Tuesday, December 31, 2013

Genap Setahun

31/12/2012

Petang itu dapat mesej daripada Naemi, keadaan Zunnur tiba-tiba kritikal,kena masuk ICU. Hati rasa berdebar. Minggu lepas baru pergi ziarah dia di hospital, sembang macam biasa. Mudah-mudahan dia okay je. Doa di dalam hati.

Usai solat maghrib, menerima sms daripada ibunya, Zunnur telah pergi menghadap Allah. Aku terdiam dan menitis air mata tanpa sedar.

Innalillahi wainna ilahi rajiun. Ajal, bukan boleh diganjak awal sedetik atau lewat sedetik. Tiba detiknya, berpisahlah jasad dan roh pergi menghadap Ilahi.

Hari ini cukup setahun. Setahun ini, tidak pernah sekali pun aku ziarah ke kuburnya. Bukan tidak mahu,tetapi belum kuat. Terlalu banyak kenangan dengan insan dan sahabat yang sebaik dia. Mengaji quran bersama, naik motor ke kuliah bersama, kadang-kadang meredah hujan. Seorang sahabat yang baik, semoga engkau tenang di sana sahabat Mohammad Zunnur Hasan.

x banyak gambar kita bersama..ni je yang ada..

Thursday, December 5, 2013

MUSIM CUTI DAN PERKAHWINAN

Musim cuti dan majlis perkahwinan sentiasanya sinonim dalam masyarakat kita. Sekarang ini musim cuti sekolah hujung tahun. Dua perkara yang selalu menjengah.

Pertamanya adalah musim banjir bagi kami warga Pantai Timur. Inilah kebiasaan kami, sentiasa bersiap siaga menghadapi dan melayan musim banjir. Ujian dan nikmat yang silih berganti daripada Allah kepada kita hambaNya. Tahun 2013 ini menyaksikan banjir yang agak teruk di negeri Pahang sehingga Kuantan lumpuh terus. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudara kita di sana.

Perkara kedua yang sinonim dengan cuti hujung tahun ini ialah majlis walimatul urus. Tahun ini banyak pula aku terima jemputan ke majlis perkahwinan rakan-rakan saya. Dalam bulan November lalu, sudah terlepas beberapa jemputan dari teman-teman. Pohon maaf kawan-kawanku yang aku tak dapat hadir majlis kalian kerana kekangan yang pelbagai ni.

Semoga Allah merahmati perkahwinan kalian,bahagia hingga ke syurgaNya. Bulan Disember ini pun ada beberapa jemputan. Tak pasti lagi mampu memenuhi undangan kalian. Akan diusahakan insyaAllah.

Teringat perbualan aku dengan abang. Katanya, perkahwinan ini kena tengok pada kondisi kita. Di tahap mana kita ini, wajib kah, sunat kah, harus kah, makruh atau haram kah?

Jika dalam situasi wajib dan sunat, usahakanlah kahwin secepat mungkin, minta tolong ibu dan ayah usahakan. Jika di tahap haram dan makruh untuk berkahwin, tak perlu kahwin lagi. Jika di tahap harus, jalanilah hidup dengan aman.

Di tahap manakah anda?? hehe..



Kata orang. "Berkahwin dengan orang kita suka,itu adalah IMPIAN.Berkahwin dengan orang yang tak dijangka itu dipanggil JODOH."

Yer la kan, segalanya adalah rahsia Allah. Termasuklah dalam soal jodoh. Pesan guru aku, " Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat apa kita setia, selama apa kita menunggu, sekeras apa kita bersabar, sejujur apa kita menerima si dia. Jika Allah tidak menulis jodoh kita tetap tidak akan bersamanya."

Tapi, apa yang lebih penting adalah kita tak tahu rahsia bila tarikh KEMATIAN kita. Macam dialog dalam filem 'Ustaz Mu Tunggu Aku Datang'. 

"Adakah tuan boleh jamin saya dan tuan boleh hidup dan bernyawa esok hari?" 

