Thursday, November 6, 2014

PANAHAN

Jarang-jarang sekali bermain sukan memanah. Minggu lepas sempat main dengan rakan. Seronok rupanya. 

FOKUS

Fokus dalam membidik anak panah tepat ke sasaran. Bila sasaran sudah ada, fokus kepada sasaran yang telah ditetapkan. Abaikan yang di sekelilingnya,fokus kepada sasaran. Badan tegap,tangan lurus,mata fokus,telinga abaikan bunyian,jari menarik tali panah. Semuanya digunakan untuk memanah sasaran.

Begitu juga kehidupan ini. Apa sasaran kita? Jika sasaran mahukan keampunan dan redha Allah,sila fokus kepada sasaran tersebut. Abaikan godaan yang datang, kuatkan jiwa. 

Mata,telinga,tangan,kaki,badan,hati dan seluruhnya bekerja dan digunakan untuk capai redha dan keampunan Tuhan. 

Mata tak melihat kepada perkara haram.
Mulut tidak mengumpat dan mengaibkan orang.
Tangan dihentikan daripada maksiat.
Badan digunakan untuk ibadah.
Hati sentiasa mengingati Allah dan menginsafi dosa-dosa.

Bukankah mahukan redha dan ampunan Tuhan?

Fokuslah memohon ampunan Tuhan.

SABAR

Sabar dan tidak gelojoh bila mahu melepaskan anak panah. Kalau gelojoh,anak panah pergi entah ke mana. Jangan mahu terlalu cepat. Tengok sasaran, angkat busur, fokuskan anak panah ke sasaran, tarik tali sehingga tegang dan lepaskan bila sudah tetap dan yakin. Tapi hati-hati, jangan sampai tali busur melantun kena pada tangan.

Jangan gelojoh dalam beribadat. Perlu sabar dan tertib. Barulah tercapai sasaran kemanisan dalam beribadah,merasai indahnya berbicara dengan Tuhan. Beribadah sebagaimana diajar dalam agama, tidak melampau dan tidak juga main-main.

Bukankan Tuhan Maha Mendengar rayuan dan rintihan kita?

Ya,bila kita sabar dan bersungguh dalam merintih dan merayu.

PANAHLAH

Panahlah hatimu dengan bacaan Al-Quran setiap hari.Zikir di hati dan di bibir. Mencari redha Tuhan bukan mudah,mengharap ampunan Tuhan ada cabarannya.

Ugutan manusia, godaan syaitan, bisikan nafsu, celaan musuh dan pelbagai duri yang mencucuk. Tapi ingatlah.

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين.

PANAHLAH.


Tuesday, October 28, 2014

Terkorban Itu Indah


Hari Raya Haji telah berlalu. Kisah pengorbanan sentiasa diulang dan diperingatkan.

Kisah agung pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail, kisah para anbiya', kisah para sahabat dan juga kisah individu-individu yang telah berkorban dan terkorban memberi satu mesej yang jelas bahawa pengorbanan itu adalah proses dalam kehidupan kita.

Semoga diri kita sentiasa terbuka dan bersedia untuk berkorban terutamanya:

1. Pengorbanan demi menegakkan agama Islam.

2. Berkorban demi ibu bapa dan keluarga.

3. Berkorban untuk membantu rakan-rakan dan sahabat.

Pengorbanan adalah satu harga yang perlu kita bayar untuk mendapatkan sesuatu.

Korbankan masa tidur untuk menyiapkan tesis bagi seorang pelajar.

Korbankan tenaga dan wang ringgit bagi menjaga isteri dan anak-anak.

Korbankan kebebasan diri demi perjuangan rakyat.

Dan pelbagai lagi pengorbanan.

Berkorbanlah untuk sebuah kebaikan, dan bukannya ke arah kejahatan.

RAYA KORBAN

Pada hari raya korban baru-baru ini, saya dan rakan-rakan sekelas mengendalikan program korban bagi pensyarah kami. Bermula dari sebelum sembelih sehingga jamuan makan,suatu keletihan yang membahagiakan.

Mereka berkorban dan kami terkorban. Haha.. Tetapi terkorban itu indah dan manis.

Gambar sebagai kenangan.



Saturday, September 27, 2014

Selamat Berkonvokesyen

KAMPUS

Hari ini dan esok ramai teman-temanku yang bergraduasi dan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen UniMAP.Tahniah dan syabas dari saya buat teman sekalian.Segala penat lelah dan perit jerih dalam menuntut ilmu terasa berbaloi.Namun yang paling membahagiakan adalah apabila melihat kegembiraan di wajah ibu dan ayah kita.Kan?

Itu hadiah yang bermakna buat mereka.Senyuman ibu bapa,buat mereka yang masih mempunyai ibu bapa.Mereka yang yatim terasa suatu kekosongan di hari bermakna itu.

TEMAN YANG RAMAI ITU NIKMAT

Saya pun tumpang gembira buat teman-teman saya di UniMAP.Terutamanya adik-adik jurusan Mekatronik dan warga yang tinggal di Taman Semarak.Di sana paling ramai kenalan saya.Nak sebut semua tak berapa ingat.Hee..

Buat rakan-rakan saya sejak dari Diploma lagi,tahniah kalian berjaya tamatkan setelah 6 tahun di UniMAP.Hehe.

Dailami seorang pendikir barat
Munawwar yang tenang dan sopan
Asyrof yang sedap bacaan qurannya
Syuhada,Izzati,Syahida dan lain2.

Selamat menempuh alam selepas kampus.

APA SELEPAS ITU

Jadi apa agenda selepas bergraduasi?
Percayalah,alam kampus di peringkat sarjana muda terlalu banyak pengalaman dan pahit manis masin dan masamnya.Kalau sambung ke peringkat sarjana pun,rasanya tak akan sama,dan tak akan berulang lagi zaman itu.Ia akan terpahat dan terlipat dalam sejarah hidup kita semua sebagai sebuah momen.

Di sini antara beberapa perkara yang akan melanda kalian dan rakan-rakan kalian.

1. Sambung Belajar

Ramai juga mengambil langkah ini.Bagi mereka yang berminat dalam bidang akademik dan mampu,mereka akan sambung belajar di peringkat sarjana dan seterusnya.Banyak kajian dan research yang boleh dilakukan.

Bila bertemu nanti,kawan anda akan kata,"Aku wat master kat sekian2 universiti".
Ada yang akan jawab,"Letih sambung belajar,ada peluang kerja,kerjalah dulu".

Dan pelbagai dialog lagi yang kalian akan dengar.

2. Bekerja

Paling ramai yang akan ke sini.Pelbagai jenis kilang yang membuka tangan mereka seluasnya menyambut fresh engineer  yang ramai ini.Di Pulau Pinang,Kulim,Johor Baru,Kuantan,Shah Alam dan pelbagai lagi bandar industri yang ada untuk kalian.Mahu rajin usaha sahaja,insyaAllah ada rezeki kalian.

Namun jangan sedih dan berputus asa,walaupun banyak kali memohon kerja atau hadir ke temu duga,namun belum mendapat kerja.Itu lumrah teman-teman.Saya ini sahaja memohon sana sini,namun setahun juga menganggur.Teruskan usaha dan usaha.Yang penting nekad dan bersungguh.Mungkin saya dulu tak bersungguh.hehe..

3. Kahwin

Ni pun perkara yang sentiasa menjadi bualan kalian selepas bergraduasi.Kalian akan mendapat satu demi satu jemputan kahwin daripada kawan-kawan kalian.Atau sampai giliran kalian menjemput orang lain ke majlis walimah kalian.

Seronok ketika itu,kalian jumpa kawan-kawan lama setelah sekian lama tak bertemu.Berbual dan berkongsi macam-macam,tentang tempat kerja,perancangan hidup dan macam-macam.

4. _ _ _ _

Agak-agak apa empat huruf untuk diisi di atas?

Saya pilih empat huruf ini, MATI.

Ya,tak terduga kawan baik kita yang muda dan sebaya dengan kita,lepas keluar kampus,tak tanya khabar berita apa.Dan yang kita dapat tahu,dia sudah dijemput menghadap Allah Rabbul Jalil.

Oleh itu,bertanyalah khabar pada teman-teman kamu.

Saya terkenangkan sahabat saya Zunnur,dia sempat kerja sebulan lebih,dan dia dijemput menghadapNya dalam keadaan kami tak sangka.Namun itulah ketentuan,sama ada kita mendengar khabar kematian teman kita,atau mereka mendengar berita pemergian kita.Setiap orang ada masanya.

ZAMAN KENANGAN

Berjalanlah meneruskan kehidupan kalian selepas bergraduasi ini.Kejarlah cita-cita dan impian kalian.Dan pastikan kita menjadi hamba Allah yang soleh dan taat padaNya,biar apa pun kerja kita,biar ke mana pun haluan kita,jadi hamba Allah yang bertaqwa.Mudah-mudahan kita bukan setakat berkawan di dunia,bahkan diizinkan Allah untuk bersama di syurgaNya.

Selamat bergraduasi.

Wednesday, September 24, 2014

UNTUK ANAK YANG BER 'AYAH'

"Selamat ulang tahun kelahiran pak cik."

Ucap saya pada pak cik itu. Beliau senyum dan menjawab.

"Terima kasih atas ingatan Saiful. Bila sampai umur ini, gigi dah mula kurang. Deria bau semakin kurang. Pak cik berdoa kalau boleh biar pak cik pergi dengan mengejut tanpa menyusahkan keluarga."

Saya terdiam membisu.

Beberapa tahun lalu pun ayat ini yang pak cik ini tuturkan pada saya.

"Pak cik letih sikit.Bila umur bertambah, makin dekat dengan garisan penamat. Semoga kembali nanti tak menyusahkan anak-anak pak cik"

Saya yakin, pak cik itu tidak pernah sebut sebegitu pada anak-anaknya. Mungkin dia hanya berkongsi dengan saya sebagai orang luar. Itulah kasih sayang seorang ayah, jarang dizahirkan namun mendalam rasanya.

Begitu juga ayahanda saya. Setiap kali pulang ke rumah, abah suka bercerita dan bertanya isu-isu semasa. Kemudian akan dikaitkan dengan sejarah hidupnya, pengalamannya dan nasihat buat anak yang mentah ini.

Dan bila saya mahu pergi, soalan yang biasa akan ditanya, "Bila pula nak pulang ni?"

Saya cuba tidak menjawab soalan itu dengan kata-kata, tetapi berusaha untuk selalu pulang selepas ini walaupun sekejap.

Saya terhidu bau sebuah kerinduan dalam soalan abah itu.

Teman-teman, pulanglah menjenguk ayah bonda. Mereka rindukan kita. Ummi selalu pesan,

"Jika kamu rasa sayang sangat pada anak kamu, tak mahu berpisah dan berjauhan dengan anak-anakmu, maka begitulah juga apa yang kami rasa. Kerana kamu itu anak kami"

Pulanglah duhai anak...


Di Masjid Nabawi


-Saya selalu layan lagu BIAR oleh Kak Fynn Jamal. Sangat menyentuh hati saya-


Mata tua yang memandang aku itu
Bundar...
Pudar...

Dia tak mahu bilang apa yang mencengkam jiwa usangnya
Biar..
Katanya biar..
Wahai ayahanda berhentilah walau sebentar
Dan renungkan mataku yang melaut
Khabarkan yang jujur
Dan ujar apa menyerabut..

