Tuesday, March 9, 2010

Anakku...


Saya melihat dari cermin lutsinar di sebelah tempat duduk saya dalam bas,seorang anak muda mencium tangan kedua ibu bapanya.Anak remaja belasan tahun ini mungkin bersekolah di sekolah berasrama.Melihat wajah ibu dan ayahnya yang penuh pengharapan pada anak mereka itu.

IBU BAPA

"Anakku sayang,belajarlah rajin-rajin,untuk memenuhi tuntutan agama Islam.Dalam menuntut ilmu dunia,jangan kau lupakan tentang akhiratmu".Mungkin itu pesanan hati ibunya.

"Anakku yang dikasihi,jadilah kamu penuntut ilmu yang ikhlas kerana Allah.Kelak kamulah yang akan menggantikan ayah sebagai pemimpin dalam keluarga mahupun masyarakat".Besar harapan seorang ayah kepada anaknya itu.

Saya berkhayal seorang diri.Namun saya dapat merasakan kasih sayang ibu dan ayah remaja itu kepada anak mereka.Ditunggu sehingga bas itu mula bergerak,dan dilambai-lambai tangan kepada anak kesayangan tanda perpisahan.Diiringi sejuta doa mungkin.

Ayah dan ibu yang beriman barangkali yang begitu.Ada juga yang berkata pada anaknya."Anak,belajar sungguh-sungguh,nanti masuk universiti,kerja besar-besar dan hidup mewah."Apa pun pengharapan seorang ibu dan seorang bapa,semuanya demi kebaikan anak-anak.

Namun perlu diingat,apa yang dididik pada anak-anak,akan dituai oleh ibu bapa.Jikalau diasuhnya anak itu belajar kerana Allah,tidak kira ilmu duniawi apatah lagi ilmu agama,maka ibu bapa akan menuai seorang anak yang mungkin bijak,mungkin tidak seberapa.Kelak mungkin bekerja besar,atau hanya penjual pisang goreng.Namun anak yang memahami hakikat hidup itu tetap akan berbakti pada ibu bapa mereka. Jika ibu bapa meninggal,merekalah yang akan menguruskan jenazah mereka,mendoakan mereka dan menyalurkan pahala kepada mereka lantaran menjadi anak soleh dan solehah.

Jika anaknya  dididik cemerlang dengan ilmu dunia sahaja tanpa diasaskan dengan agama,mungkin anaknya itu menjadi pegawai besar,kaya-raya namun apa yang ibu bapanya dapat.Kereta besar,rumah mewah,duit bertimbun? Sayang jika nikmat itu dapat dikecapi,tapi anak-anak buta agama.Ibu bapa meninggal,bukan setakat nak uruskan jenazah,masuk dekat pun tidak.Apatah lagi nak mendoakan mereka,membaca Al-Quran kepada mereka.

Apa yang kita tanam,itu yang kita akan tuai kelak..

ANAK

"Ibu,Salman mahukan kenderaan.Susah nak bergerak berada di kampus tanpa kenderaan sendiri."Adu anak pada ibunya.Maka ayah belikan sebuah motor,atau mungkin sebuah kereta.Dengan harapan,anak akan mudah bergerak,lancar dan senang dalam menuntut ilmu.Dan tidak gunakan ke arah benda buruk.

Anak muda berasa bergaya dengan motor barunya.Atau kereta lawa miliknya.Bukan setakat untuk ke kelas dengan motor itu,malah diangkut sekali anak dara orang di belakang untuk melihat keindahan pantai.Ewah..bangga lagi bila dipeluk oleh si gadis di belakang..Dengan kereta,mudah untuk ke kelas malam.Tapi pada tengah malam,ada 'kelas' dengan kekasih hati pula di dalam kereta itu.

Anak..jangan kau khianati amanah ibu bapamu..

"Ayah..Siti nak duit..duit makan dah habis".Baiklah anakku,ayah masukkan duit itu ke akaun bankmu.Gunakan baik-baik ye,untuk makan minummu dan keperluan pelajaranmu.

Maka setelah mendapat duit saku,anak itu sungguh baik hati sehingga sanggup membelanja si jejaka buah hati makan setiap hari.Dibeli pula kasut dan baju untuk kekasih,sampai ada yang bagi duit terus.Tanda sayang kononnya,padahal terbuai dengan si buaya pengikis.

Anak..jangan kau khianati amanah ibu bapamu..

Pesan ayah,jadilah pelajar yang berakhlak mulia,belajar bersungguh-sungguh.Pesan ibu,jagalah maruah dan kehormatan dirimu anakku.

Maka anak di tempat belajar sangat 'ingat' pada pesan ibu bapanya.

Setiap hari dia akan mengulang kaji game DOTA dan FIFA nya.Sehingga sangat mahir.Ditambah dengan beberapa subjek Facebook,chatting dan lain-lain.

Setiap petang akan keluar dengan kekasih hati.Makan bersama-sama,study bersama.Kadang-kadang,tangan pun bertaut sama.Ambil gambar kepala di atas bahu kekasihnya.Lagi hebat rela untuk dipeluk.Bertepuk tampar tanda kemesraan.

Aurat dibuka sesuka hati.Tidak mengapa pakai baju ketat,fesyen sekarang.Ibu jauh,bukan dia tahu.Baju jarang cantik juga,nampak sedikit kulit gebuku.Tudung diikat ketat,tak menutupi bahagian dada.Lagi hebat,dibiarkan rambut itu menggerbang ditiup angin.Kononnya mahkota kecantikan wanita.Adoi..

Sungguh ingat anak ini pada amanat ibu bapanya,sehingga semua yang dilarang dilakukannya.

Anak..jangan khianati amanah ibu bapamu...




Renungkanlah..

Dalam hati ibu berkata: "Pergilah anakku..belajarlah bersungguh-sungguh..jangan kau lemas dalam kebebasan yang ibu berikan,,ibu tidak menghantar kamu ke sana melainkan ibu percaya kepada kamu kerana kamu anak ibu.."

Dalam jiwa ayah pula berbisik: "Anakku..ayah lepaskan kamu dengan sejuta doa moga kamu tidak pernah lupa nama yang kamu bawa di hujung namamu..hati ini penuh berharap agar kamu pulang membawa piala kemenangan..anakku..selamat berjuang.."




No comments: