Tuesday, October 8, 2013

SANGAT BERKACIP

Kalimah kacip merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa membawa makna sejenis pokok atau tumbuhan. Ia juga memberi makna perbuatan mengacip seperti mengacip buah pinang.

Dalam istilah perbualan orang Kelantan, kacip atau sebutannya kkacip (ada sabdu pada sebutan huruf K di hadapan kalimah itu) memberi makna sangat akrab, rapat, karib dan mesra. [saja nak bagi takrifan.haha]. Contoh ayat: Ahmad dan Ali sangat kkacip.

Hujung minggu yang lalu saya dan beberapa orang sahabat kkacip saya pergi menziarahi ibu kepada seorang sahabat kami yang baru menjalani pembedahan bypass jantung. Antara hak sesama muslim ialah menziarahi apabila ada saudara kita sakit, dan dalam bersahabat hendaklah kita mengambil berat bukan setakat pada sahabat kita, bahkan mengenali kaum keluarganya sama. Tidakkan indah ajaran Islam itu?

Hajat hanya mahu singgah sekejap, mungkin hanya setengah jam sahaja, namun berlanjutan sehingga 3 jam lebih. Kami dilayan penuh mesra sebagai tetamu, malah dijamu dengan makan tengah hari. Bersembang dan berbual dengan ibu bapa sahabat kami itu (yang juga kami anggap macam ibu bapa kami sendiri) sangat menyeronokkan, dapat mendengar pengalaman dan perkongsian orang lama. Ya, mungkin kita lebih pandai dari mereka, tapi kita tak dapat menandingi pengalaman hidup yang telah dilalui oleh mereka. 

Dalam masa yang sama, dapat juga korek rahsia sahabat sendiri dari ibu ayah mereka. (Hehe..). Apa pun,itulah indahnya bersahabat bila kita niat ikhlas kerana Allah, menjaga adab dan hak dalam bersahabat, berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing, sedia bantu membantu dan saling nasihat menasihati untuk mendekatkan diri pada Allah.

1. Bila sahabat kita atau keluarganya sakit atau ditimpa musibah, cepat-cepatlah berusaha untuk ziarah dan membantu.



2. Adab kita orang Melayu sangat menjaga dan menghormati tetamu. Itu juga disarankan dalam Islam. Layani tetamu sebaiknya kerana tetamu itu datang bersama dengan rahmat.

3. Selalulah menimba ilmu dan mencedok pengalaman daripada orang lama atau orang di sekeliling kita. Tak rugi sedikit pun. Banyakkan mendengar, nescaya ada hikmah yang kita akan dapat.


4. Saling percaya antara satu sama lain dalam bersahabat, elakkan prasangka buruk dan mendedahkan aib sahabat sendiri.

5. Nasihat ke arah kebaikan, tegur bila melihat kesalahan, bersahabatlah kerana Allah.





No comments: