Kisah seterusnya adalah di bumi Turki, negara yang tidak asing bagi pelancong dari Malaysia. Saya kembara ke Turki pada 4 Jun sehingga 11 Jun 2015. Yang ni memang tak ada dalam perancangan. Seminggu sebelum pergi, sahabat saya Abg Nasaie mesej mengajak saya ke Turki. Saya tanya bila nak pergi. Dia kata minggu depan, sempena berlangsungnya Pilihan Raya Umum Turki pada 7 Jun 2015.
3 hari sebelum bertolak, baru beli tiket. Haha, memang mahal la kan. Saya menaiki Turkish Airlines, dapat harga RM 3,000. Masa itu, penerbangan terus tanpa transit ke Istanbul hanya dengan MAS dan Turkish Airlines. Dari pemerhatian saya, kebiasaannya direct flight memang mahal sedikit berbanding penerbangan yang singgah terlebih dahulu. Sekarang hanya Turkish Airlines yang menyediakan penerbangan terus ke Istanbul. Saudara saudari boleh mendapatkan tiket yang lebih murah berbanding saya beli ni. (Tapi dah saat akhir, beli je lah)
Di KLIA sebelum bertolak. Kami berlima, Abg Bob, Abg Nasaie, Kak Munirah dan baby Asma. |
Bertolak jam 11 malam dan tiba pagi hari di Istanbul. Terus daftar masuk penginapan dan rehat. Istanbul adalah destinasi popular, maka tak susah untuk dapatkan penginapan yang berpatutan dan berdekatan dengan kawasan yang nak dilawati.
1. Tempat-tempat yang saya lawati. Yang pastinya masjid-masjid di sekitar Istanbul sangat cantik seni binanya. Menjadi kesukaan kami untuk melawat masjid di mana tempat kami kembara dan solat sunat 2 rakaat.
Blue Mosque |
2. Hagia Sophia dulunya adalah gereja, kemudian menjadi masjid dan sekarang adalah muzium. Berhadapan dengan Blue Mosque.Saya tak masuk ke dalamnya, sekadar bergambar di luar. Nak masuk sini ada bayarannya.
Hagia Sophia |
Istana Topkapi |
4. Menyelusuri Selat Bosphorus dengan menaiki feri. Pun kena bayar. Tapi berbaloi. Merasai angin Selat yang menjadi saksi pelbagai peristiwa penting pada abad ke 15 dahulu. Tempatnya cantik, kedudukan geografinya strategik yang menjadi pemisah antara benua Asia dan Eropah. Inilah antara keunikan negara Turki yang terletak di kedua-dua benua.
5. Menziarahi makam Sultan Muhammad Al-Fateh (1432-1481M) berdekatan dengan Masjid Fateh. (Masjid di sana dipanggil Jamek). Sultan yang melakar sejarah besar dalam peradaban dunia yang berjaya membebaskan Konstatinapel dalam usia baginda Sultan awal 20-an.
Makam Sultan Muhammad al-Fateh |
Dalam perjalanan menaiki kereta api menuju ke bandar Konya. |
7. Di Konya kami dibantu oleh saudara Shafiq, mahasiswa Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian sarjana di bandar Konya. Ini adalah sesi minum teh dan sembang politik bersama dengan wakil Pemuda AKP. Kerana esok harinya adalah hari mengundi bagi seluruh Turki.
8. Kami berada bersama ribuan penyokong AKP di tengah bandar Konya dalam siri kempen terakhir mereka. Konya adalah kawasan Parlimen yang ditandingi oleh Perdana Menteri Turki sendiri iaitu Ahmed Davutoglu (pernah mengajar di UIAM dan bekas Menteri Luar Turki ketika Recep Tayyib Erdogan menjadi Perdana Menteri) dan juga bekas Perdana Menteri yang digulingkan tentera pada tahun 1998 iaitu Dr Necmettin Erbakan (guru kepada Erdogan). Mendengar ucapan Davutoglu selama satu setengah jam dalam keadaan berdiri amat memukau (walaupun saya tak faham, haha). Suasananya meriah dan bersemangat, namun aman dan terkawal.
9. Petang itu kami bergerak ke Muzium Mevlana, dan sempat menimati persembahan tarian sufi ini. Layan.
10. Ini adalah Masjid yang sebelahnya bersemadi jasad Syeikh Jalaluddin Rumi (di bawah kubah hijau itu), tokoh sufi yang terkenal dalam sejarah Turki.
11. Kami bergerak ke Ankara dengan menaiki bas. Sampai di Ankara disambut oleh saudara Asad, teman Abg Nasaie ketika di Mesir. Asad berasal dari Kazakhtan, sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Ankara dalam masa yang sama bertugas di Pejabat Kedutaan negara beliau di Ankara. Seorang yang sangat baik dan mesra. Kami memanggilnya sebagai bakal duta di Turki.
Masjid terbesar di Ankara |
12. Malam itu keluar keputusan Pilihan Raya Turki, menyaksikan kemerosotan pencapaian AKP yang menjadikan mereka tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian dan perlu bergabung dengan parti lain. Namun sebagaimana terjadi, Kerajaan tidak dibentuk sehingga tamat tempoh masa yang akhirnya membawa kepada pilihan raya semula pada 1 November 2015. Keputusan daripada ulangan pilihan raya itu memberikan mandat kepada AKP untuk membentuk kerajaan di Turki tanpa perlu bergabung dengan parti-parti lain.
Malam itu kami menyertai penyokong AKP berkumpul di ibu pejabat AKP di Ankara, mendengar amanat daripada Presiden parti iaitu Davutoglu sendiri.
Di hadapan ibu pejabat AKP di Ankara |
Keputusan pilihan raya 7 Jun 2015. |
13. Menziarahi pejabat IHH di Istanbul. Antara badan kebajikan yang popular yang banyak menguruskan kebajikan dan bantuan kemanusiaan. Termasuk juga bantuan ketika banjir besar di Kelantan pada 2014 dan misi Mavi Marmara ke Gaza.
Minum teh bersama rakan yang bekerja di IHH dan juga sepupu saya Naim yang belajar di Istanbul |
14. Bertemu restoran masakan Melayu di sana milik Ustaz Fatih yang rangkaian perniagaannya bersama Global Ikhwan (Dulunya Al-Arqam, mereka memang hebat dalam ekonomi).
Saudara Mahdi, mahasiswa Malaysia di Istanbul yang punyai pandangan yang kritis dan menarik perkongsian daripada beliau. |
Minum teh adalah budaya masyarakat Turki. Setiap hari lebih 5 kali kami menikmati teh. Hehe. Saya menikmati kembara di sana, banyak pelajaran dan pengajaran. Merasai suasana politik di sana, budaya dan masyarakat, menambah kenalan dan rakan. Suatu pengalaman dan nikmat yang disyukuri.
Pada masa ini, suasana di Turki agak bergolak, isu serangan bom sudah 4 kali pada tahun 2016, cubaan rampasan kuasa oleh tentera pada 16 Julai 2016 yang lalu. Sejarah mencatatkan bumi Turki yang menjadi pusat pemerintahan Daulah Uthmaniyyah selama lebih 6 abad, bumi yang menyaksikan pelbagai sejarah sebuah tamadun dan peradaban, sekarang pun bumi ini masih tercatat sebagai sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam lanskap politik dunia. Semoga Turki dan rakyatnya terus kuat menghadapi segala ujian dan terus maju jaya demi ummah.
Turki, insyaAllah saya akan pergi lagi.