Wahai ayahanda bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
Akukan lemahmu
Perikan penatmu
Kisahkan jerihmu
Aku mahu tahu...

Mata tua yang bagai ada sakti dewa dewi itu
Harum..
Senyum...
Dipukaukan aku nan terus terpana dan terdiamkan
Biar...
Katanya biar...

Wahai ayahanda bisikkanlah walau sekali
Izinkan aku menumpangkan bahu
Berikan aku seperca dari beban kamu

Wahai ayahanda lihatkanlah aku berlari kini
Melompat tinggi
Setiapnya kerna kau tak pernah pergi..

Apa masih ingat lagi
Aku suka lari-lari
Kau bagaikan tak peduli
Ku biar kau patah hati

Apa masih tidak lupa
Tengking jerit sama-sama
Makan tak mahu semeja
Sahabat lebih berharga

Apa mampu kau sudikan 
Ampun maafku sujudkan
Bisa tidak kau teruskan
Ku sesat kau tunjuk jalan

Apa layak aku bagi
Tak terbalas sampai mati
Kau sungguh yang paling tinggi
Istanamu syurga nanti

Ayahanda beta..
Kekasih beta..

http://www.youtube.com/watch?v=-MiM19N_dqQ

Wednesday, September 17, 2014

Keluarga Debat

DEBAT

Saya menjengah ke dunia perdebatan secara tidak sengaja. Rakan saya Afifi mengajak saya mengganti tempat seorang pendebat dalam pasukan debat universiti. Dari ketaksengajaan itu saya jatuh cinta pada dunia debat.

Debat ASTAR 2009 adalah pertandingan debat pertama yang saya sertai. Teman pasukan saya ketika itu ialah Wahidah, Zubaidah dan Afham. Saya hanya sebagai simpanan. Tapi Afham memberi peluang kepada saya untuk jadi pendebat ketiga. Yeah,itulah posisi tetap saya sebagai pendebat.

Ada beberapa perkara besar yang saya pelajari daripada keluarga debat saya,yang banyak mencorakkan pemikiran dan diri saya:

1. Berkata jujur dan benar,walaupun adakalanya ia pedih dan menyakitkan. Bila kami berbicara sesama kami,memang perlu jujur supaya kami dapat tahu kelemahan dan kelebihan masing-masing sebagai satu pasukan.

2. Terbuka dan sedia terima kritikan. Yang ni memang kena ada untuk majukan diri. Seingat saya,keluarga debat cukup terbuka antara satu sama lain. Bila terbuka,maka kita tahu untuk tingkatkan potensi diri.

3. Kritis dan informatif. Bila nak berdebat,kami perlu bermaklumat. Kalau tak,nak merapu apa nanti waktu berdebat. Saya selalunya ditugaskan untuk bagi penerangan dalam isu politik dan teman-teman lain dalam isu ekonomi,sosial dan lain-lain. Nak tak nak,kami terpaksa disumbat dengan maklumat. Dan maklumat itu perlu dikritik dan dianalisis untuk dijadikan suatu konsep atau pun hujah balas dalam perdebatan. Dari situ, informasi perlu untuk memajukan diri,dan analisis perlu ada supaya otak kita berfungsi dan tak beku.

4. Retorik. Bunyi macam negatif. Tapi hakikatnya kita perlu beretorik dalam berucap. Supaya ucapan kita itu berkesan dan mesej yang mahu disampaikan itu dapat sampai kepada pendengar. Bunga bahasa itu indah.

5. Persaudaraan. Ini nikmat yang Allah kurniakan kepada keluarga debat kami. Kepada teman-teman debat saya, Syamir, Mas, Izzati, Aiman, Kak Wahidah,Abang Afham,Somchai,Nazrullah,Raimi,Syaiful,Abang Apit,Madiha,Umahwathy,Zubaidah dan mungkin ada yang saya tertinggal,saya hargai kalian sebagai teman yang banyak mengajar saya pelbagai perkara dalam hidup. Kepada Puan Sayang sebagai penyelaras dan En Hanif sebagai jurulatih kami,terima kasih banyak. Banyak ilmu yang dicurahkan.

Ini adalah salah satu daripada warna kehidupan saya.





Ini anak Mas Idayu,Muaz namanya. Comel.

Sunday, September 14, 2014

Mengertilah

Ku biar kalam berbicara
Mengurai maksudnya dijiwa
Agar mudahku mengerti
Segala yang terjadi sudah suratan ILAHI

Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan dijiwa
Tak pernahku ingini

Aku telah pun sedaya
Tak melukai hatimu
Mungkin sudah suratan hidupku
Kasih yang lama terjalin berderai bagaikan kaca
Oh teman maafkanlah diriku,,,

OH TUHAN..
Tunjukkanku jalan untuk menempuhi dugaan ini.
Teman maafkan jikaku melukaimu
Moga ikatan ukhuwah yang dibina
ke akhirnya

Aku tidakkan berdaya
Menahani pada rasa
Kau pergi meninggalkan diriku
Redhala apa terjadi
Usahlah dikau kesali
Mungkin ada rahmat yang tersembunyi

UNIC-Sahabat Sejati




Thursday, July 3, 2014

Berhati Mulia

Sudah empat hari aku memerhatikan mereka ketika berbuka puasa di masjid. Insan istimewa itu sentiasa ada yang membantunya. Dia dibantu ketika berjalan, ketika mengambil nasi, waktu mencari tempat duduk dan juga pada waktu dibawa balik ke asrama.

Dia itu seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), mata dan penglihatannya terbatas. Tidak sama sebagaimana dengan manusia normal. Dua perkara yang aku ingin katakan.

1. Betapa mulianya hati insan-insan yang sudi membantu mereka yang OKU ini. Mereka nampak biasa sahaja, tetapi hati mereka mulia. Membawa rakan mereka yang OKU itu di atas motosikal, memimpin tangan mereka ketika berjalan, mengambil nasi dan segala perkara yang perlu dibantu. Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran buat kalian.



2. OKU ini adalah insan yang istimewa. Allah mengurniakan mereka kelebihan yang berbeza. Teringat dialog seorang budak buta yang menghafaz al-Quran. Hebat sungguh beliau. Ketika ditanya adakah dia ingin melihat. Jawabnya, dia pohon pada Allah untuk dia kekal dalam keadaan buta, supaya matanya tidak perlu menjawab tentang maksiat yang dilakukan oleh mata itu kerana matanya buta dan tidak melihat kepada perkara maksiat. Allahu..

Sungguh tidaklah yang buta itu mata penglihatan tetapi yang buta adalah mata hati di dalam dada

"Ya Allah,janganlah kami dibutakan mata hati kami dari melihat kebenaran".

Tuesday, July 1, 2014

DI MANA SAHAJA

Sedang beratur mengambil juadah berbuka di Masjid Malik al-Khalid, tiba-tiba terpandang seseorang sedang tekun membaca al-Quran sambil menunggu masuk waku berbuka. Terlihat pula kelibat seorang kenalan sedang tekun melihat pada telefon bimbitnya, bila didekati dia juga sedang membaca al-Quran.MasyaAllah, indah rasa suasana ini.



Di mana sahaja al-Quran menjadi pendamping dan teman baik. Ayatnya dibaca, maknanya difahami, isinya diamal dan dilaksanakan dan ajaran di dalamnya disebarkan.

Hati orang yang beriman tidak akan pernah puas dan jemu membaca Al-Quran.

Sebelum masuk waktu berbuka, sempat mendengar pesanan dari temanku. Sangat mendalam dan menusuk qalbu. Ringkasnya, hidup ini jangan mempermainkan orang, jangan mempergunakan orang untuk kepuasan dan kesenangan diri. Sungguh aku terpukul.

Ya Allah,ampunkan dosa-dosa kami.