Sentap ooo...

Moga menjadi peringatan kita bersama. Selamat pengantin baru buat teman-temanku yang akan melangkah ke gerbang alam rumah tangga. Moga rahmat Allah bersama kalian dan keluarga masing-masing.

-Itik Kuning berenang ke laut Pasifik-

Wednesday, October 23, 2013

PILIHAN RAYA KAMPUS

Kebetulan lalu di hadapan padang kawat USM, rupanya ada majlis Rapat Umum Pilihan Raya Kampus. Saya singgah untuk mendengar. Sebagai pemerhati, saya masuk hadir ke dalam kelompok kedua-dua belah pihak, Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Meriah dan menarik sokongan dan kemeriahan para penyokong memberikan sokongan kepada pihak masing-masing.

Pro-Aspirasi

Saya berada lama dalam kelompok Pro-A yang bertema pakaian hitam, kebanyakannya bercetak Alif Ba Ta memerhati dan melihat sokongan pihak mereka. Pemerhatian saya terhadap Pro-A di USM ini adalah:

1. Jumlah penyokong mereka yang ramai berbanding dengan pihak Pro-M.

2. Kedua, wujudnya kerjasama antara calon-calon mereka dengan penyokong mereka ketika memberi ucapan. Sesuatu yang kreatif.

3. Ketiga, saya melihat calon Pro-A digilap dan disediakan lebih awal, maksudnya dengan persediaan yang kemas untuk berucap. Namun bagi saya, semuanya sama pattern sahaja. Yakni, agak sama gaya. Tapi ada beberapa orang calon mereka yang memang attractive. Tahniah.

4. Penyokong mereka yang begitu bersemangat. Bagus dan hebat. Tapi gaya mereka memprovok dan calon lawan dan boo ketika calon lawan berucap, itu sesuatu yang kurang beradab dan kurang sesuai sebagai warga mahasiswa. Kita bukan berkempen di hutan kan?? Hihik.

Pro-Mahasiswa

1. Bilangan penyokong mereka agak kurang berbanding penyokong lawan mereka.

2. Namun rasa lebih tenang dan cool sedikit bila berada di sebelah sini. Tidak ada provokasi dan boo. Tahniah dengan kematangan tersebut.

3. Saya paling suka bila mereka akhiri dengan bacaan doa sebagai penguat semangat.

Kemudian?

1. Kedua-dua belah pihak tidak boleh bergantung semata-mata kepada ucapan dalam rapat umum. Ia hanya sebahagian daripada kempen. Apa yang lebih penting strategi kempen yang menyeluruh dan sentuhan anda kepada para pengundi anda.

2. Akhlaq dan kematangan anda dalam proses pilihan raya kampus ini adalah lebih penting daripada sebuah kemenangan yang disulami dengan akhlaq yang buruk dan ketidakmatangan. Bersikap matang dan bertandinglah secara sihat.

3. Saya gembira melihat keberanian para calon dan penyokong masing-masing dalam memperjuangkan agenda dan hasrat murni mereka. Teruskanlah melangkah dengan penuh berhemah dan cermat.

4. Menang kalah adat pertandingan. Namun pengalaman kalian adalah lebih mahal dan berharga. Jadikan ia sebagai proses kematangan dan menjadi seorang yang dewasa.

Selamat mengundi kepada semua warga USM!

Tuesday, October 15, 2013

Merindui Makkah dan Madinah

Assalamualaikum warahmatullah.

Ibadah haji yang sedang berlangsung di bumi Makkah disiarkan di seluruh dunia. Ia bisa menggamit perasaan setiap muslim yang merindui bumi Makkah dan Madinah. Bagi mereka yang belum pernah sampai ke sana, sudah tentu perasaan mereka membuak-buak mahu ke sana. Bagi mereka yang pernah pergi, mereka juga sangat terasa ingin pergi lagi.

PERTAMA KALI

Saya diizinkan Allah menjadi tetamu-Nya buat kali pertama pada April 2013. Alhamdulillah. Tiba di Madinah, perkara pertama yang saya fikirkan adalah mahu menziarahi Nabi. Tapi tiba pada waktu tengah malam, masjid Nabawi ditutup selama 2 jam. Hampir subuh baru dibuka. Apa yang saya dapat rasa adalah KETENANGAN.

5 hari di Madinah, kemudian bergerak ke bumi Makkah. Juga sampai pada tengah malam, terus selesaikan ibadah umrah. Tidak terasa keletihan berada di sana. Tidak perlu saya coret satu persatu apa yang saya lalui di sana, cukup saya katakan, berusahalah sehabis mungkin untuk menjejakkan kaki anda ke bumi barakah itu. Laluilah sendiri pengalaman menjadi tetamu Allah.



PENGAJARAN

1. Saya melihat ramai warga tua di sana yang mana mereka ada keterbatasan untuk menunaikan ibadah. Apa pun mereka memang bersungguh. Kerana itu saya merasakan, kita jangan tunggu tua baru nak menunaikan umrah dan haji. Saya sendiri berazam untuk menunaikan haji secepat yang mungkin (biiznillah), dalam usia yang muda dan kuat ini. Jika kita mampu berbelanja membeli rumah dan kereta, kenapa perlu bertangguh untuk mengeluarkan harta untuk ibadah haji dan umrah. [Target nak buat haji sebelum umur 30, insyaAllah]

2. Jika ibu bapa masih ada, berusahalah membawa mereka ke sana. Dalam keterbatasan usia mereka, ia menguji kesanggupan kita untuk berbakti kepada mereka.

3. Kesabaran adalah antara kunci besar dalam beribadah dan proses menjadi hamba Allah yang bertaqwa. SABAR


Terlihat sepasang suami isteri sedang membaca Al-Quran.

SALAM AIDILADHA 1434H.

3.30 a.m

Friday, October 11, 2013

Betul-betul suka ke?

"Abang betul-betul suka ke baju saya ni?",tanya junior saya.

"Kenapa?"

"Kalau kata suka,saya hadiahkan pada abang."

Haha.Junior saya ini memang baik hati.Maka saya geleng kepala.Kalau saya angguk,nanti memang dia beri baju dia itu pada saya.

Kisah kedua dengan seorang lagi sahabat saya. Saya hanya meminjam sekejap jaket dia kerana kesejukan. Saya puji kata jaket dia ni lawa. Berkenan juga tengok. Saya berhajat nak beli. Hari terakhir program, dia hadiahkan saya jaket tersebut. Pada program yang lain pula, dia bawakan sehelai jubah haramain pada saya. Eh,baik hati sungguh la adik ni.



MEMBERI

Saya belajar dari manusia seperti ini tentang sikap memberi. Mereka ini sedia memberi benda yang mereka suka. Memberi itu sikap yang mulia. Sama ada memberi harta, kasih sayang, perasaan dan sebagainya.

Namun memberi itu bukan semudah diungkap di bibir. Kerana apabila kita rasa kita memiliki, sukar untuk untuk kita memberi. Sedarlah bahawa semua adalah pinjaman dari Allah kepada kita. Itu akan memupuk sifat memberi dalam diri kita.

Memberi kepada mereka yang kesusahan.
Memberi kepada manusia di sekeliling kita.

MEMBERILAH KERANA ALLAH.

moral:jangan kedekut dan bakhil sangat duhai Itik Kuning


Tuesday, October 8, 2013

SANGAT BERKACIP

Kalimah kacip merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa membawa makna sejenis pokok atau tumbuhan. Ia juga memberi makna perbuatan mengacip seperti mengacip buah pinang.

Dalam istilah perbualan orang Kelantan, kacip atau sebutannya kkacip (ada sabdu pada sebutan huruf K di hadapan kalimah itu) memberi makna sangat akrab, rapat, karib dan mesra. [saja nak bagi takrifan.haha]. Contoh ayat: Ahmad dan Ali sangat kkacip.

Hujung minggu yang lalu saya dan beberapa orang sahabat kkacip saya pergi menziarahi ibu kepada seorang sahabat kami yang baru menjalani pembedahan bypass jantung. Antara hak sesama muslim ialah menziarahi apabila ada saudara kita sakit, dan dalam bersahabat hendaklah kita mengambil berat bukan setakat pada sahabat kita, bahkan mengenali kaum keluarganya sama. Tidakkan indah ajaran Islam itu?

Hajat hanya mahu singgah sekejap, mungkin hanya setengah jam sahaja, namun berlanjutan sehingga 3 jam lebih. Kami dilayan penuh mesra sebagai tetamu, malah dijamu dengan makan tengah hari. Bersembang dan berbual dengan ibu bapa sahabat kami itu (yang juga kami anggap macam ibu bapa kami sendiri) sangat menyeronokkan, dapat mendengar pengalaman dan perkongsian orang lama. Ya, mungkin kita lebih pandai dari mereka, tapi kita tak dapat menandingi pengalaman hidup yang telah dilalui oleh mereka. 

Dalam masa yang sama, dapat juga korek rahsia sahabat sendiri dari ibu ayah mereka. (Hehe..). Apa pun,itulah indahnya bersahabat bila kita niat ikhlas kerana Allah, menjaga adab dan hak dalam bersahabat, berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing, sedia bantu membantu dan saling nasihat menasihati untuk mendekatkan diri pada Allah.

1. Bila sahabat kita atau keluarganya sakit atau ditimpa musibah, cepat-cepatlah berusaha untuk ziarah dan membantu.



2. Adab kita orang Melayu sangat menjaga dan menghormati tetamu. Itu juga disarankan dalam Islam. Layani tetamu sebaiknya kerana tetamu itu datang bersama dengan rahmat.

3. Selalulah menimba ilmu dan mencedok pengalaman daripada orang lama atau orang di sekeliling kita. Tak rugi sedikit pun. Banyakkan mendengar, nescaya ada hikmah yang kita akan dapat.


4. Saling percaya antara satu sama lain dalam bersahabat, elakkan prasangka buruk dan mendedahkan aib sahabat sendiri.

5. Nasihat ke arah kebaikan, tegur bila melihat kesalahan, bersahabatlah kerana Allah.





Saturday, September 28, 2013

Brunei yang tenang

Hujung bulan Ogos yang lalu,Itik Kuning merantau ke negara jiran yang bergelar Brunei Darussalam, terletak di kepulauan Borneo dan bersempadan dengan Malaysia melalui Sabah dan Sarawak.

TENANG

Pertama yang saya dapat simpulkan,Brunei adalah negara yang tenang dan stabil. Ya, dengan kapasiti penduduknya lebih kurang 400 000 sahaja, ia memang tidak padat. Tiba di Brunei, kami disambut oleh Mak Cik Niah, seorang kenalan di sana. Seorang yang peramah dan suka bercerita. Dahulunya pernah belajar di Kelantan dan di KIK, Klang sebelum ke Al-Azhar, Mesir.

Jalan rayanya tidak ada kesibukan seperti di Malaysia. Tidak ada berkejaran di atas jalan raya,membunyikan hon di sana sini atau cilok mencilok. Kami pejalan kaki ini sentiasa diberi ruang untuk melintas oleh kereta-kereta di sana.

RAJANYA MEWAH,RAKYATNYA SENANG

Negara yang terkenal dengan hasil minyaknya ini menggunakan sistem pemerintahan monarki mutlak, yakni sistem beraja. Rajanya Sultan Hasanal Bolkiah sememangnya kaya dan mewah. Namun yang menariknya, rakyatnya senang dan menikmati sama hasil bumi tanah tumpah darah mereka.

Kata seorang rakyatnya, "Kami percaya untuk serahkan sepenuhnya kepada pemerintah hasil bumi ini kerana kami tahu dan yakin, Raja dan pemerintah akan agihkannya kepada kami kembali"

Ini keyakinan rakyat Brunei pada raja mereka. Kita Malaysia juga mempunyai hasil minyak, dan pelbagai lagi hasil bumi seperti kelapa sawit, getah, emas dan bijih besi. Mungkin pemerintah di Malaysia boleh belajar dengan Brunei bagaimana pengurusan kekayaan negara diagihkan untuk kesejahteraan rakyat.

MENARIK

Antara beberapa perkara menarik di sana.

1. Perkampungan air di sana begitu tersusun dan cantik. Pembangunannya kemas dan kebersihan terjaga. Saya boleh melihat sekolah dan masjid yang dibina di atas air serta kawasan perumahan di perkampungan air tesebut. Pernah melihat perkampungan air di Sabah, namun kelihatan sangat dhaif dan terbiar.Kesian.

2. Masjid-masjid di sana cukup cantik dan bersih. Saya dimaklumkan semua perbelanjaan bil dan penyelenggaraan sepenuhnya di bawah tanggungan kerajaan. Cuma masalah yang sama di mana-mana, waktu solat jemaah, ahlinya tak berapa ramai.

3. Pada hari Jumaat, saya terpaksa habiskan makan tengah hari dengan cepat kerana kedai itu mesti ditutup pada jam 12.00 tengah hari. Bukan kedai itu sahaja, malah semua premis perniagaan dihentikan operasinya dari jam 12.00 tengah hari sehingga jam 2.00 petang untuk beri laluan solat Jumaat. Menarik.

4. Rajanya mempunyai keinginan yang tinggi untuk melaksanakan Islam dan undang-undang Syariah. Cuma kurang pada tenaga pakarnya sahaja. Namun ini adalah sesuatu yang sangat baik.

5. Tulisan rasmi di sana adalah tulisan jawi. Bila berada di sana, saya terus teringat pada negeri Kelantan yang cuba untuk mengamalkan perkara yang sama. Ya, tulisan jawi terpapar di mana-mana papan tanda dan tanda nama rasmi di sana.

MENGEMBARA

Mengembara itu adalah sesuatu yang hebat. Banyak pengajaran yang boleh didapati. InsyaAllah tahun depan mahu ke Indonesia pula.

gambar perkampungan air







Mak Cik Niah dan keluarganya



Tuesday, September 24, 2013

Apa Selepas Konvokesyen?

Minggu lepas ramai teman-temanku yang bergraduasi dan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen.Tahniah dan syabas dari saya buat teman sekalian.Segala penat lelah dan perit jerih dalam menuntut ilmu terasa berbaloi.Namun yang paling membahagiakan adalah apabila melihat kegembiraan di wajah ibu dan ayah kita.Kan?

Itu hadiah yang bermakna buat mereka.Senyuman ibu bapa,buat mereka yang masih mempunyai ibu bapa.Mereka yang yatim terasa suatu kekosongan di hari bermakna itu.

TEMAN YANG RAMAI ITU NIKMAT

Saya pun tumpang gembira buat teman-teman saya di UniMAP.Terutamanya adik-adik jurusan Mekatronik dan warga yang tinggal di Taman Semarak.Di sana paling ramai kenalan saya.Nak sebut semua tak berapa ingat.Hee..

Buat kakanda Dzulhaxif yang baru sebulan lebih bergelar bapa,tahniah.Anda bergraduasi dengan kehadiran Nur 'Aliyatul Iman yang comel itu.Tahniah buat Asep dan Huza.

Buat keluarga Kelab Debat UniMAP,tahniah semua.Syamir dan Umahwathy yang menerima Anugerah Diraja,kalian memang hebat dan cemerlang.Izzati,Raimi,Madiha dan lain-lain,tahniah juga.

Buat aktivis kampus,Saudara Khairuddin,mantan YDP MPP,Khairul Azri,Nije Klate dan ramai lagi,tahniah kalian.Terima kasih atas jasa kalian dalam persada alam kampus.

APA SELEPAS ITU

Jadi apa agenda selepas bergraduasi?
Percayalah,alam kampus di peringkat sarjana muda terlalu banyak pengalaman dan pahit manis masin dan masamnya.Kalau sambung ke peringkat sarjana pun,rasanya tak akan sama,dan tak akan berulang lagi zaman itu.Ia akan terpahat dan terlipat dalam sejarah hidup kita semua sebagai sebuah momen.

Di sini antara beberapa perkara yang akan melanda kalian dan rakan-rakan kalian.

1. Sambung Belajar

Ramai juga mengambil langkah ini.Bagi mereka yang berminat dalam bidang akademik dan mampu,mereka akan sambung belajar di peringkat sarjana dan seterusnya.Banyak kajian dan research yang boleh dilakukan.

Bila bertemu nanti,kawan anda akan kata,"Aku wat master kat sekian2 universiti".
Ada yang akan jawab,"Letih sambung belajar,ada peluang kerja,kerjalah dulu".

Dan pelbagai dialog lagi yang kalian akan dengar.

2. Bekerja

Paling ramai yang akan ke sini.Pelbagai jenis kilang yang membuka tangan mereka seluasnya menyambut fresh engineer  yang ramai ini.Di Pulau Pinang,Kulim,Johor Baru,Kuantan,Shah Alam dan pelbagai lagi bandar industri yang ada untuk kalian.Mahu rajin usaha sahaja,insyaAllah ada rezeki kalian.

Namun jangan sedih dan berputus asa,walaupun banyak kali memohon kerja atau hadir ke temu duga,namun belum mendapat kerja.Itu lumrah teman-teman.Saya ini sahaja memohon sana sini,namun setahun juga menganggur.Teruskan usaha dan usaha.Yang penting nekad dan bersungguh.Mungkin saya dulu tak bersungguh.hehe..

3. Kahwin

Ni pun perkara yang sentiasa menjadi bualan kalian selepas bergraduasi.Kalian akan mendapat satu demi satu jemputan kahwin daripada kawan-kawan kalian.Atau sampai giliran kalian menjemput orang lain ke majlis walimah kalian.

Seronok ketika itu,kalian jumpa kawan-kawan lama setelah sekian lama tak bertemu.Berbual dan berkongsi macam-macam,tentang tempat kerja,perancangan hidup dan macam-macam.

4. _ _ _ _

Agak-agak apa empat huruf untuk diisi di atas?

Saya pilih empat huruf ini, MATI.

Ya,tak terduga kawan baik kita yang muda dan sebaya dengan kita,lepas keluar kampus,tak tanya khabar berita apa.Dan yang kita dapat tahu,dia sudah dijemput menghadap Allah Rabbul Jalil.

Oleh itu,bertanyalah khabar pada teman-teman kamu.

Saya terkenangkan sahabat saya Zunnur,dia sempat kerja sebulan lebih,dan dia dijemput menghadapNya dalam keadaan kami tak sangka.Namun itulah ketentuan,sama ada kita mendengar khabar kematian teman kita,atau mereka mendengar berita pemergian kita.Setiap orang ada masanya.

ZAMAN KENANGAN

Berjalanlah meneruskan kehidupan kalian selepas bergraduasi ini.Kejarlah cita-cita dan impian kalian.Dan pastikan kita menjadi hamba Allah yang soleh dan taat padaNya,biar apa pun kerja kita,biar ke mana pun haluan kita,jadi hamba Allah yang bertaqwa.Mudah-mudahan kita bukan setakat berkawan di dunia,bahkan diizinkan Allah untuk bersama di syurgaNya.

Selamat bergraduasi.

Ini Syamir.Hebat..

Kiden,mantan YDP dan rakan sekelasnya

Mostafa,rakan saya dari Yaman

Saya tak ingat nama,tapi selalu jumpa di surau Kg Wai.Budak baik ni,

Si bapa kepada Iman.Tahniah Asep.