saya dan sepupu saya bersekolah tadika. Sebelum pergi kelas, kami duduk dan bersarapan di rumah atuk. Selepas habis kelas, di situ juga kami menetap. 

Selain Mak dan Tok Ayah, dengan Mak Cik Yam lah kami membesar dan bermanja. Ada beberapa perkara yang saya sangat kagum dengan arwah Mak Cik Yam.

1. Mak Cik Yam seorang anak yang sangat baik. Mak Cik Yam menjaga arwah Mak dan Tok Ayah sepanjang usia emas mereka. Sepanjang arwah Mak sakit pun, Mak Cik Yamlah yang menjaga sepanjang masa.

2. Ibu saudara yang sangat baik. Kami dijaga seperti anaknya sendiri. Kami membesar dengan air tangannya juga. Kami dilayan dan dijaga dengan penuh kasih sayang.

Kali terakhir saya berbicara dengan Mak Cik Yam pada tengah hari Selasa. Sempat menyuap air kepada beliau. Kemudian, malam itu Mak Cik Yam terus tidak sedarkan diri. Rabu malam, saya menemani Mak Cik Yam di hospital. Merenung wajah tua yang banyak berjasa ini membuat saya berada sayu. Akhirnya, tibalah masa Allah menjemput beliau pada Khamis malam Jumaat. 

InsyaAllah kami mendoakan kesejahteraan Mak Cik Yam di alam sana. Moga Allah rahmatimu Mak Cik Yam. Kami menyaksikan kebaikanmu di dunia ini. 


1 comment:

Unknown said...

merah mata baca coretan aman... :'(
sedih la aman...rindu cik yam... :(