Sunday, June 29, 2014

Ketika Ramadhan

Menurut Imam al-Ghazali, penyakit itu ada dua jenis. Pertama penyakit zahir dan keduanya penyakit batin.

Penyakit zahir itu:

1. Kebiasaannya pesakit akan dapat merasai terus yang dia sakit. Bila tangan sakit, gigi sakit atau pun kaki sakit, tuan kepada anggota badan itu terus berasa sakitnya.

2. Bila sakit zahir, pesakit akan terus segera mencari penawarnya, Terus berjumpa doktor dan merawatnya.

3. Sakit zahir ini paling teruk pun akan membawa kesakitan di dunia dan kemuncaknya adalah kematian.



Penyakit batin itu:

1. Pesakit biasanya tidak sedar yang dia menghidapi penyakit. Hati ada penyakit hasad, dendam, pemarah, kedekut, sombong, takabbur dan lain-lain penyakit, namun penghidapnya tidak merasai dia ada penyakit tersebut.

2. Pesakit akan berlengah dalam merawat penyakitnya, kerana dia berasa tidak menghidapi penyakit itu.

3. Penyakit batin itu bukan sekadar akan menyeksa kehidupan di dunia, bahkan akan membawa kepada kebinasaan di hari akhirat yang kekal abadi.



Maka sama-samalah kita merawat dan menjaga diri kita daripada penyakit zahir dan batin ini.


Ini sebahagian tazkirah pada malam pertama Ramadhan 1435 yang disampaikan oleh adindaku Ibrahim Hussin. Sempat juga mengikuti terawih daripada Masjidil Haram yang diimamkan oleh Syeikh Abdul Rahman as-Sudais. Ketika kecil dahulu, sangat minat mengikuti bacaan dalam terawih dari sana. Teringin sangat mahu merasai Ramadhan di Tanah Suci. Namun belum ada rezeki. Semoga suatu hari nanti Allah kabulkan. Ameen.


Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Thursday, June 12, 2014

Kenapa susah?

"Lama kamu tak jenguk pak cik di sini nak. Lain benar wajahmu sekarang ye, tapi baguslah kamu sudah simpan janggut, sunnah Nabi tu. Cuma..wajahmu itu suram dan kelam anakku. Jiwamu kecamuk, tu yang datang ke sini kan.."



Pak Cik tua itu tergelak sambil berjalan ke tepi pantai. Aku berjalan mengikutinya tanpa menjawab walau sepatah. Kami duduk di atas batu sambil merenung jauh ke tengah lautan.

"Pak cik, kenapa ye, dah 11 tahun saya mula menghafaz al-Quran, tapi sampai saat ini belum bisa menghabiskannya. Panjang sangat masanya, semakin susah dan sukar. Sekarang pun saya rasa semakin susah nak mengingat bahan bacaan yang dibaca. Beza sangat dengan dahulu, sekali dua baca dah lekat dalam kepala."

Dia merenung aku sambil tersenyum.

"Apa kamu ingat al-Quran itu bisa menghuni dalam hati yang penuh dengan dosa dan maksiat. Dan kamu kira ilmu itu mahu tinggal dalam jiwa yang kotor?"

"Anakku, dosa dan maksiat yang berterusan itu menggelapkan hati. Kamu lebih tahu apa yang kamu lakukan, bersihkan hatimu itu anakku. Nescaya kamu akan lebih tenang dan mudah dalam menuntut ilmu. Apatah lagi kalam Allah yang kamu hafaz, bukan setakat untuk dihafaz, tapi untuk dihayati dan diamalkan."

Aku terdiam lagi. Pak cik ini seolah boleh membaca isi hatiku. Dia memegang bahuku sambil menyambung kalamnya.

