Saturday, September 28, 2013

Brunei yang tenang

Hujung bulan Ogos yang lalu,Itik Kuning merantau ke negara jiran yang bergelar Brunei Darussalam, terletak di kepulauan Borneo dan bersempadan dengan Malaysia melalui Sabah dan Sarawak.

TENANG

Pertama yang saya dapat simpulkan,Brunei adalah negara yang tenang dan stabil. Ya, dengan kapasiti penduduknya lebih kurang 400 000 sahaja, ia memang tidak padat. Tiba di Brunei, kami disambut oleh Mak Cik Niah, seorang kenalan di sana. Seorang yang peramah dan suka bercerita. Dahulunya pernah belajar di Kelantan dan di KIK, Klang sebelum ke Al-Azhar, Mesir.

Jalan rayanya tidak ada kesibukan seperti di Malaysia. Tidak ada berkejaran di atas jalan raya,membunyikan hon di sana sini atau cilok mencilok. Kami pejalan kaki ini sentiasa diberi ruang untuk melintas oleh kereta-kereta di sana.

RAJANYA MEWAH,RAKYATNYA SENANG

Negara yang terkenal dengan hasil minyaknya ini menggunakan sistem pemerintahan monarki mutlak, yakni sistem beraja. Rajanya Sultan Hasanal Bolkiah sememangnya kaya dan mewah. Namun yang menariknya, rakyatnya senang dan menikmati sama hasil bumi tanah tumpah darah mereka.

Kata seorang rakyatnya, "Kami percaya untuk serahkan sepenuhnya kepada pemerintah hasil bumi ini kerana kami tahu dan yakin, Raja dan pemerintah akan agihkannya kepada kami kembali"

Ini keyakinan rakyat Brunei pada raja mereka. Kita Malaysia juga mempunyai hasil minyak, dan pelbagai lagi hasil bumi seperti kelapa sawit, getah, emas dan bijih besi. Mungkin pemerintah di Malaysia boleh belajar dengan Brunei bagaimana pengurusan kekayaan negara diagihkan untuk kesejahteraan rakyat.

MENARIK

Antara beberapa perkara menarik di sana.

1. Perkampungan air di sana begitu tersusun dan cantik. Pembangunannya kemas dan kebersihan terjaga. Saya boleh melihat sekolah dan masjid yang dibina di atas air serta kawasan perumahan di perkampungan air tesebut. Pernah melihat perkampungan air di Sabah, namun kelihatan sangat dhaif dan terbiar.Kesian.

2. Masjid-masjid di sana cukup cantik dan bersih. Saya dimaklumkan semua perbelanjaan bil dan penyelenggaraan sepenuhnya di bawah tanggungan kerajaan. Cuma masalah yang sama di mana-mana, waktu solat jemaah, ahlinya tak berapa ramai.

3. Pada hari Jumaat, saya terpaksa habiskan makan tengah hari dengan cepat kerana kedai itu mesti ditutup pada jam 12.00 tengah hari. Bukan kedai itu sahaja, malah semua premis perniagaan dihentikan operasinya dari jam 12.00 tengah hari sehingga jam 2.00 petang untuk beri laluan solat Jumaat. Menarik.

4. Rajanya mempunyai keinginan yang tinggi untuk melaksanakan Islam dan undang-undang Syariah. Cuma kurang pada tenaga pakarnya sahaja. Namun ini adalah sesuatu yang sangat baik.

5. Tulisan rasmi di sana adalah tulisan jawi. Bila berada di sana, saya terus teringat pada negeri Kelantan yang cuba untuk mengamalkan perkara yang sama. Ya, tulisan jawi terpapar di mana-mana papan tanda dan tanda nama rasmi di sana.

MENGEMBARA

Mengembara itu adalah sesuatu yang hebat. Banyak pengajaran yang boleh didapati. InsyaAllah tahun depan mahu ke Indonesia pula.

gambar perkampungan air







Mak Cik Niah dan keluarganya



No comments: