Thursday, November 6, 2014

PANAHAN

Jarang-jarang sekali bermain sukan memanah. Minggu lepas sempat main dengan rakan. Seronok rupanya. 

FOKUS

Fokus dalam membidik anak panah tepat ke sasaran. Bila sasaran sudah ada, fokus kepada sasaran yang telah ditetapkan. Abaikan yang di sekelilingnya,fokus kepada sasaran. Badan tegap,tangan lurus,mata fokus,telinga abaikan bunyian,jari menarik tali panah. Semuanya digunakan untuk memanah sasaran.

Begitu juga kehidupan ini. Apa sasaran kita? Jika sasaran mahukan keampunan dan redha Allah,sila fokus kepada sasaran tersebut. Abaikan godaan yang datang, kuatkan jiwa. 

Mata,telinga,tangan,kaki,badan,hati dan seluruhnya bekerja dan digunakan untuk capai redha dan keampunan Tuhan. 

Mata tak melihat kepada perkara haram.
Mulut tidak mengumpat dan mengaibkan orang.
Tangan dihentikan daripada maksiat.
Badan digunakan untuk ibadah.
Hati sentiasa mengingati Allah dan menginsafi dosa-dosa.

Bukankah mahukan redha dan ampunan Tuhan?

Fokuslah memohon ampunan Tuhan.

SABAR

Sabar dan tidak gelojoh bila mahu melepaskan anak panah. Kalau gelojoh,anak panah pergi entah ke mana. Jangan mahu terlalu cepat. Tengok sasaran, angkat busur, fokuskan anak panah ke sasaran, tarik tali sehingga tegang dan lepaskan bila sudah tetap dan yakin. Tapi hati-hati, jangan sampai tali busur melantun kena pada tangan.

Jangan gelojoh dalam beribadat. Perlu sabar dan tertib. Barulah tercapai sasaran kemanisan dalam beribadah,merasai indahnya berbicara dengan Tuhan. Beribadah sebagaimana diajar dalam agama, tidak melampau dan tidak juga main-main.

Bukankan Tuhan Maha Mendengar rayuan dan rintihan kita?

Ya,bila kita sabar dan bersungguh dalam merintih dan merayu.

PANAHLAH

Panahlah hatimu dengan bacaan Al-Quran setiap hari.Zikir di hati dan di bibir. Mencari redha Tuhan bukan mudah,mengharap ampunan Tuhan ada cabarannya.

Ugutan manusia, godaan syaitan, bisikan nafsu, celaan musuh dan pelbagai duri yang mencucuk. Tapi ingatlah.

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين.

PANAHLAH.


No comments: