Sunday, January 25, 2015

PEMERGIAN

Pagi 25 Januari 2015, teman fasilitator menghubungi dan menghantar pesanan mesej kepada saya. Kami dikejutkan dengan kembalinya junior kami, Mohd Fauzan ke rahmatullah. Saya rasa terkilan yang amat kerana tidak sempat untuk menziarahinya buat kali terakhir.

 Beliau terlibat dalam kemalangan pada pagi Jumaat  (23 Januari) yang lalu. Ayah dan rakannya meninggal dunia. Beliau koma dan keadaannya adalah DIL (Death In Line).

Hubungan dalam keluarga besar fasilitator sangat akrab dan mesra. Saudara Fauzan yang kami kenali ialah seorang yang sangat ceria dan menceriakan orang. Tubuhnya tinggi lampai, rambut panjangnya yang menjadi identiti dirinya. Kami mengenali dia seorang yang sangat rajin, ringan tulang dan tidak lokek menghulurkan bantuan. Gurauan antara kami biasanya agak kasar tapi mesra. Beliau adinda kami yang sangat baik, menghormati orang lain. Loghat Kedah beliau yang sangat pekat itu akan tetap kekal dalam ingatan kami.

Pada saat dia terlantar, ramai teman dan pensyarah  yang menziarahi beliau. Doa tidak putus untuk kesejahteraan beliau. Pun begitu, ketentuan Allah menetapkan setakat ini sahaja umurnya di dunia. Kami redha dalam syahdu dengan pemergian beliau.

Ramai insan yang menangisi pemergianmu.
Kamu disayangi oleh insan yang mengenalimu.
InsyaAllah kamu disayangi Allah dan para malaikat.
Semoga ditempatkan di kalangan solihin.
Amin.

Status beliau di FB:-
‘Dakwah’ patut menyentuh jiwa,
bukan menyinggung rasa –
membantu manusia mengenal Pencipta,
bukan sekadar membantu diri mengejar syurga.
(Mohd Fauzan, 23 Oktober 2014)


Selamat berehat adinda kami Mohd Fauzan.


Wednesday, January 7, 2015

Nilai

Malunya nak pakai baju lama ni, nampak ketinggalan zaman.

Segannya nak pakai selipar ni, lusuh dan nampak kekampungan.

Eh, kalau aku baca Al-Quran dalam bas ni, nanti orang kata aku menunjuk pula. Tak payah baca lah.

Kalau aku tolong orang tu, kot orang kata aku nak tunjuk baik. Biar je lah.

Jika aku tak layan mesej budak laki ni, nanti dianggapnya aku sombong. 

Dan pelbagai lagi monolog dalaman insan.

Orang itu kata begini, orang ini kata begitu. Dia anggap macam ni, mereka anggap macam tu. Kot hang pikiaq lagu ni, kot depa pikiaq lagu tu.

Jika kita bergantung kepada penilaian manusia, begitulah jadinya. Serba tak kena.

Sampai bila kita mahu hidup atas penilaian manusia semata-mata?

Cukuplah Allah sebagai Penilai kepada semua amalan dan perbuatan kita. Perkara yang baik di sisi Tuhan, lakukanlah. Buat baik pada manusia, jangan susahkan orang lain, jaga hati dan niat kerana Allah, abaikan suara yang menjatuhkanmu.

Selamat jalan dunia.

PIA
07/01/2015
1335




Sunday, January 4, 2015

Sejati

Assalamualaikum

Lama saya tidak mencoret di sini. Esok 5 Januari, ulang tahun kelahiran ke 26 arwah sahabat saya Zunnur. Genap dua tahun beliau kembali ke rahmatullah.

Kenangan saya bersamanya tidak pernah luput. 4 tahun tinggal sebilik, sekelas, satu group FYP. Dia mengenali saya dan saya mengenali dia sungguh-sungguh.

Dia tahu kekurangan saya.
Dia tahu kelemahan saya.
Dia tahu kesalahan saya.
Di tahu dosa dan maksiat saya.

Tapi 

Dia tak memburukkan saya.
Dia tak mendedahkan kelemahan saya.
Dia tak mencaci saya dek kerana kesalahan.
Dia tak mendedahkan keaiban dan dosa saya.

Namun

Dia tegur kesalahan saya secara berdepan.
Dia perbetulkan salah saya.
Dia nasihati saya.
Dan saya tahu dia doakan saya.

Sukar mencari sahabat sejati sepertimu. Moga engkau tenang di sana.

Aku merinduimu Zunnur.



Abu Asrar Qalbi
04/01/2015
Subang
2125

Tuesday, November 11, 2014

Responden

Tugasan menyiapkan disertasi memerlukan saya untuk turun ke lapangan. Bertemu dengan responden dan menemubual mereka berkaitan tajuk disertasi saya. "Kekangan dan Penyelesaian Pembangunan Berteraskan Islam di Kelantan:1990-2014".

24 tahun adalah satu tempoh yang bukan pendek bagi sebuah pentadbiran di peringkat negeri. Ia sama dengan umur saya sekarang. Bagi mengekalkan sebuah pentadbiran dan pemerintahan, 

1. Tak boleh lari daripada menilai dan memuhasabah perjalanan pemerintahan mereka. 

2. Bersedia menerima kritikan dan pandangan dari semua pihak. 

3. Siap untuk melakukan perubahan sesuai dgn massa. 

4. Jangan menafikan kelemahan dan masalah,sampai sorok semuanya di bawah karpet.

5. Memohon bantuan dan pertolongan Allah.

Di sini saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat para responden saya. Semoga Allah berkati.

Saya kongsikan gambar-gambar responden saya di sini.

Datuk Dr Zainuddin Ibrahim,bekas SUK Kelantan.

Dr Wan Nik Wan Yussof (SU Politik Menetri Besar Kelantan) dan Tuan Sanusi Othman (COO PMBK)

YB Datuk Paduka Husam Musa, ADUN Salor

Dalam perjalanan pulang,saya sempat bertemu dan berkongsi pandangan dengan Ustaz Nazri Chik, Ketua Bahagian Syariah di Bank Islam. Seronok mendengar perkongsian dari orang yang berjaya.



"Anak muda,berada di bidang akademik jangan sampai terbang ke awanan sehingga tak tahu nak jejak kembali ke bumi yang nyata. Berfikir dan bertindaklah untuk bantu ummat" (unknown,2014).

PIA 
8.40 am
11/11/2014

Sunday, November 9, 2014

WAJAH CANTIK ITU

Susah atau senang, sentiasalah ingat pada Tuhan. Bersyukur ketika diberi kesenangan dan nikmat. Bersabar bila ditimpa ujian dan musibah.

SUSAHKAH

Bila kita dalam kesusahan, biasanya itu teguran Allah kepada kita supaya kita kembali pada jalan yang lurus. Bila kita dalam keadaan susah, resah, tersepit dan keluh kesah. Apa harus dibuat?

1. Perbanyakkan membaca Al-Quran. Fahami maknanya. Hati akan terasa bicara Allah kepada kita.

2. Perbanyakkan zikir dan istighfar. Isikan hati itu dengan zikrullah.

3. Jika masih ada ibu dan ayah, pulang dan lihat wajah mereka.

WAJAH CANTIK ITU

Saya hanya ingin berkongsi tentang perkara ketiga. Bagi sesiapa yang ibu bapa masih hidup, selalulah pulang dan berbakti kepada mereka.

Walau sesibuk mana pun anda,carilah masa untuk pulang menjenguk mereka. Sekejap pun tak apa, asalkan kerinduan mereka terubat. 

Baru-baru ini saya agak sukar mendapat idea untuk menulis disertasi. Mahu menulis, tapi idea tak datang. Saya pulang ke rumah bertemu dengan ayah bonda. Balik rumah tak sampai 12 jam kemudian terus pulang ke kampus.

Sampai di kampus, Allah mempermudahkan urusan saya menulis. Sangat mudah dan lancar. Alhamdulillah. Saya yakin, ayah bonda saya sentiasa mendoakan kami anak-anak ini.

Buat anak-anak, pulanglah menjenguk ayah bonda. Pandanglah wajah mereka yang cantik itu. Anda tak akan pernah puas memandang wajah cantik itu. 

Ingatlah pesanan Tuhan: 

وبالوالدين احساناً

Pulanglah.


Friday, November 7, 2014

KONVO LAGI

Istiadat Konvekesyen Universiti Sains Malaysia (USM) yang ke 50 selama lima hari cukup membuatkan Kampus USM Induk ini sesak.

Sesak dengan kenderaan yang bersumbat-sumbat di atas jalan raya USM.

Sesak dengan manusia yang melata di bumi USM.

Kesesakan ini memeriahkan dan menceriakan.

USM DAN AKU

Keberadaan saya di kampus ini masih baru, baru setahun saya berkelana di sini. Indah,kampus yang unik dan penuh dengan rimbunan kehijauan. Dalam tempoh ini saya dipertemukan dengan ramai kawan baru. Minggu ini ramai di kalangan mereka yang bergraduasi.

11 orang senior dari ISDEV yang berjaya mendapat ijazah kedoktoran. 3 daripadanya adalah pensyarah saya. 

Dr Syakir yang selalu bernasyid lagu sunnah orang berjuang dalam majlis-majlis.


Dr Syahir yang selalu membaca doa dan memberi tazkirah.

Dr Wan yang sabar melayan kerenah kami.

Dr Razali yang sekarang sebagai Pengarah Pusat Islam UPM,saya kagum dengan tesis beliau tentang wakaf tunai.

Dr Farid dan Dr Mulia,senior kami daripada Indonesia yang cukup sabar dan gigih berjuang.

Dan beberapa orang Dr lagi yang saya lupa namanya.Hehe.

RAKAN LAMA DAN BARU

Segala penat lelah dan perit jerih dalam menuntut ilmu terasa berbaloi.Namun yang paling membahagiakan adalah apabila melihat kegembiraan di wajah ibu dan ayah.

Keluarga yang sanggup datang beramai-ramai kerana meraikan kegembiraan.Tahniah kalian kerana erjaa menggembirakan orang lain.

Tahniah buat teman satu team debat bersama saya di,Izzati yang berjaya mendapat ijazah sarjana di USM Kejuruteraan. 

Saudara Faisal Basir yang mendapat Ijazah Sarjana Matematik, sekarang sedang buat PhD dalam bidang yang sama. Seorang junior yang ceria dan baik.

Rakan-rakan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda agak ramai. Saya ucapkan tahniah buat kalian semua.

Junior-junior KMPP. Saudara Ziyad Rafiqi, Amirah, Faz Ismail, Syikin, Emma, Ain Nasiehah, Hidayah Nordin dan lain-lain.

Saudara Jasmun,Hisham,Afif dan rakan-rakan kalian yang lain. 

Tahniah dan selamat berjuang di alam selepas bergraduasi. Moga sukses sentiasa.

Pesan Abang Ramzah,

"Pendidikan formal sebetulnya hanya membantu kita mengasah kemahiran profesional dalam bidang spesifik yang kita pilih. Ia bukan bertujuan membataskan apa yang boleh dan tidak boleh kita minati,sebagai individu yang masih ada naluri manusia"


Thursday, November 6, 2014

PANAHAN

Jarang-jarang sekali bermain sukan memanah. Minggu lepas sempat main dengan rakan. Seronok rupanya. 

FOKUS

Fokus dalam membidik anak panah tepat ke sasaran. Bila sasaran sudah ada, fokus kepada sasaran yang telah ditetapkan. Abaikan yang di sekelilingnya,fokus kepada sasaran. Badan tegap,tangan lurus,mata fokus,telinga abaikan bunyian,jari menarik tali panah. Semuanya digunakan untuk memanah sasaran.

Begitu juga kehidupan ini. Apa sasaran kita? Jika sasaran mahukan keampunan dan redha Allah,sila fokus kepada sasaran tersebut. Abaikan godaan yang datang, kuatkan jiwa. 

Mata,telinga,tangan,kaki,badan,hati dan seluruhnya bekerja dan digunakan untuk capai redha dan keampunan Tuhan. 

Mata tak melihat kepada perkara haram.
Mulut tidak mengumpat dan mengaibkan orang.
Tangan dihentikan daripada maksiat.
Badan digunakan untuk ibadah.
Hati sentiasa mengingati Allah dan menginsafi dosa-dosa.

Bukankah mahukan redha dan ampunan Tuhan?

Fokuslah memohon ampunan Tuhan.

SABAR

Sabar dan tidak gelojoh bila mahu melepaskan anak panah. Kalau gelojoh,anak panah pergi entah ke mana. Jangan mahu terlalu cepat. Tengok sasaran, angkat busur, fokuskan anak panah ke sasaran, tarik tali sehingga tegang dan lepaskan bila sudah tetap dan yakin. Tapi hati-hati, jangan sampai tali busur melantun kena pada tangan.

Jangan gelojoh dalam beribadat. Perlu sabar dan tertib. Barulah tercapai sasaran kemanisan dalam beribadah,merasai indahnya berbicara dengan Tuhan. Beribadah sebagaimana diajar dalam agama, tidak melampau dan tidak juga main-main.

Bukankan Tuhan Maha Mendengar rayuan dan rintihan kita?

Ya,bila kita sabar dan bersungguh dalam merintih dan merayu.

PANAHLAH

Panahlah hatimu dengan bacaan Al-Quran setiap hari.Zikir di hati dan di bibir. Mencari redha Tuhan bukan mudah,mengharap ampunan Tuhan ada cabarannya.

Ugutan manusia, godaan syaitan, bisikan nafsu, celaan musuh dan pelbagai duri yang mencucuk. Tapi ingatlah.

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين.

PANAHLAH.


Tuesday, October 28, 2014

Terkorban Itu Indah


Hari Raya Haji telah berlalu. Kisah pengorbanan sentiasa diulang dan diperingatkan.

Kisah agung pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail, kisah para anbiya', kisah para sahabat dan juga kisah individu-individu yang telah berkorban dan terkorban memberi satu mesej yang jelas bahawa pengorbanan itu adalah proses dalam kehidupan kita.

Semoga diri kita sentiasa terbuka dan bersedia untuk berkorban terutamanya:

1. Pengorbanan demi menegakkan agama Islam.

2. Berkorban demi ibu bapa dan keluarga.

3. Berkorban untuk membantu rakan-rakan dan sahabat.

Pengorbanan adalah satu harga yang perlu kita bayar untuk mendapatkan sesuatu.

Korbankan masa tidur untuk menyiapkan tesis bagi seorang pelajar.

Korbankan tenaga dan wang ringgit bagi menjaga isteri dan anak-anak.

Korbankan kebebasan diri demi perjuangan rakyat.

Dan pelbagai lagi pengorbanan.

Berkorbanlah untuk sebuah kebaikan, dan bukannya ke arah kejahatan.

RAYA KORBAN

Pada hari raya korban baru-baru ini, saya dan rakan-rakan sekelas mengendalikan program korban bagi pensyarah kami. Bermula dari sebelum sembelih sehingga jamuan makan,suatu keletihan yang membahagiakan.

Mereka berkorban dan kami terkorban. Haha.. Tetapi terkorban itu indah dan manis.

Gambar sebagai kenangan.