"Orang mukmin itu dia ada iman. Imannya itulah yang mengikat dirinya untuk memastikan agar dia tidak berkekalan dalam maksiat dan penderhakaan kepada Allah dan tidak terus hanyut dalam lautan syahwat yang akan membawanya kepada kebinasaan. Duhai anak muda, pintu taubat itu sentiasa Dia buka untukmu. Masuklah ke dalamnya ye. "

"Banyakkan istighfar dan bertaubat, hentikan maksiatmu yang berterusan itu, cubalah buat itu dalam 2 minggu ini. Dan bila tiba Ramadhan nanti, kamu mulakan kembali hafalanmu, lihat sendiri perbezaannya nak. Pak cik tahu kamu suka memandang lautan bila hatimu resah dan berkecamuk kan. Pak cik pulang dulu, renunglah tanda kebesaran Allah ini. Pak cik tunggu kamu di rumah ye, kita makan sama-sama."

Tubuh tua itu berlalu pergi. Tetapi sempat lagi beliau berpaling dan berkata,

 "Buang kesombongan dalam hatimu itu, jangan anggap dirimu itu lebih baik daripada orang lain di sekelilingmu. Itu antara punca kau mudah tertipu selama ini."

Aku mengangguk sambil menyapu air mata di pipi.





Thursday, April 24, 2014

Saat Kita Tersembam

Assalamualaikum warahmatullah.

Sudah lama aku tidak mencoret di sini. Aku diuji sungguh-sungguh. Allah memberi satu persatu ujian dalam tempoh masa yang singkat ia datang bertimpa-timpa. Perit, pedih, sakit, seksa, derita, sengsara dan yang sewaktu dengannya. Namun aku tahu, ia adalah sapaan kasih sayang Allah.

Allah..Engkau uji aku sebegini dan aku kembali pada Mu.Terimalah aku Ya Allah. Aku ditinggalkan oleh manusia, tapi aku tak mahu kehilangan Mu Ya Tuhanku. Kasihanilah aku..

Monday, March 31, 2014

RUMAH KECIL ITU

Rumah kecil itu;
Ruangnya tidak luas, tetapi jiwa penghuninya begitu lapang;
Biliknya tidak banyak, tetapi cukup untuk mereka bergembira;
Tiada sofa yang empuk, namun penghuninya bergelak ketawa sambil bersila;
Tiada pendingin hawa, namun rumah itu sejuk dengan keharmonian penghuninya..

Rumah kecil itu..bahagia..

Tuesday, December 31, 2013

Genap Setahun

31/12/2012

Petang itu dapat mesej daripada Naemi, keadaan Zunnur tiba-tiba kritikal,kena masuk ICU. Hati rasa berdebar. Minggu lepas baru pergi ziarah dia di hospital, sembang macam biasa. Mudah-mudahan dia okay je. Doa di dalam hati.

Usai solat maghrib, menerima sms daripada ibunya, Zunnur telah pergi menghadap Allah. Aku terdiam dan menitis air mata tanpa sedar.

Innalillahi wainna ilahi rajiun. Ajal, bukan boleh diganjak awal sedetik atau lewat sedetik. Tiba detiknya, berpisahlah jasad dan roh pergi menghadap Ilahi.

Hari ini cukup setahun. Setahun ini, tidak pernah sekali pun aku ziarah ke kuburnya. Bukan tidak mahu,tetapi belum kuat. Terlalu banyak kenangan dengan insan dan sahabat yang sebaik dia. Mengaji quran bersama, naik motor ke kuliah bersama, kadang-kadang meredah hujan. Seorang sahabat yang baik, semoga engkau tenang di sana sahabat Mohammad Zunnur Hasan.

x banyak gambar kita bersama..ni je yang ada..

Thursday, December 5, 2013

MUSIM CUTI DAN PERKAHWINAN

Musim cuti dan majlis perkahwinan sentiasanya sinonim dalam masyarakat kita. Sekarang ini musim cuti sekolah hujung tahun. Dua perkara yang selalu menjengah.

Pertamanya adalah musim banjir bagi kami warga Pantai Timur. Inilah kebiasaan kami, sentiasa bersiap siaga menghadapi dan melayan musim banjir. Ujian dan nikmat yang silih berganti daripada Allah kepada kita hambaNya. Tahun 2013 ini menyaksikan banjir yang agak teruk di negeri Pahang sehingga Kuantan lumpuh terus. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudara kita di sana.

Perkara kedua yang sinonim dengan cuti hujung tahun ini ialah majlis walimatul urus. Tahun ini banyak pula aku terima jemputan ke majlis perkahwinan rakan-rakan saya. Dalam bulan November lalu, sudah terlepas beberapa jemputan dari teman-teman. Pohon maaf kawan-kawanku yang aku tak dapat hadir majlis kalian kerana kekangan yang pelbagai ni.

Semoga Allah merahmati perkahwinan kalian,bahagia hingga ke syurgaNya. Bulan Disember ini pun ada beberapa jemputan. Tak pasti lagi mampu memenuhi undangan kalian. Akan diusahakan insyaAllah.

Teringat perbualan aku dengan abang. Katanya, perkahwinan ini kena tengok pada kondisi kita. Di tahap mana kita ini, wajib kah, sunat kah, harus kah, makruh atau haram kah?

Jika dalam situasi wajib dan sunat, usahakanlah kahwin secepat mungkin, minta tolong ibu dan ayah usahakan. Jika di tahap haram dan makruh untuk berkahwin, tak perlu kahwin lagi. Jika di tahap harus, jalanilah hidup dengan aman.

Di tahap manakah anda?? hehe..



Kata orang. "Berkahwin dengan orang kita suka,itu adalah IMPIAN.Berkahwin dengan orang yang tak dijangka itu dipanggil JODOH."

Yer la kan, segalanya adalah rahsia Allah. Termasuklah dalam soal jodoh. Pesan guru aku, " Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat apa kita setia, selama apa kita menunggu, sekeras apa kita bersabar, sejujur apa kita menerima si dia. Jika Allah tidak menulis jodoh kita tetap tidak akan bersamanya."

Tapi, apa yang lebih penting adalah kita tak tahu rahsia bila tarikh KEMATIAN kita. Macam dialog dalam filem 'Ustaz Mu Tunggu Aku Datang'. 

"Adakah tuan boleh jamin saya dan tuan boleh hidup dan bernyawa esok hari?" 

Sentap ooo...

Moga menjadi peringatan kita bersama. Selamat pengantin baru buat teman-temanku yang akan melangkah ke gerbang alam rumah tangga. Moga rahmat Allah bersama kalian dan keluarga masing-masing.

-Itik Kuning berenang ke laut Pasifik-

Wednesday, October 23, 2013

PILIHAN RAYA KAMPUS

Kebetulan lalu di hadapan padang kawat USM, rupanya ada majlis Rapat Umum Pilihan Raya Kampus. Saya singgah untuk mendengar. Sebagai pemerhati, saya masuk hadir ke dalam kelompok kedua-dua belah pihak, Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Meriah dan menarik sokongan dan kemeriahan para penyokong memberikan sokongan kepada pihak masing-masing.

Pro-Aspirasi

Saya berada lama dalam kelompok Pro-A yang bertema pakaian hitam, kebanyakannya bercetak Alif Ba Ta memerhati dan melihat sokongan pihak mereka. Pemerhatian saya terhadap Pro-A di USM ini adalah:

1. Jumlah penyokong mereka yang ramai berbanding dengan pihak Pro-M.

2. Kedua, wujudnya kerjasama antara calon-calon mereka dengan penyokong mereka ketika memberi ucapan. Sesuatu yang kreatif.

3. Ketiga, saya melihat calon Pro-A digilap dan disediakan lebih awal, maksudnya dengan persediaan yang kemas untuk berucap. Namun bagi saya, semuanya sama pattern sahaja. Yakni, agak sama gaya. Tapi ada beberapa orang calon mereka yang memang attractive. Tahniah.

4. Penyokong mereka yang begitu bersemangat. Bagus dan hebat. Tapi gaya mereka memprovok dan calon lawan dan boo ketika calon lawan berucap, itu sesuatu yang kurang beradab dan kurang sesuai sebagai warga mahasiswa. Kita bukan berkempen di hutan kan?? Hihik.

Pro-Mahasiswa

1. Bilangan penyokong mereka agak kurang berbanding penyokong lawan mereka.

2. Namun rasa lebih tenang dan cool sedikit bila berada di sebelah sini. Tidak ada provokasi dan boo. Tahniah dengan kematangan tersebut.

3. Saya paling suka bila mereka akhiri dengan bacaan doa sebagai penguat semangat.

Kemudian?

1. Kedua-dua belah pihak tidak boleh bergantung semata-mata kepada ucapan dalam rapat umum. Ia hanya sebahagian daripada kempen. Apa yang lebih penting strategi kempen yang menyeluruh dan sentuhan anda kepada para pengundi anda.

2. Akhlaq dan kematangan anda dalam proses pilihan raya kampus ini adalah lebih penting daripada sebuah kemenangan yang disulami dengan akhlaq yang buruk dan ketidakmatangan. Bersikap matang dan bertandinglah secara sihat.

3. Saya gembira melihat keberanian para calon dan penyokong masing-masing dalam memperjuangkan agenda dan hasrat murni mereka. Teruskanlah melangkah dengan penuh berhemah dan cermat.

4. Menang kalah adat pertandingan. Namun pengalaman kalian adalah lebih mahal dan berharga. Jadikan ia sebagai proses kematangan dan menjadi seorang yang dewasa.

Selamat mengundi kepada semua warga USM!

Tuesday, October 15, 2013

Merindui Makkah dan Madinah

Assalamualaikum warahmatullah.

Ibadah haji yang sedang berlangsung di bumi Makkah disiarkan di seluruh dunia. Ia bisa menggamit perasaan setiap muslim yang merindui bumi Makkah dan Madinah. Bagi mereka yang belum pernah sampai ke sana, sudah tentu perasaan mereka membuak-buak mahu ke sana. Bagi mereka yang pernah pergi, mereka juga sangat terasa ingin pergi lagi.

PERTAMA KALI

Saya diizinkan Allah menjadi tetamu-Nya buat kali pertama pada April 2013. Alhamdulillah. Tiba di Madinah, perkara pertama yang saya fikirkan adalah mahu menziarahi Nabi. Tapi tiba pada waktu tengah malam, masjid Nabawi ditutup selama 2 jam. Hampir subuh baru dibuka. Apa yang saya dapat rasa adalah KETENANGAN.

5 hari di Madinah, kemudian bergerak ke bumi Makkah. Juga sampai pada tengah malam, terus selesaikan ibadah umrah. Tidak terasa keletihan berada di sana. Tidak perlu saya coret satu persatu apa yang saya lalui di sana, cukup saya katakan, berusahalah sehabis mungkin untuk menjejakkan kaki anda ke bumi barakah itu. Laluilah sendiri pengalaman menjadi tetamu Allah.



PENGAJARAN

1. Saya melihat ramai warga tua di sana yang mana mereka ada keterbatasan untuk menunaikan ibadah. Apa pun mereka memang bersungguh. Kerana itu saya merasakan, kita jangan tunggu tua baru nak menunaikan umrah dan haji. Saya sendiri berazam untuk menunaikan haji secepat yang mungkin (biiznillah), dalam usia yang muda dan kuat ini. Jika kita mampu berbelanja membeli rumah dan kereta, kenapa perlu bertangguh untuk mengeluarkan harta untuk ibadah haji dan umrah. [Target nak buat haji sebelum umur 30, insyaAllah]

2. Jika ibu bapa masih ada, berusahalah membawa mereka ke sana. Dalam keterbatasan usia mereka, ia menguji kesanggupan kita untuk berbakti kepada mereka.

3. Kesabaran adalah antara kunci besar dalam beribadah dan proses menjadi hamba Allah yang bertaqwa. SABAR


Terlihat sepasang suami isteri sedang membaca Al-Quran.

SALAM AIDILADHA 1434H.

3.30 a.m