Sunday, June 29, 2014

Ketika Ramadhan

Menurut Imam al-Ghazali, penyakit itu ada dua jenis. Pertama penyakit zahir dan keduanya penyakit batin.

Penyakit zahir itu:

1. Kebiasaannya pesakit akan dapat merasai terus yang dia sakit. Bila tangan sakit, gigi sakit atau pun kaki sakit, tuan kepada anggota badan itu terus berasa sakitnya.

2. Bila sakit zahir, pesakit akan terus segera mencari penawarnya, Terus berjumpa doktor dan merawatnya.

3. Sakit zahir ini paling teruk pun akan membawa kesakitan di dunia dan kemuncaknya adalah kematian.



Penyakit batin itu:

1. Pesakit biasanya tidak sedar yang dia menghidapi penyakit. Hati ada penyakit hasad, dendam, pemarah, kedekut, sombong, takabbur dan lain-lain penyakit, namun penghidapnya tidak merasai dia ada penyakit tersebut.

2. Pesakit akan berlengah dalam merawat penyakitnya, kerana dia berasa tidak menghidapi penyakit itu.

3. Penyakit batin itu bukan sekadar akan menyeksa kehidupan di dunia, bahkan akan membawa kepada kebinasaan di hari akhirat yang kekal abadi.



Maka sama-samalah kita merawat dan menjaga diri kita daripada penyakit zahir dan batin ini.


Ini sebahagian tazkirah pada malam pertama Ramadhan 1435 yang disampaikan oleh adindaku Ibrahim Hussin. Sempat juga mengikuti terawih daripada Masjidil Haram yang diimamkan oleh Syeikh Abdul Rahman as-Sudais. Ketika kecil dahulu, sangat minat mengikuti bacaan dalam terawih dari sana. Teringin sangat mahu merasai Ramadhan di Tanah Suci. Namun belum ada rezeki. Semoga suatu hari nanti Allah kabulkan. Ameen.


Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

No comments: